Lagu Perempuan naikkan nama Faizul

Setelah keluar dari pentas Akademi Fantasia 2013 (AF2013), baru kini nama Faizul jadi sebutan apabila lagu Perempuan sering diputarkan di radio akhir-akhir ini.

Itu pun selepas lagu itu menjadi lagu tema rantaian Suamiku Encik Sotong, sekali gus membantu menaikkan popularitinya. Lagu Perempuan juga menjuarai Carta Era dan carta radio Singapura.

Faizul atau Mohd Faizul Sani, 30, akui kini lagunya lebih dikenali berbanding dirinya. Apa pun, dia tetap bersyukur dengan kedudukannya kini walaupun graf kenaikan popularitinya bergerak perlahan.


“Saya tidak nafikan orang lebih mengenali lagu saya berbanding diri saya. Mungkin kerana selepas keluar AF 2013, saya berada di studio untuk menjalani rakaman lagu dan membuat kerja-kerja menulis lirik. Walaupun kerjaya saya perlahan, saya gembira kerana ia tidak menurun,” katanya.

Faizul juga akui undangan menjayakan persembahan pentas juga perlahan, menyebabkan dirinya kurang dikenali.

Anak jati Sabah ini berkata, nasib itu bukan menimpa dirinya seorang, malah ramai artis berdepan situasi itu. Faizul juga tidak mahu terlalu gopoh mengejar populariti.

“Saya gembira kerana album pertama, Faizul Sany mendapat sambutan memberangsangkan. Ramai peminat yang membeli album memuat naik gambar album saya di laman sosial Twitter.

“Ada juga peminat mengadu mereka tidak sempat membeli album berkenaan kerana habis dijual. Saya teruja dengan maklum balas peminat,” katanya yang gembira dengan penerimaan peminat terhadap lagu dalam album itu.

Kata Faizul, bukan senang untuk merealisasikan album berkenaan tetapi melihat segala komen positif, ia sangat berbaloi. Bagaimanapun, setakat ini dia belum dapat maklumat mengenai jumlah jualan albumnya.

“Kalau ikutkan, memang saya mahu hasilkan album kedua dalam masa terdekat tetapi apa pun, semuanya bergantung kepada pihak pengurusan. Mereka lebih arif mengatur kerjaya saya,” katanya.

Mampu menghasilkan lagu sendiri, kelebihan itu membuatkan Faizul ingin berkongsi karya hasil gubahan sendiri kepada peminat. Bagaimanapun, dia tidak menolak andai ada komposer ingin memberikan lagu untuknya.

“Untuk album pertama, antara komposer yang memberikan lagu sentuhan mereka adalah Faizal Tahir, Audi Mok, Ag Coco dan Amir Jahari. Semua nama itu sangat kuat dalam industri seni dan tidak dinafikan saya memerlukan khidmat mereka.

“Namun pada masa sama, saya juga ingin memperhalusi bakat menghasilkan lagu yang ada pada saya dan berharap pihak pengurusan terus memberi ruang untuk saya menggubah lagu sendiri,” katanya.

Mula menulis pada 2008, ketika itu Faizul menulis lagu untuk menyertai pertandingan Hot FM Twisties Bingit. Katanya, dia selalu menulis lagu berdasarkan hala tuju atau konsep ketika itu. Contohnya ketika pertandingan Hot FM Twisties Bingit, mereka inginkan lagu rock dan dia hasilkan lagu genre rock.

“Setakat ini saya ada banyak lagu dan tidak kisah untuk memberikannya kepada penyanyi lain. Saya beri lagu kepada beberapa artis tetapi saya tidak tahu sama ada diterima atau tidak. Semuanya bergantung kepada mereka. Rasanya, saya belum boleh dedahkan banyak mengenai perkara itu,” katanya.

Kata Faizul, dalam simpanannya kini ada lagu putus cinta, ada juga lagu luahan rasa marah, malah lagu berdasarkan pengalaman sendiri pun ada.

“Lagu Perempuan saya tulis apabila semua lagu sudah saya rekodkan dan setelah melihat hala tuju album, terhasillah Perempuan. Saya hasilkan lagu itu supaya tidak lari jauh dari konsep asal,” katanya yang selalu dapat idea apabila bosan.

Baru-baru ini Faizul turut menulis lagu semangat khas untuk pasukan bola sepak Sabah, Kasi Gol yang diputarkan di radio Era FM Sabah. ~ Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top