Clixster Music urus kerjaya penyanyi

Menyedari keperluan pengurusan penyanyi secara profesional, syarikat Clixster Music Sdn. Bhd. yang mempunyai lima orang penyanyi di bawah naungannya telah menandatangani satu memorandum persefahaman bersama dengan Music Man Entertainment yang dilantik untuk menguruskan kerjaya penyanyi syarikat rakaman itu.

Pengarah Clixster Music, Othman Masri menjelaskan, pihaknya sedar tentang kepentingan pengurusan secara profesional dan pembangunan penyanyi bagi melahirkan artis berkualiti dan mempunyai jangka hayat yang panjang dalam industri seni tempatan serta peringkat global.

“Jika kita lihat industri seni di Barat, sama ada penyanyi mahupun pelakon, selebriti di sana diurus secara profesional oleh ejen yang dilantik. Sebelum keluar dengan album atau lagu baharu, biasanya penyanyi telah mempersiapkan diri dalam segala segi, termasuklah vokal, imej, video muzik, jadual promosi dan pelbagai perkara lain yang menyumbang kepada kejayaan seseorang penyanyi.

“Di Malaysia, tidak ramai penyanyi tempatan diuruskan secara profesional. Kebanyakan mereka mempunyai bakat tetapi tidak tahu ke mana hala tuju yang harus mereka fokus,” katanya.

Tambah Othman, lima penyanyi di bawah naungan Clixster Music iaitu Atira, Anngierl, Noona dan dua kumpulan, The Fingers serta Oska Band merupakan penyanyi baharu yang akan digilap bakat supaya berdiri sebaris dengan penyanyi popular sedia ada.

“Semua penyanyi di bawah pengurusan Clixster Music merupakan penyanyi baharu. Mereka dipilih berdasarkan vokal dan bakat. Sebelum keluar dengan lagu single atau album, mereka akan menjalani latihan vokal, kelas dandanan diri, seni persembahan dan pelbagai aspek pembangunan untuk seseorang penyanyi. Hal itu penting supaya apabila mereka keluar nanti, mereka menjadi penyanyi yang bersedia dari segala segi.

“Syarikat Clixster Music tidak menghasilkan penyanyi ‘mi segera’. Saya tidak mahu penyanyi di bawah pengurusan syarikat saya hanya popular untuk satu jangka masa yang pendek, sebaliknya saya mahu mereka bersaing dengan penyanyi sedia ada untuk jangka masa yang lama,” terang Othman yang mengikat kontrak artis naungannya selama tiga tahun.

Disoal mengapa Clixster Music memilih Music Man Entertainment untuk menguruskan penyanyi di bawah naungan syarikatnya, jawab Othman, pihak Music Man Entertainment mempunyai pengalaman dalam menguruskan kerjaya seseorang penyanyi.

“Pengurusan penyanyi memerlukan syarikat profesional yang sudah biasa menguruskan kerjaya penyanyi,” kata Othman yang menyasarkan untuk menembusi pasaran muzik antarabangsa.

Salah seorang artis naungan Clixster Music, Atira Rahim, 24, yang sebelum ini mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bintang Klasik 2014, berkata,impiannya bergelar seorang penyanyi terbuka luas apabila mengikat kontrak dengan syarikat berkenaan.

Meskipun masih ‘hijau’ dalam bidang nyanyian tetapi Atira percaya jalan yang dipilih untuk bersama dengan Clixster Music adalah tepat memandangkan syarikat itu tidak mengejar kuantiti, sebaliknya kualiti.

“Setakat ini sebuah lagu berjudul Pulanglah telah siap menjalani proses rakaman. Sekarang hanya tunggu untuk dikeluarkan di radio. Bagaimanapun, pihak pengurusan mempunyai perancangan tersendiri, jadi sebagai penyanyi saya harus tunggu.

“Apa-apa pun saya bersyukur kerana usaha saya untuk bergelar penyanyi sudah membuahkan hasil. Sekurang-kurangnya ada pihak yang percaya dengan bakat yang saya miliki,” kata gadis kelahiran Ampang, Selangor itu.

Sementara itu, vokalis Oska Band, Aeril memberitahu, band tersebut sudah ditubuhkan tiga tahun yang lalu dan bergerak secara indie. Memuat naik video nyanyian mereka di laman perkongsian video, YouTube membawa tuah kepada mereka apabila muzik mereka menarik minat Clixster Music yang menawarkan kontrak sebagai penyanyi rakaman selama tiga tahun.

“Tawaran yang diberikan oleh Clixster Music membuka peluang untuk Oska Band menembusi pasaran komersial. Kami yakin, muzik pop rock dan slow rock yang dibawakan Oska Band agak berbeza daripada muzik band sedia ada,” kata Aeril sambil memberitahu, peminat boleh mengikuti perkembangan mereka menerusi Instagram dengan akaun @oskaband.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top