Eka
KUALA LUMPUR: Nur Atiqah Shariffudin (Eka), 21, menjadi peserta kedua tersingkir pada minggu kedua Konsert Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Sabtu.
Bagaikan suatu petanda, Eka terpaksa akur dengan kekalahannya setelah menyanyikan lagu I’m Sorry Goodbye nyanyian Kris Dayanti dengan mendapat markah terendah iaitu 4 peratus.
“Saya rasa lagu Kris Dayanti ini sangat mencabar dan terlalu besar untuk saya. Walaupun tidak pernah mendengarnya, saya terus menyukainya setelah pertama kali dengar.
“Bagaimanapun, saya sudah melakukan yang termampu. Sebab itu saya tidak berpuas hati dengan komen pengkritik yang mengatakan saya malas, sedangkan saya sudah berusaha menyanyikan lagu itu,” kata Eka dalam satu sidang media.
Menyentuh tentang perancangannya selepas ini, Eka ingin merakamkan single sambil meneruskan kariernya dalam bidang tarian.
Ini kerana pelajar dari Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) ini sudah lama menyertai tarian dan memasuki banyak pertandingan.
“Saya akan tetap menari kerana tarian sudah sebati dalam diri saya. Saya juga ingin meneruskan impian saya untuk menjadi penyanyi sambil menari.
“Walaupun kurang mendapat undian penonton, saya tidak merasakan diri saya sudah gagal.
“Saya tak akan putus asa sebab saya rasa saya boleh pergi lebih jauh. Lagipun program ini baru permulaan dan saya boleh belajar untuk mendalami bidang nyanyian selepas ini,” ujar Eka yang menggemari lagu balada.
Sementara itu, pengetua AF9, Amy Search memuji Eka yang merupakan seorang yang rajin dan sentiasa berusaha kuat sepanjang di akademi.
“Eka seorang yang rajin dan mempunyai semangat yang lebih ketika di AF9. Dia juga sangat teruja untuk mempelajari nyanyian daripada lagu yang diberikan.
“Eka mempunyai bakat dalam bidang tarian, jadi saya rasa dia boleh sumbangkan sesuatu apabila berada di luar nanti,” kata Amy.
Turut serta dalam majlis tersebut adalah Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, Penerbit Eksekutif AF9, Irwan Rauf dan pengacara AF9, Aznil Nawawi.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan