Aeril Zafrel,Wawa Zainal akan bersanding buat kali pertama

Aeril Zafrel dan Wawa Zainal akan bersanding buat kali pertama. sementelah dua tahun melayari kehidupan berumah tangga, Wawa, 23, dan Aeril, 27, tidak pernah melangsungkan majlis perkahwinan seperti pasangan pengantin lain.

Namun rupa-rupanya pasangan itu akan bersanding di depan khalayak ramai pada 31 Januari depan.
Bagaimanapun, majlis persandingan tersebut dilakukan atas dasar komitmen mereka sebagai duta kepada Malaysia International Wedding Festival (Minwef).

Bertempat di Dewan Kenanga Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah (MPSPK), pasangan sejoli itu akan memenuhi tuntutan kerja yang memerlukan mereka bersanding dengan penuh adat bagi festival yang julung-julung kali diadakan itu.


Festival yang akan berlangsung selama lima hari bermula 28 Januari hingga 1 Februari depan itu merupakan anjuran daripada Big Pictures Event Sdn. Bhd. dan turut disertai lebih 80 pempamer dengan 103 ruang pameran yang dibuka untuk orang ramai.

Persandingan pertama

Pasangan suami isteri muda ini pernah dihenyak dengan kisah kontroversi selepas merahsiakan status perkahwinan sehingga memaksa perancangan mengadakan majlis persandingan untuk hari bahagia mereka terkubur begitu sahaja.

“Kalau diikutkan, memang dahulu kami mahu adakan majlis perkahwinan dan persandingan sama seperti pasangan pengantin yang lain. Tetapi rancangan itu kami buat sebelum status pernikahan kami terbongkar. Apabila sudah kecoh, mahu tidak mahu kami terpaksa lupakan sahaja hasrat itu.

“Cukuplah kalau semua orang sedia maklum yang kami sudah bernikah. Majlis persandingan dan seumpamanya itu bukannya kayu ukur bagi sesebuah perkahwinan. Asalkan lengkap semua rukun nikah, itu sudah cukup,” ujar pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin itu sambil menghambur gelak tawa mesra.

Ditanya mengenai perasaan mereka apabila disandingkan buat pertama kali pada 31 Januari depan, jawapan yang dilontarkan sama sekali berbeza dengan apa yang diharapkan.

“Langsung tidak teruja. Sebaliknya kami berdua sangat gementar,” sambung Wawa sambil tersipu malu.

“Kami bersetuju untuk bersanding atas dasar kerja, tetapi kalau ditanya mengenai keterujaan bersanding, langsung tidak ada.

“Pada awalnya, Aeril tidak mahu menerima tawaran ini tetapi setelah berkali-kali dipujuk akhirnya dia bersetuju juga. Lama jugalah saya mahu pujuk dia,” cerita Wawa sambil menjeling manja suami tercinta.

Sambil ketawa, Aeril mencelah kata, jika bukan disebabkan dasar kerja dan dipujuk berkali-kali oleh isterinya, mungkin dirinya tidak akan menerima tawaran kerja tersebut.

“Bukan apa, saya ini pemalu orangnya. Apatah lagi terpaksa bersanding di hadapan orang ramai yang bukan saudara-mara sendiri. Siap berarak, jadi perasaan gementar dan risau itu melebihi segalanya.

“Maklumlah kami ini pasangan pengantin lama, bukannya baharu berkahwin,” seloroh lelaki bernama Suharil Sunari itu ceria mengusik isteri di sebelah.

Pasangan itu akan diraikan pada satu majlis persandingan dengan tema tradisional pada 31 Januari depan, manakala malam sebelumnya iaitu 30 Januari akan diadakan majlis doa selamat terlebih dulu.

Bahagia

Menyelusuri kehidupan berumah tangga, teraju utama drama Cerita Cinta Kita itu nyata bahagia dengan kurniaan hidup rahmat Yang Maha Esa yang tidak mungkin mampu dibeli di mana-mana.

Dikurniakan seorang anak lelaki comel, Ahmad Fakharuddin Attar yang kini sudah berusia setahun lima bulan, Aeril dan Wawa hanya mampu melafazkan ungkapan syukur yang tidak terhingga dengan bahagia yang dikecapi.

“Syukur Alhamdulillah, perjalanan hidup kami dimudahkan Tuhan. Semuanya berjalan lancar buat masa sekarang, Alhamdulillah. Malah rezeki kami juga semakin murah.

“Itu semua aturan Dia. Mungkin kisah kontroversi yang melanda kami sebelum ini semuanya punya hikmah tersendiri. Apa yang penting, kita sebagai manusia harus bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah,” luah Wawa yang popular menerusi drama Ana Lu’lu.

Ditanya mengenai perancangan untuk menambah cahaya mata, sambil berbalas pandangan, kedua-duanya menghamburkan tawa kecil sebelum membalas ajukan soalan yang dihulurkan.

“Perancangan itu memang ada. Kalau ada rezeki nanti, saya mahu anak perempuan pula. Insya-Allah mungkin tahun ini, tetapi tengoklah dulu bagaimana. Sebab manusia hanya mampu merancang.

