ADA yang menarik untuk dirangkumkan hasil pertemuan OopStarz! dengan aktor Tony Eusoff, baru-baru ini.
Menerusi pelbagai topik yang kami bualkan, dua perspektif baru tentang lelaki berketurunan Bidayuh ini berjaya dibongkar.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa anak Sarawak berketurunan Bidayuh ini boleh menyanyi dan lucu orangnya.
Kebolehan Tony dalam seni suara sudah acap kali dipertontonkan menerusi pelbagai persembahan pentas termasuk teater muzikal sebelum ini.
Cuma, dia sekadar mengalunkan vokalnya di pentas berskala kecil atau di depan kelompok audiens tertentu saja.
Sehinggalah penglibatannya dalam muzikal Terima Kasih Cinta berjaya menembusi khalayak barulah bakat nyanyiannya diperakui umum.
Kata lelaki berketinggian 1.75 meter ini, niat asalnya ketika mula-mula menceburi lapangan seni kira-kira tujuh tahun lalu adalah untuk bergelar penyanyi.
Di awal pembabitannya, dia mengakui mempunyai sebuah kumpulan muzik dan pernah menjaja demo lagu di merata syarikat rakaman tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.
Barangkali, sudah tertulis peluangnya terarah ke pentas lakonan, maka graduan seni bina ini terus mengorak langkah sebagai anak wayang.
"Namun, hasrat saya untuk bergelar penyanyi tidak pernah berkubur. Saya sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk merealisasikan impian itu.
"Sebab itu saya cukup teruja setiap kali menerima tawaran untuk berlakon teater muzikal. Sekurang-kurangnya ada juga platform untuk saya menyanyi," katanya.
Hasilkan album
Bukan hanya cakap kosong, lelaki berusia 34 tahun ini sebaliknya merancang untuk menerbitkan lagu single genre jazz dalam tahun ini.
"Memang sudah lama hendak buat album atau sekurang-kurangnya lagu tetapi ia menuntut masa dan status kewangan yang baik. Apa pun, berkemungkinan besar saya akan hasilkan lagu sendiri dalam tahun ini.
"Saya sudah mengenalpasti penerbit yang paling sesuai. Kalau boleh saya ingin bekerjasama dengan Roslan Aziz kerana kewibawaannya dalam muzik," katanya yang mendapat respons positif peminat tentang hasratnya itu.
Selain nyanyian, Tony yang sinonim dengan imej maskulin dan berkarisma ini juga punya satu lagi sisi menarik yang tidak diketahui ramai. Siapa sangka di sebalik perwatakan matang dan serius itu, model sambilan ini sebenarnya cintakan komedi.
"Orang mungkin tidak tahu saya sebenarnya sukakan komedi. Sudah lama saya ingin mencuba filem atau drama komedi cuma peluang itu belum tiba.
"Di pentas komersial, masyarakat belum melihat saya menjayakan karakter komedi tetapi saya sudah banyak terlibat dalam pementasan komedi berbahasa Inggeris sebelum ini. Jika diberikan peluang saya ingin menambahkan variasi dalam profil seni, sekali gus mencabar diri untuk mengundang gelak ketawa penonton," katanya.
Bersikap selektif
Topik perbualan kami yang silih berganti lantas mengundang pertanyaan mengenai kehadiran aktor itu yang dilihat berada pada liganya tersendiri dalam bidang hiburan.
Sempat tersengih sebelum menjawab, Tony yang menyedari kenyataan itu berpendapat, seseorang selebriti itu wajar meletakkan kedudukan dan statusnya pada tempat tertentu.
Bukan untuk bermegah diri tetapi perkara itu akan membantu mengangkat imej selebriti agar dihormati pada mata masyarakat.
"Bagi saya, memang perlu seseorang selebriti itu melonjakkan imej mereka pada tahap tertentu. Selebriti adalah figura yang menjadi perhatian dan penilaian umum.
"Jadi, tidak salah jika saya peka dan menitikberatkan soal imej dan status sebagai pelakon agar bidang seni ini lebih dihormati dan tidak dipandang rendah oleh segelintir pihak.
“Pelakon filem Sepi ini mengakui menjadi aktor pada kelas tersendiri dan bersikap selektif adalah proses yang merumitkan untuk tiga tahun pertama kerjayanya, namun hari ini Tony boleh tersenyum melihat hasil daripada tindakannya itu.
"Saya gembira dengan kedudukan hari ini. Mungkin saya tidak sepopular kebanyakan pelakon lain, yang penting orang industri mengenali saya.
"Saya percaya dengan imej dan mutu kerja yang baik, akan lebih ramai orang mengenali kita," katanya.
Bercakap soal selebriti tanah air, Tony menganggap industri hiburan tanah air tidak kira nyanyian atau lakonan perlu melonjakkan imej 'bintang' pada anak seni tempatan.
Mengambil contoh industri hiburan di barat, Bollywood atau Hong Kong sekalipun, kekasih kepada pelakon dan pengacara Dawn Jeremiah ini berkata: "Industri hiburan di luar sana tidak pernah mengambil mudah atau remeh tentang kualiti bintang pada selebriti mereka.
"Selebriti tidak akan menjadi bintang dengan sendirinya jika tiada sokongan, pelaburan dan lonjakan daripada orang-orang industri itu sendiri.
"Contohnya, penyanyi Rain, dia tidak menjadi bintang sekelip mata. Ramai orang di sekelilingnya yang melonjakkan imej dan kualiti Rain sehingga disegani di seluruh dunia. Begitu juga dengan bintang-bintang besar yang lain.
Malangnya, Tony melihat senario dan pendekatan yang berbeza di Malaysia. Selain penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan beberapa nama lain yang benar-benar boleh dianggap bintang, industri hiburan kita kurang pada aspek itu.
"Kita memang ada banyak bakat seni yang bagus, produk dan idea yang berkualiti tetapi kita lemah pada aspek penjenamaan dan imej.
"Rata-rata penerbit atau orang kuat industri takut mengambil risiko untuk melonjakkan selebriti kita agar menjadi bintang besar.
"Selagi kita ada mentaliti 'tak payah', 'tak perlu' dan 'tak logik', sampai bila pun kita tidak akan dapat melihat selebriti tempatan bergelar bintang besar di peringkat lebih besar," katanya sambil merenung jauh.
Foto YAP CHEE HONGSolekan VIE XENDRRA menggunakan 4U2 CosmeticsPakaian CAMEL ACTIVE
0 ulasan:
Catat Ulasan