Tombiruo : Penunggu Rimba bakal dijadikan filem adaptasi

Penulis hebat, Ramlee Awang Murshid, novelis thriller nombor satu negara di mana rata-rata karyanya mempunyai pengikut serta pembaca yang tersendiri.

Bermula dengan karya, Igauan Maut pada 1995, Ramlee berjaya menghasilkan lebih 25 novel di sepanjang penglibatannya dalam bidang penulisan termasuk Tombiruo, Ranggau, Anugerah Pertama, Mandatori, Semangat Hutan, Pei Pan, ADAM, Satu Janji, Tombiruo Terakhir, Rahsia Perindu, Bagaikan Puteri, Hatiku Diharajuku, Cinta Sang Ratu, Ungu Karmila, Hijab Sang Pencinta, Mikhail, 9 Nyawa, Cinta Sufi, Rayyan Fantasi, Sutera Bidadari, Sunan Musafir, Aku Bercerita, Mitos dan Magis.

Mengorak selangkah lagi dalam cabang industri, satu daripada karyanya, Tombiruo : Penunggu Rimba, bakal diangkat ke layar perak dengan terbitan syarikatnya sendiri, Layar Sunan serta kerjasama Kumpulan Media Karangkraf dan Ideate Media.

Bakal menemui penonton dan pembaca tidak lama lagi dalam bentuk visual di layar, pastinya ia memberi cabaran baharu buat pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan filem ini apatah lagi ianya merupakan projek julung kali serta berskala besar.

Berkesempatan menemui Ketua Pegawai Eksekutif Ideate Media, Zainir Aminullah, di pejabatnya yang terletak di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, beliau turut berkongsi kisah mengenai penghasilan projek mega itu dari mula hingga ke peringkat terkini. Ikuti temu bual yang disusun ini.

Terlibat dalam penerbitan karya adaptasi, Tombiruo : Penunggu Rimba, apakah keistimewaan yang ada pada karya ini sehingga berjaya menarik minat anda untuk menjalinkan kerjasama?

Secara jujur, saya mengenali Ramlee Awang Murshid sebagai novelis yang hebat di mana beliau mempunyai pengikut yang tersendiri. Lihat sahajalah novel-novel yang dihasilkan, semuanya mampu menarik pembaca untuk setia menyokongnya dari dahulu sehingga kini.

Kekuatan yang ada pada Ramlee dan Tombiruo itu sendiri sukar untuk dinafikan kerana ia adalah karya yang terbaik dan semestinya lain daripada yang lain. Malah, saya melihat, karya itu berpotensi untuk diangkat ke layar dan mampu bersaing dengan filem-filem lain.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk penghasilan filem ini?

Ideate Media, Layar Sunan dan Karangkraf telah sama-sama melalui proses perbincangan dan penghasilan skrip melebihi enam bulan. Mungkin ianya akan mengambil sedikit masa lagi untuk siap sepenuhnya dari segi skrip dan penyusunan jalan cerita.

Mungkin sesetengah pihak berpendapat kami mengambil masa yang agak lama untuk menyediakan skrip namun, itulah yang terbaik setelah mendapat persetujuan daripada pihak-pihak yang terlibat.

Untuk projek berskala besar sebegini, sudah tentu kami perlu menyediakan latar yang terbaik agar ianya tidak menimbulkan permasalahan di kemudian hari. Kami mahukan agar ianya berjalan dengan lancar ketika proses seterusnya nanti. Buat masa ini, fokus kami hanya pada skrip terlebih dahulu.

Boleh anda jelaskan serba sedikit mengenai Ideate Media.

Ideate Media Sdn Bhd adalah syarikat yang ditubuhkan dengan kerjasama Khazanah Nasional Berhad dan Astro Limited Overseas.

Syarikat ini telah ditubuhkan sejak dua tahun lalu di mana kami komited dalam mencari karya-karya tempatan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pelbagai medium komersial termasuk di peringkat antarabangsa.

Misi kami adalah untuk membangunkan, mengeluarkan dan mengkomersialkan kandungan berkualiti tinggi untuk penonton secara global termasuk menerusi televisyen, filem dan animasi. Sepanjang penubuhan Ideate Media, ini adalah projek pertama kami yang melibatkan penerbitan filem tempatan.

Bagaimana pula dengan kerjasama daripada Ramlee sendiri? Adakah beliau turut terlibat secara rapat dalam proses ini?

Saya berterima kasih kepada Ramlee kerana dia sangat komited dalam memastikan karya ini diolah dengan baik dan mendapat persetujuan bersama untuk membina jalan cerita yang berkesan.

