Media Prima telah mengumumkan pelbagai program menarik yang bakal ditayangkan di semua stesen televisyen miliknya pada tahun 2012.

Rangkaian stesen televisyen milik Media Prima Berhad iaitu TV3, TV9, ntv7 dan juga 8TV mengumumkan secara keseluruhannya, kini mereka memiliki jumlah penonton televisyen tertinggi di Malaysia dengan jumlah penonton 48 peratus pada suku tahun pertama 2011.

Stesen TV3 mendahului carta dengan memiliki jutaan penonton setia terutamanya dalam pelbagai slot drama di TV3. Antara drama terbaharu yang bakal ditayangkan adalah Atas Nama Cinta, Malaya, Bukan Bidadari, Amukan Pocong dan Mahabbah.

Program-program anugerah tahunan yang mendapat rating tertinggi seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Skrin masih terus menyerikan senarai program di TV3.

Selain itu, TV3 juga membawakan program drama fantasi dari England dan Filipina yang dinantikan-nantikan penonton untuk mengikuti sambungan sekuel drama Merlin dan juga Endless Love.

TV3 juga masih mengekalkan program terbitan dalaman yang mendapat sambutan seperti Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini, 999, 360, Bersamamu, Nona dan Majalah 3 bersama dua program baharu, Misi-K dan Unrevealed.

Program kanak-kanak juga mendapat perhatian bukan sahaja di TV3, malah di semua stesen televisyen Media Prima dan tahun hadapan kesemua program kanak-kanak disatukan di bawah nama Bananana.

Selepas lima tahun bersiaran, TV9 kini boleh berbangga apabila muncul sebagai stesen kedua yang digemari penonton.

Tahun hadapan TV9 bakal muncul dengan pelbagai program menarik terutamanya buat remaja seperti Teenwolf, Nine Lives Of Chloe King dan sebuah program muzik yang memperkenalkan muzik-muzik tempatan iaitu Soundchek.

TV9 turut menampilkan beberapa buah drama yang dijangka hits tahun depan seperti Cinta Jangan Pergi, Friday, I’m in Love serta sebuah program berkisar tentang bola yang diberi judul Gila Bola sempena dengan liga Eropah, EURO 2012.

8TV yang popular di kalangan anak muda dan penonton urban bakal menampil program-program terbaik dari Hollywood seperti Criminal Minds, Desperate Housewives, NCIS, The Vampire Diaries, Gossip Girl, Pretty Little Liars, The Secret Circle, Revenge, Switched at Birth, Apartment 23, Jane by Design, The X Factor dan American Idol.

Program-program terbitan dalaman 8TV yang mendapat sambutan penonton masih dikekalkan seperti Showdown 2012, Shout! Awards dan Ultimate Power Star 2 di samping program baharu, Projek Pop dan Hip Hoppin’ Asia.

ntv7 pula kekal sebagai stesen yang popular di kalangan penonton Cina. Menampilkan pelbagai program popular, antaranya Glee, Bones, Grey’s Anatomy, Drop Dead Diva The Oprah Winfrey Show, The Martha Stewart Show dan The Rachael Ray Show pada tahun hadapan, ntv7 yakin mereka mampu bersaing dengan stesen televisyen lain serta menambahkan jumlah penonton.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top