Max 24:7 buat comeback!

Selepas setahun lenyap dengan sebarang isu, Max 24:7 khabarnya mahu membuat kemunculan semula.

Masalahnya, belum pun disensasikan kemunculan mereka, sudah ada mulut-mulut longkang yang mengutuk kumpulan yang dibarisi oleh Iymtiaz, Kim, Eykal, Fifi, Aar, Jaq, Virgo, Mierul, Hans dan OB ini.


Semuanya kerana tindakan Max 24:7 yang dituduh tidak serik-serik nak cuba nasib walaupun masing-masing dikatakan tak begitu hebat dalam tarian mahupun nyanyian.

Ikuti apa kata mereka mengenai isu ini yang diwakili oleh Iymtiaz.

Khabarnya selepas setahun cuba mengorak langkah dalam bidang seni, Max 24:7 mahu kembali dengan single baru. Apa cerita ni? Tak serik-serikkah?

Betul. Kami akan kembali dengan single baru berjudul 3 Syarat. Single baru tu akan dilancarkan sekitar awal tahun depan.

Sebelum ini dah bermacam-macam kutukan dan kritikan dilemparkan pada kamu semua. Sekarang Max 24:7 nak kembali pula dengan single baru. Tahu tak orang dah mula mengutuk kumpulan ni walaupun single tu belum dilancarkan. Komen?

Kami sedar masih ada segelintir pendengar yang belum dapat menerima kami sepenuhnya. Tapi apa yang kami dapat janjikan, sekarang kami lebih baik daripada sebelum ni.

Dulu kumpulan ni hebat dikutuk kerana dikatakan tak pandai menari dan menyanyi pun ala-ala sumbang. Dah ada peningkatan ke dari segi tu?

Kami tahu kami tak sempurna. Tapi sepanjang kami berada dalam industri, kami berusaha untuk membuat penambahbaikan terutama dari segi tarian. Kami bukan nak tiru Kpop pun. Kami awal-awal lagi dah tegaskan, kami Mpop. Cara kami tingkatkan kemahiran menari adalah dengan duduk berbincang dan sama-sama hasilkan stail sendiri. Tapi dalam bab ni, kami lantik Mierul untuk reka koreografi tarian sebab di kalangan kami, dia paling banyak idea gerak tari.

Jadi ada buat ‘post-mortem’ lah ni?

Kami sedar, jangkaan orang terhadap sebuah kumpulan baru seperti kami yang dikatakan meniru Kpop adalah tinggi. Jujurnya, kami cuba bereksperimen dengan perkara baru ketika muncul dulu. Tak terfikir pula impaknya sangat negatif. Biasalah, kadang-kadang, benda baru susah untuk orang terima. Apa yang boleh kami katakan, mungkin waktu itu kami masih tercari-cari arah dalam bidang ini. Iyalah, masing-masing belum ada pengalaman. Memang waktu tu kami tak tahu hendak buat macam mana.

Rasanya, Max 24:7 pernah beberapa kali ditegur kerana suka ikut kepala sendiri. Maknanya macam tak ambil pedulilah apa komen dan pandangan orang. Boleh berikan penjelasan?

Macam saya katakan, dulu kami terumbang-ambing. Tak tahu apa yang perlu dilakukan bila terima kritikan. Kemudiannya kami terima dan perbaiki. Sekarang, kami dah faham apa itu kehendak pasaran dan pendengar. Jadi kami perlahan-lahan cuba memenuhi selera mereka. Syukurlah, bila kami buat macam tu, kami semakin banyak menerima respons yang baik daripada pendengar khususnya peminat.

Kalau Max 24:7 masih lagi menerima kritikan selepas ni macam mana? Bagaimana kalau kritikan tu lebih teruk?

Kami akan terima segala macam kritikan tu sebab ia dah memang lumrah. Ada orang suka dan ada orang tak suka. Tak boleh puaskan hati semua orang. Tapi setakat ni kami dapati dah semakin ramai yang menyokong kami. Dalam laman sosial Facebook dan You Tube, kami tengok semakin ramai yang beri komen positif. Bukan setakat orang luar, ramai juga di kalangan artis-artis senior yang mahu kami terus tak putus asa.

Jadi Max 24:7 masih lagi dengan imej Kpop? Atau bagaimana?

Kami dah semakin matang dan seiring dengan itu, maka ada beberapa perubahan dah kami buat terutama lagu dan imej. Dulu kami cuma terima saja apa arahan yang ditentukan oleh pihak pengurusan. Walhal, masing-masing antara kami ada cita rasa sendiri. Dulu imej kami ala gothic. Tapi sekarang lebih kepada santai, segar dan sesuai dengan personaliti setiap dari kami. Benda-benda macam ni, sebenarnya satu cara saja untuk capai persefahaman. Semuanya kena berbincang.

Apa harapan Max 24:7 menerusi hajat untuk muncul semula?

Kami mahu 3 Syarat diterima baik oleh semua pendengar. Malah dalam masa yang sama, kami harap semua orang beri kepercayaan pada kami menerusi kematangan yang cuba kami tonjolkan dalam single tersebut. Paling penting, henti-hentikanlah bandingkan kami dengan mana-mana kumpulan Kpop sebab kami dah terangkan yang kami ni MPop.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top