SANDARAN tugas Pengetua Akademi Fantasia 9 (AF9) yang diberikan kepada ikon rock terkenal Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, bukanlah sesuatu yang ringan. Sebaliknya ia menuntut komitmen yang tinggi apatah lagi ini dikatakan musim terakhir program popular itu.

Bukan setakat duduk di ruang pejabat, sebaliknya bintang yang juga vokalis Search ini perlu selalu peka dan memerhati setiap inci pergerakan mereka dengan dekat agar bintang yang ingin digilap benar-benar gemerlapan selepas semuanya selesai.

Mendengar 1001 spekulasi yang kononnya mengatakan ikon popular kelahiran Johor Bahru ini adalah pilihan kedua selepas kegagalan pihak Astro membawa masuk Ahmad Dhani dari Dewa 19, tidak pernah mengundang rasa kecewa atau terkilan Amy kerana apa yang didengar sebelum ini hanyalah desas-desus.


“Usah kita terlalu memikirkan perkara sebegitu kerana semuanya bukan kesahihan yang nyata. Memang saya pun ada terdengar tapi pihak Astro sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau pengumuman. Justeru saya tidak melihat perkara itu terlalu kecoh dan penting sehingga perlu terasa hati kononnya saya pilihan kedua.

“Ahmad Dhani sendiri adalah rakan peminat Search sejak dulu. Bagi saya ia satu penghargaan buat kami dalam Search. Tiada sebarang masalah timbul mengenai isu pelantikan Pengetua AF9 ini kerana apa yang lebih menjadi keutamaan adalah tanggungjawab saya mengemudi AF9 sekarang.

“Undangan menjadi pengetua bukanlah satu perkara yang dilihat dari perspektif populariti saja sebaliknya saya melihat pada skala lebih luas. Pelbagai sudut perlu saya lihat agar tidak terlepas pandang mana-mana bahagian yang mungkin penting terutamanya perkembangan nyanyian dan persembahan pelajar.

“Terlalu awal untuk saya membuat ramalan atau apa-apa penilaian namun sepanjang seminggu lebih bersama keluarga AF, saya sudah mengesan beberapa bakat yang berpotensi besar untuk digilap menjadi seseorang yang berharga buat industri. Mungkin ada sekurang-kurangnya tiga pelajar yang mudah dibentuk menjadi seorang bintang berbakat besar satu hari nanti.


“Realitinya inilah satu lagi dimensi baru dalam kerjaya seni saya sebagai seorang penghibur,” kata Amy.


Penyanyi yang terkenal dengan lagu Isabella, Meniti Titian Usang, Laila Namamu Teratas, Rozana dan Kerja Gila ini ditemui pada sidang media sempena Konsert Lagenda Double Trouble di restoran miliknya, Cheng Ho, Rabu lalu.

Bagaimanapun dalam sibuk meneliti jadual hariannya yang tiada ruang untuk menerjah kerja lain, bintang berusia 53 tahun ini masih sempat menerima undangan konsert hebat ini bersama Wings yang bakal diadakan pada 27 Mei nanti di Stadium Hang Jebat, Melaka.

“Alhamdulillah masih ramai pihak yang percaya dan tertarik melihat keupayaan kami dalam menjayakan sesebuah konsert. Tahun lalu saja, saya berasa sangat puas kerana berjaya mendekati kesemua peminat dan pengikut muzik Search dan Wings di beberapa lokasi. Justeru undangan pihak Abalimalimon Event untuk menganjurkan konsert Double Trouble sekali lagi di lokasi bersejarah Melaka, sukar buat saya menolaknya.

“Soal kesibukan jadual dan komitmen terhadap AF tidak menjadi satu masalah kerana sejak awal lagi, pihak Astro sudah meneliti jadual seni saya dan tarikh konsert pada hari Jumaat juga tidak bercanggah dengan persembahan AF yang diadakan setiap malam Sabtu. Justeru semua itu tidak menjadi satu kebimbangan kepada mana-mana pihak,” katanya yang menyangkal penganjuran Double Trouble semakin kerap hingga membuatkan peminat mula bosan.

Mengakui konsert ini adalah yang terakhir bagi penjelajahan siri Double Trouble selepas berjaya menarik ribuan penonton di enam lokasi berbeza sejak tahun lalu, Amy tegar memantau keseluruhan proses pelaksanaannya agar tiada lagi masalah seperti mana penganjuran terdahulu.


“Dulu ketika zaman kegemilangan kami, setiap kali album berjaya dilancarkan, kami akan adakan persembahan di lebih 30 lokasi. Bayangkan, kami akan pusing satu Malaysia untuk membuat konsert bergerak. Justeru setakat lima konsert tahun lalu, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Alhamdulillah permintaan untuk kami masih ada.

“Seperkara yang saya pentingkan adalah sistem bunyi memandangkan sebelum ini beberapa kali kami dihantui masalah itu hingga membuatkan gerak nyanyian permainan muzik terganggu. Malah peminat dan penonton juga kecewa kerana gagal mendengar sebuah persembahan yang sempurna. Justeru kali ini, saya dan ahli Search yang lain akan turun padang melihat dulu proses persediaan terutamanya sistem bunyi. Kami mahu penonton di Melaka kelak dapat berhibur dalam persembahan yang hebat.

“Apapun saya menyifatkan konsert lagenda ini adalah yang terakhir buat gabungan Search dan Wings. Bukan sebab penat atau kecewa, sebaliknya cukuplah untuk kami semua. Mungkin ini masa terbaik buat kami berehat,” katanya.

Wakil penganjur daripada Abalimalimon Event Unit, Ab Alim Alimon pula berjanji yang konsert lagenda ini akan memberikan sesuatu yang berbeza berbanding Double Trouble yang lain.

“Bukan setakat sistem bunyinya yang terbaik, malah kami suntikan kelainan daripada sudut pemilihan lagu, gerak persembahan dan gimik yang dirancangkan agar penonton tidak jemu atau muak apabila melihat persembahan itu nanti.

“Menariknya, lokasi konsert ini akan dilakukan di Melaka yang bakal memuatkan lebih 30 ribu penonton. Malah peminat yang hadir juga berpeluang untuk meninjau karnival yang diadakan dari 25 hingga 29 Mei di perkarangan stadium. Pelbagai aktiviti dan acara yang dianjurkan termasuk sukan rakyat, karaoke, konvoi motosikal Road To Dt Melaka 2011, makan amal anak yatim bersama menteri, gerai-gerai jualan dan bermacam-macam lagi,” katanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top