Selain aktor Australia yang mencipta nama di Hollywood itu, filem arahan Yusry Abd Halim ini turut membariskan aktres Kanada, Natassia Malthe, Jon Foo dan Craig Fairbrass (United Kingdom), serta Conan Stevens, juga kelahiran Australia.
Eksekutif Presiden KRU Studios merangkap Penerbit Eksekutif Vikingdom, Norman Abd Halim, berkata pemilihan pelakon sudah mencipta nama pada peringkat global menjadi antara tarikan filem aksi pengembaraan yang mengangkat kisah mitos ketika era pahlawan Viking menguasai dunia.
Beliau berkata, kos keseluruhan pembikinan produk yang turut menggunakan teknik imejan janaan komputer (CGI) dan tiga dimensi (3D) itu belum dapat ditentukan sehingga tamat penggambaran 21 Disember ini.
"Idea menghasilkan filem ini timbul sejak 2008, tetapi hanya tahun lalu kami menumpukan perhatian kepada praproduksi termasuk meminta bantuan ejen kami, Epic Pictures (EP) di Los Angeles mendapatkan Dominic, yang diberi kelebihan memilih pelakon gandingannya.
"Bagi mendapatkan hasil keseluruhan sempurna, kami membuat pelaburan besar supaya filem ini setara dengan produksi Hollywood.
"Pelakon juga menonjolkan kesungguhan dan sepanjang dua minggu penggambaran, masing-masing begitu komited terutama ketika aksi pertarungan apabila lebih selesa melakukannya sendiri berbanding menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri," katanya pada majlis memperkenalkan pelakon di sini, semalam.
Norman berkata, hingga kini, sebanyak lapan wilayah sudah menyatakan kesediaan mengedarkan filem yang keseluruhannya dihasilkan di Malaysia, malah dijangka misi membawa Vikingdom ke pasaran lebih luas bakal mencapai sasaran.
"Ketika mengumumkan pembikinan filem ini di Cannes Mei tahun lalu, ramai pengedar menunjukkan minat dan sekali lagi, EP bekerjasama dengan kami sebagai pengedar antarabangsa," katanya.
EP turut memasarkan filem epik KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa atau The Malay Chronicles, ke peringkat antarabangsa.
0 ulasan:
Catat Ulasan