Biopik Whitney Houston dikritik keluarga

Saluran televisyen Lifetime telah melancarkan sebuah biopik yang dinanti banyak khalayak. Biopik tersebut berkisar tentang kehidupan penghibur legenda yang meninggal dunia dua tahun lalu akibat kecanduan dadah, Whitney Houston. Ia diberi judul Whitney.

Sebaik biopik arahan Angela Bassett itu ditayangkan, ia pantas mengundang banyak kritikan pedas. Khalayak yang telah menonton biopik tersebut bersetuju lakonan aktres Yaya DaCosta sebagai Whitney cukup cemerlang, namun kebanyakannya kecewa dengan jalan cerita filem itu.

Mereka mendakwa, Whitney tidak menampilkan penceritaan keseluruhan tentang penyanyi yang meninggal dunia pada usia 48 tahun itu, sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada bekas suaminya, Bobby Brown.


Malah, skrip biopik yang ditulis oleh Shem Bitterman itu lebih banyak bercerita tentang hubungan percintaan mereka, berbanding kronologi kehidupan Whitney serta konflik dan jatuh bangunnya selama 30 tahun sebagai seorang anak seni.

Selain menerima kritikan daripada banyak peminatnya, keluarga bintang yang ditemui mati pada 11 Februari 2012 itu di sebuah bilik di Hotel Beverly Hilton, Amerika Syarikat, antara yang paling lantang mengkritik penghasilan dan penayangan biopik tersebut.

Ibu kepada bintang yang pernah dinobatkan oleh Guinness World Records pada tahun 2009 sebagai penerima anugerah paling banyak sepanjang tahun itu, Cissy Houston terlebih dahulu membantah pembikinan biopik tersebut sejak awal lagi.

“Kami seluruh keluarga membantah pembikinan biopik ini tetapi pihak Lifetime berkeras dengan keputusan mereka untuk melakukan penggambaran juga.

“Sebenarnya, tidak ada seorang pun yang terbabit di dalam produksi tersebut mengetahui sisi sebenar keseluruhan hidup anak saya, mahupun bekas suaminya, Bobby.

“Sejak dua tahun lalu, selepas kematiannya, kami sudah penat dengan banyak salah faham dan informasi mengenai Whitney. Jadi, tolonglah biarkan dia ‘berehat’ dengan aman di sana,” ujar Cissy.

Malah, kakak ipar penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu I Will Always Love You itu turut menyelar Lifetime dan produksi filem tersebut yang disifatkan telah menghasilkan biopik seorang legenda dengan kualiti yang teruk.

Katanya: “Bersedia untuk menyaksikan sebuah biopik bintang legenda dunia yang paling teruk dan buruk yang pernah dihasilkan.”~ Kosmo




0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top