Zizan Razak kesal tindakan bekas pengurus menutup periuk nasi

"Tindakan dia benar-benar menutup peluang pendapatan dan periuk nasi saya!" tegas pelakon dan pelawak, Zizan Razak ketika diminta mengulas mengenai perintah injuksi sementara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur bagi menghalangnya menandatangani sebarang kontrak baharu atau endorsement dengan mana-mana produksi lain.

Ia berikutan bekas pengurusnya, Marina Juki memfailkan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) bagi menghalangnya daripada berbuat demikian sehingga kontraknya dengan Wire Fame Entertainment Sdn Bhd tamat.

Mengulas lanjut, tunjang utama filem Mael Lambong itu mengakui kesal dengan tindakan bekas pengurusnya itu.

"Tindakannya itu sangat di luar jangkaan dan tidak adil. Malah, saya tidak faham apa yang diinginkannya.

"Sebelum ini, dia telah membuat kenyataan tidak mahu lagi menguruskan semua aktiviti saya.

"Saya sangat kecewa kerana dia sanggup bertindak seperti ini untuk menghalang pendapatan melalui titik peluh saya sendiri," luahnya.

Percaya keadilan akan berpihak kepadanya, Zizan memberitahu dia akan membuat rayuan mengenai perkara ini.

"Saya akan membuat rayuan dan saya percaya keadilan akan memihak kepada saya.

"Ini kerana saya sedar, saya tidak pun melakukan sesuatu perbuatan yang dianggap salah," katanya.

Pada 5 November lalu, Marina memfailkan saman terhadap Zizan menuntut ganti rugi khas bernilai lebih setengah juta ringgit berhubung perlanggaran kontrak.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top