Ssembilan minggu persembahan Maharaja Lawak, pengkritik tetap program tersebut, Saiful Apek, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Mamat Khalid mempunyai imuniti atau kuasa untuk memasukkan semula peserta tersingkir.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, ketiga-tiga mereka hanya diberi sekali sahaja kuasa imuniti untuk membantu peserta yang difikir layak tetapi terkeluar sebelum waktunya.

"Dalam apa juga hal sekalipun, ketiga-tiga mereka kena sepakat. Kalau dua orang kata guna imuniti dan seorang lagi tidak, maka kuasa itu (imuniti) tidak boleh diguna pakai.

"Sebab itulah setiap kali ada yang tersingkir, pengacara, AC Mizal akan bertanya, adakah pengkritik akan menggunakan imuniti atau tidak," kata Nizam.

Menurut Nizam lagi, setiap minggu akan diselitkan elemen-elemen kejutan untuk memberi impak kepada program ini, tambahan pula format Maharaja Lawak ditentukan oleh pihak Astro.

Untuk program yang mengumpul para juara dan finalis Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima, pemarkahan ditentukan oleh 50 peratus markah juri dan 50 peratus lagi, undian daripada penonton.

Kata Nizam, jika dibuat perbandingan persembahan para peserta yang perlu memenuhi tema, tema 'komedi muzikal' adalah yang terbaik berbanding dua minggu sebelum ini.

Malah beliau juga berkata, jika ada peserta yang masih menggunakan lawak lucah ia adalah di luar kawalan Astro.

"Semasa latihan memang ada pemantauan dan apa yang ditampilkan sewaktu persembahan, selalunya berbeza. Bagaimanapun untuk siaran ulangan, babak yang difikir tidak sesuai untuk siaran, akan dipotong," jelas Nizam.

R2 trauma komedi muzikal

JIKA penonton terhibur melihat gelagat peserta Maharaja Lawak bertema komedi muzikal, kumpulan adik-beradik R2 yang dianggotai oleh Rahim, 40, dan Ridhzuan Mat Ali, 22, pula trauma dengan tema itu.

Menurut Rahim atau Along, setiap kali tema komedi muzikal diberikan oleh Astro, R2 pasti gelabah kerana ia seakan-akan ada badi kepada R2.

Katanya, sejak program Raja Lawak musim kelima (RL5) sehingga Maharaja Lawak, R2 telah melalui tig a pengalaman 'ngeri'.

"Apabila masuk bab komedi muzikal, kami memang lemah sejak pertama kali buat persembahan sehinggalah tiba ke saat malam ini. Kalau ikut persembahan kami pada malam ini, ia memang sudah dapat dijangkakan.

"Ini minggu paling sukar. Kalau peserta lain pilih lagu terkini, kami pula 'can ma li can' (hentam) sahaja sebab ia mudah. Itupun masih belum dapat menyokong persembahan kami. Sudah nasib kami begini," luah Along.

Pada minggu ketiga program Maharaja Lawak, R2 hanya memperoleh undian 25 peratus sahaja menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berbanding Nabil, 56 peratus yang menduduki tempat teratas setakat ini.

Kata Along lagi, biarpun R2 tersingkir namun mereka berpuas hati kerana segala impian untuk menyertai program sedemikian berjaya dilakukan.

"Sejak keluar dari RL5, ke mana sahaja kami pergi, akan ada orang yang mengenali kami tetapi, soal tawaran, tidaklah banyak. Sekadar ada tawaran.

"Sebab itulah, kami tidak berani untuk memberi komitmen 100 peratus kepada seni. Kami masih lagi bekerja seperti biasa," katanya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top