Selama enam bulan ini, kami sering mengadakan perjumpaan untuk berbincang dan memastikan perjalanan skrip ini lancar. Dalam pertemuan itu, kami akan berbincang mengenai susunan babak, jalan cerita dan penambahbaikan dalam cerita.

Dalam hal ini, saya kagum dengan Ramlee kerana walaupun dia sibuk dengan urusannya, namun masih ada masa untuknya duduk bersama-sama kami. Malah, dia juga turut berkongsi pendapat untuk diguna pakai dalam penghasilan skrip ini.

Selain Ramlee, kami mendapat kerjasama yang rapat daripada Karangkraf untuk berbincang dan memastikan elemen-elemen penting yang perlu digarap dalam filem ini.

Mengenai penghasilan skrip, adakah karya adaptasi ini turut mengalami perubahan ketara berbanding karya asal?

Untuk menghasilkan karya adaptasi dari buku ke layar perak bukanlah satu kerja yang mudah kerana asas bahan sudah ada. Walaupun tiada ketetapan untuk kita perlu mengangkat 100 peratus daripada novel asal, namun penambahan atau perubahan pastinya disedari oleh golongan pembaca.

Malah, setiap pembaca mempunyai imaginasi mereka sendiri dalam membayangkan penceritaan ini sekiranya ia dibawa ke layar. Untuk itu, kami perlu memastikan agar ianya tidak mengecewakan pembaca dan berjaya menarik minat penonton yang belum membaca karya asal.

Untuk novel setebal Tombiruo, kami berdepan dengan kekangan masa untuk membawa kesemuanya dalam sudut visual.

Sudah pastinya ada beberapa babak yang terpaksa dikurangkan namun ianya perlu dipastikan kepentingan jalinan babak itu agar tidak mengganggu jalan cerita. Selain itu, ada juga sedikit penambahan yang dipersetujui bersama agar ianya selari dengan pemikiran masyarakat kini.

Walaupun karya ini masih belum siap sepenuhnya dari segi penghasilan skrip, namun sudah ramai yang mula berteka-teki mengenai pemilihan pelakon. Malah, mereka sudah ada pilihan sendiri. Adakah perkara ini sudah dibincangkan?

Saya tahu mengenai hal itu dan saya turut meneliti nama-nama yang dipilih, antaranya Bront Palarae dan Beto Kusyairy.

Namun, buat masa ini, kami masih belum berfikir ke tahap itu kerana apa yang penting adalah skrip dahulu.

Dalam penghasilan Tombiruo, kami amat menitikberatkan tiga perkara iaitu cerita, karakter dan penceritaan. Kami perlu mengukuhkan tiga aspek itu baharulah ianya boleh diteruskan ke peringkat seterusnya.

Mendapat sentuhan pengarahan daripada Nasir Jani, adakah anda mempercayai kehebatan pengarah ini dan adakah dia mampu membawa Tombiruo ke tahap yang tersendiri?

Mungkin bagi generasi baharu, nama Nasir Jani asing dalam industri perfileman tempatan. Namun, jika diselak sejarah penglibatannya dalam bidang pengarahan filem, dia merupakan pengkarya yang tidak asing lagi di era 80 an.

Lihat sahajalah filemnya, Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87, ianya mempamerkan kekuatan dan kehebatan Nasir dalam membawa karya yang hebat ke layar.

Walaupun sudah hampir tiga dekat dia tidak terlibat dalam kerja-kerja pengarahan filem, namun dia masih bernafas dalam industri dengan kerja-kerja di belakang tabir dan mengikuti perkembangan semasa industri.

Melihat kepada profil pengarah ini, tidak ada sebab untuk kami ragu-ragu dengan kebolehannya dan kami yakin, dia boleh bawa Tombiruo seperti yang kami mahukan.

Akhir sekali, apakah harapan anda untuk Tombiruo yang bakal menemui penonton di pawagam nanti?

Secara jujurnya, saya memerhatikan perjalanan industri dan paling ketara adalah sejak 2013, industri berdepan dengan kemerosotan dari segi kutipan di pawagam. Namun, ianya mungkin berkaitan dengan jumlah filem yang semakin bertambah setiap tahun.

Saya tidak rasa bahawa penonton itu sudah tiada atau makin kurang, namun penonton kini lebih bijak dalam menilai karya yang dipertontonkan di pawagam. Saya berharap agar Tombiruo dapat memberi perbezaan kepada industri perfileman tempatan walaupun genrenya janggal daripada kebanyakan filem tempatan.

Apa yang pasti, kami akan bekerja keras untuk Tombiruo termasuk dari segi pemasaran. Malah, kami menjangkakan kempen untuk filem ini akan dibuat lebih awal dengan pelbagai medium yang ada.

~ Sinar Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top