“Kalau doa saya dimakbulkan dan memang betul kami dapat anak perempuan nanti, saya mahu memberi nama kepadanya Fatin Qalbie iaitu nama watak saya di dalam filem 99 Kali Rindu,” ujar pelakon drama Cinta Jannah itu sambil tersenyum mesra.

Anak keutamaan

Sementara itu, Aeril tidak terkecuali berbicara tentang perancangan rumah tangga mereka.

“Orang cakap, kalau mahu buat suami jarang keluar rumah, si isteri perlu melahirkan ramai anak,” seloroh Aeril sambil diiring tawa besar.

Wawa yang duduk di sebelah Aeril menyambut kenyataan itu dengan menepuk mesra paha suaminya.

“Sebab itulah saya makin kurus sekarang!” seloroh Wawa pula memulangkan buah paku keras kepada suami.

Memang diakui, ketika kaki melangkah masuk ke dalam bilik di mana sidang akhbar hari itu berlangsung, mata terlihat kepada sosok belakang tubuh seorang wanita berhijab yang kelihatan sangat kurus. Rupa-rupanya itulah Wawa Zainal.

“Menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu itu sangat membahagiakan. Namun kadang-kadang saya akui, memikul dua tanggungjawab pada satu masa merupakan perkara yang sangat memenatkan.

“Tambahan pula sekarang Attar sangat aktif, tidak duduk diam. Mungkin sekarang dia sedang dalam proses membesar, sebab itu tenaga dia lain macam sedikit,” hambur Wawa ceria.

Mengambil tahu serba sedikit perkembangan permata hati mereka itu, Aeril berkongsi, sekarang puteranya itu sudah pandai berjalan, mengira dan mengaji.

“Sebagai seorang ibu dan ayah, apa yang penting adalah untuk mendidik anak kami ke arah kebaikan. Kami mahu dia membesar sebagai seorang manusia yang penuh ilmu agama di dada.

“Sebab itu sekarang saya selalu pasangkan lagu-lagu berunsur ketuhanan dan kerohanian untuk dia dengar. Lagu-lagu seperti itu sangat bagus untuk anak-anak kecil sebenarnya.

“Malah, sekarang pun dia sudah pandai mengira. Satu, dua, tiga dan terus kepada angka enam. Mengaji pun sudah pandai sedikit. Alif, ba dan ta sahaja,” kongsi Aeril berbicara mengenai keletah anak sulungnya itu sambil ketawa bahagia.

Kembali aktif

Ditebak dengan sisi kerjaya sementelah kelibat wajah pasangan suami isteri itu jarang dilihat dalam kaca televisyen sekitar tahun lalu, kedua-duanya punya alasan munasabah.

Bicara Aeril, tahun lepas adalah tempoh bagi memperlahankan sedikit kerjaya seni untuk menumpukan kepada bidang perniagaan pakaian yang diusahakan mereka berdua bermula sekitar awal bulan Disember tahun lalu.

“Sekarang kami sedang usahakan perniagaan pakaian jubah lelaki dan wanita dengan jenama wa_wawaeril. Sekarang kami fokuskan kepada bisnes dalam talian dulu sebab zaman kini teknologi menjadi trend.

“Malah, untuk perkongsian bersama juga kami kini memiliki sebuah kilang menjahit pakaian di Subang. Di kilang itulah kami menjahit koleksi pakaian yang dijual selain turut menerima tempahan untuk menjahit pelbagai jenis pakaian.

“Kami jadikan perniagaan sebagai pendapatan kedua selain kerjaya seni. Pada kami, biarlah kedua-duanya seimbang sebab mahu jadi artis bukan perkara mudah, begitu juga dengan perniagaan. Ada pasang surut,” ujar Aeril yang bercadang mahu mengeluarkan koleksi pakaian kanak-kanak selepas ini.

Berbicara mengenai kerjaya, Aeril berkata, tahun 2015 adalah masa yang terbaik untuk dirinya kembali aktif di persada seni dengan menjadikan drama sebagai kekuatannya.

“Jika tahun lepas, saya sendiri yang mengehadkan penglibatan diri dalam pembikinan drama memandangkan komitmen dengan keluarga dan anak yang masih kecil. Sekarang anak sudah besar sedikit, jadi semuanya kembali stabil.

“Dalam perancangan pula, Insya-Allah saya akan terbabit dengan tiga buah filem di Indonesia. Penggambaran akan bermula dalam masa terdekat. Mungkin sekarang masanya untuk saya mencuba pasaran di sana pula,” kongsi pengarah filem Omerta itu ceria.

Begitu juga dengan perkembangan Wawa yang akan kembali aktif sebagai pelakon dalam masa terdekat. Pada masa yang sama, mereka tidak menolak untuk digandingkan dengan pelakon lain sambil menegaskan bahawa mereka tidak mengehadkan untuk hanya bergandingan berdua bagi mana-mana produksi drama.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top