Andrea Bocelli Live in Kuala Lumpur
Penyanyi tenor dari Itali, Andrea Bocelli akan membuat kemunculan dalam konsertnya yang bakal diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil dekat sini pada 5 Mei depan.
Persembahannya di negara ini merupakan persinggahan konsertnya bagi Asia Timur.
Bocelli, 54, kembali mendapat perhatian dengan album baharunya berjudul Passione yang dikeluarkan pada 29 Januari lalu.
Album berkenaan memuatkan koleksi lagu-lagu cinta “Mediterranean” yang turut memaparkan duetnya dengan bintang pop Jennifer Lopez, Nelly Furtado dan Edith Piaf.
Album ini juga mendapat sentuhan David Foster yang sebelum ini turut menerbitkan album Bocelli pada tahun 2006 iaitu Amore yang dijual melebihi 4.2 juta unit. Dia juga terkenal dengan lagu-lagu popular lain seperti The Prayer, La Vocal Del Silenzio dan Sohno.
Menerusi genre pop dan opera yang diperkenalkan, Bocelli berjaya meraih penjualan album tertinggi pertengahan kerjayanya sekitar tahun 1990-an apabila albumnya terjual melebihi 70 juta naskhah.
Beliau dilahirkan dalam keadaan menghadapi masalah penglihatan dan seterusnya menjadi buta ketika berusia 12 tahun selepas terlibat dengan kemalangan ketika bermain bola sepak.
Dalam persembahannya di Kuala Lumpur nanti, Bocelli bakal disokong oleh pemain orkestra dan koir yang akan dipimpin oleh Marcello Rota.
Tiket bagi mengikuti persembahannya dijual di antara RM388, RM588, RM988, RM1,288, RM1,888 dan RM2,888.
Ia boleh dibeli menerusi www.ticket pro.com.my atau boleh menghubungi talian 03-78807999.
0 ulasan:
Catat Ulasan