Kes saman Suki Low: Rayuan Galaxy Music ditolak
MAHKAMAH Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes saman penyanyi Suki Low terhadap bekas syarikat pengurusannya, Galaxy Music.
Mahkamah menolak rayuan Galaxy Music agar keputusan kes saman tahun lalu itu disemak semula.
Keputusan rayuan diketahui Selasa lalu.
Melalui tuntutannya tahun lalu, Suki telah meminta Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Galaxy Music supaya membatalkan perjanjian yang telah ditandatanganinya.
Suki juga mahu syarikat itu memulangkan RM367,575.17 dengan serta-merta.
Galaxy Music gagal menerbit, merakam, mempromosi, memasar, mengedar dan menyediakan sebuah album antarabangsa berbahasa Cina ke Taiwan, China serta Hong Kong seperti yang dipersetujui.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Infi8 Dreams berkata, "selepas memenangi kes mahkamahnya tahun lalu dengan bekas syarikat pengurusannya Galaxy Music, juara rancangan realiti Suki Low menyangka yang dia dapat meneruskan hidupnya tanpa sebarang masalah."
"Namun bintang yang baru sahaja berkahwin itu terpaksa ke Mahkamah Rayuan selepas pihak Galaxy Music memfailkan rayuan untuk meminta Mahkamah Tinggi mengubah keputusan yang telah dibuat tahun lalu.
"Bagaimanapun Suki sekali lagi berjaya selepas tuntutan rayuan yang dikemukakan oleh Galaxy Music ditolak pihak mahkamah pada hari Selasa, 29 Januari 2013," kata kenyataan itu.
Ia menambah, "ini mengukuhkan lagi keputusan yang telah dikeluarkan oleh pihak Mahkamah Tinggi tahun lalu menyebabkan pihak Galaxy Music terpaksa membayar Suki RM20,000 lagi kerana memperpanjangkan kes ini."
Kenyataan itu menambah, melalui tuntutannya tahun lalu, Suki telah meminta pembabitan Mahkamah Tinggi untuk mengarah syarikat pengurusan Galaxy supaya membatalkan perjanjian yang telah ditandatanganinya dengan mereka serta memulangkan wang berjumlah RM367,575.17 dengan serta-merta yang telah dibayar kepada syarikat pengurusan artis tersebut selepas mereka menyatakan yang mereka akan menerbit, merakam, mempromosi, memasarkan, mengedarkan dan menyediakan untuk jualan sebuah album antarabangsa berbahasa Cina di Taiwan, China dan Hong Kong namun gagal untuk melaksanakannya.
Katanya, wang tersebut merupakan wang hadiah yang telah diterimanya selepas menjuarai sebuah rancangan TV realiti bernama One In A Million pada tahun 2006.
Walaupun telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar Suki wang ganti rugi, Galaxy Music masih enggan melakukannya, katanya.
Oleh itu, kata kenyataan media ini, Suki telah memperoleh arahan mahkamah untuk membawa para pengarah Galaxy Music ke mahkamah bagi pemeriksaan demi memastikan kemampuan Galaxy Music membayar jumlah wang yang telah dituntut.
"Proses ini masih berterusan dan para pengarah Galaxy Music dikehendaki menghadiri sesi mahkamah untuk menyelesaikan isu ini pada 6 dan 7 Februari 2013 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya.
“Suki berharap semuanya akan benar-benar berakhir kerana perkara ini telah berlarutan terlalu lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Suki kini sibuk menyiapkan album terbarunya.
~ Sinar Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan