Bakat baru, Ad Azhar, 24, dan Liawanis, 22, dicungkil melalui pertandingan nyanyian sebenar, bakat mereka dinilai juri profesional apabila beraksi di pentas tidak lama dulu.

Menyimpan impian untuk menguasai pentas hiburan, dua penyanyi naungan KRU Studios ini mengambil risiko meninggalkan pekerjaan tetap mereka. Bukan untuk mengejar populariti semata-mata, kedua-duanya mahu menjadi artis serba boleh.

Mengakui hal itu, Azhar atau nama sebenarnya, Mohd Azhar Osman yang sebelum ini pernah bekerja dalam sektor perbankan, sudah bersedia 100 peratus untuk mara.



"Sewaktu mengikuti pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) pada 2010, saya masih bekerja di sebuah bank dan penyertaan saya pun sekadar untuk mencuba nasib saja. Namun, tak sangka tuah menyebelahi dan selepas itu dapat pula tawaran daripada Edry Abul Halim untuk menjadi artis rakaman.

"Mulanya, memang fokus saya hanyalah untuk menang pertandingan berkenaan itu saja. Selepas berfikir panjang, saya menerima tawaran berkenaan, apatah lagi ia datang daripada KRU Studios. Jadi, siapa mahu menolak.

"Bagaimanapun, atas kelonggaran yang Edry berikan, sepanjang dua tahun lalu, saya meneruskan pengajian dalam bidang pengurusan pelancongan. Syukurlah, pengajian pun sudah habis dan kini saya mahu fokus sepenuhnya dalam bidang nyanyian.

"Akan tetapi, bidang pelajaran tetap menjadi keutamaan dan saya menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi satu hari nanti.

"Buat masa ini saya mempertaruhkan lagu duet bersama Lia berjudul Mangsa Cinta," katanya.

Menanti beberapa tahun untuk hadir dengan lagu sendiri, Azhar mengakui bukan mudah mencari lagu yang benar-benar sesuai buatnya dan masa juga antara sebab perkara itu tertangguh," kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Impian pula menjadi kenyataan buat anak jati Changlun, Kedah, Lia apabila peluang diterima daripada KRU selepas menjadi juara BIBH 2012.

Tidak kesal untuk meninggalkan kerjaya menyanyi di tempat kelahiran, Lia pernah mencuba nasib dalam pelbagai rancangan realiti TV dan pertandingan karaoke.

"Menjadi penyanyi memang impian saya sejak kecil dan terlalu banyak masuk pertandingan karaoke bermula dari bangku sekolah lagi. Dari situlah, bakat saya mula dikesan dan sebaik menamatkan pelajaran, saya mula aktif menyanyi di pelbagai jenis acara di sekitar Kedah.

"Berbekalkan pengalaman itu, ia banyak melatih saya dan atas dorongan ibu, saya menyertai BIBH awal tahun ini dan menjadi juara," katanya.

Sebati dengan genre pop dan rock, Lia akui awalnya dia terfikir juga sama ada boleh menyanyikan lagu Mangsa Cinta sentuhan Edry yang rancak.

"Saya dan Azhar berbeza genre, tetapi kami diberikan lagu rancak. Mulanya, risau juga takut tidak boleh 'feel', namun Edry memang pakar dalam bidang rakaman lagu.

"Bekerja dengan Edry memang sangat mudah dan dia begitu memahami kemampuan saya. Saya langsung tidak tertekan ketika proses rakaman Mangsa Cinta," kata pemilik nama sebenar, Kamilia Razwanis Kamarudin itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top