Merlin 5 
Kembali untuk musim ke-5, drama bersiri pengembaraan epik fantasi yang berdasarkan kisah legenda Arthurian iaitu Merlin terus mempesonakan peminatnya dengan mengetengahkan The Die Is Cast sebagai tema utama pergolakan di Camelot.

Sejak Merlin diperkenalkan, penonton yang menggemari genre drama epik fantasi ini telah mengikuti perjalanan seorang Putera Raja, Arthur bersama seorang pemuda kampung, Merlin yang mempunyai kuasa luar biasa. Di Camelot, penggunaan kuasa magis adalah satu larangan dan Merlin terpaksa menggunakan ilmu dan kuasa sihirnya secara rahsia untuk membantu Arthur.


Sudah pasti peminat Merlin tidak sabar mengetahui sama ada identiti sebenar Merlin sebagai ahli sihir akan terbongkar dan seterusnya diterima Raja Arthur? Episod pertama dan kedua sudah mula disiarkan Jumaat lalu (16 November) di TV3. Selepas ini, penonton boleh terus menyaksikan Merlin musim ke-5 pada setiap Isnin, jam 10 malam bermula esok (19 November 2012).

Kali ini, ia mengisahkan keadaan Camelot selepas tiga tahun, Camelot berada dalam zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan Raja Arthur yang baru mewarisi takhta selama empat tahun. Arthur sudah semakin matang dan menjalankan tugasnya sebagai seorang raja berwibawa di sisi Pemaisuri Guinevere, barisan satria yang setia dan juga Merlin yang juga kawan karibnya.

Morgana, nama ditakuti rakyat Cemelot sudah tidak kedengaran selama tiga tahun. Namun, ia tidak bermaksud Raja Arthur boleh menarik nafas lega kerana kejadian misteri mula berlaku di sempadan utara. Semua satria ditugaskan ke sana telah hilang. Justeru, Arthur berangkat ke sana untuk menyiasat apa yang berlaku sebenarnya.

Bersama Merlin dan rakan-rakan seperjuangannya (knights of the round table), Arthur menuju ke destinasi yang penuh cabaran dan tipu muslihat. Kuasa Morgana semakin kuat dan bijak mengaturkan rancangannya untuk menghancurkan Arthur dan Merlin. Kemunculan Modred, seorang ahli sihir muda yang kesetiaannya tidak diketahui sama ada kepada Arthur ataupun Morgana mampu membawa maut kepada Arthur.

Apabila Arthur bertemu seorang yang tidak dikenali dan diberikan kuasa untuk menyeru semula si mati, dia tidak dapat mengatasi godaan itu untuk menggunakan kuasa berkenaan. Arthur teringin untuk menyeru semula Raja Uther, ayahandanya yang amat dirinduinya. Namun, dunia si mati ialah tempat yang amat gelap dan bahaya. Arthur tidak sangka hasratnya bertemu kembali ayahnya mampu menghancurkan masa depan Camelot.

Mampukah Merlin menghalang malapetaka yang akan menimpa Camelot kerana maut sudah semakin hampir? Apakah takdir yang tertulis buat Camelot? Mampukah Merlin mengatasi kuasa gelap yang semakin meluas di Camelot? Saksikan Merlin musim ke-5 di TV3, setiap Isnin, jam 10 malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top