Sekali lagi pelawak tempatan yang sinonim dengan pentas jenaka membuktikan kemampuan mereka apabila mengungguli beberapa tempat teratas dalam saingan Maharaja Lawak Mega minggu kedua di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu.

Namun, usah leka kerana sudah ada bayang-bayang pelawak dari Indonesia semakin menunjukkan taring manakala calon Singapura pula semakin hilang arah.

Kedudukan selepas undian ditutup menyaksikan Boboi (Afdlin Shauki & Harun Salim Bachik) masih selesa di tangga teratas dengan undian 61 peratus. Namun, kejutan berlaku apabila Bawel dari Indonesia yang dianggotai Dodon, Amin Bawel & Dadang, menepis Bawal Power (Bob Kuman & Sobri) daripada kedudukan kedua minggu lalu apabila memperoleh undian 58 peratus, manakala Bawal Power (57 peratus) untuk berada di tempat ketiga.

Adlin Aman Ramlie juga menunjukkan taringnya apabila berjaya menjadi peserta solo yang hebat dengan mengutip 57 peratus undian.

Begitu juga trio Pi Mai (Imuda, Mat Over & Sathiya) yang masih memberikan saingan apabila berkongsi peratus undian sama dengan Bawal Power dan Adlin.

Dalam program yang dihoskan Datuk AC Mizal bagi Astro Warna (Saluran 132) itu, setiap peserta dilihat mencuba memberikan persembahan terbaik memandangkan diberitahu akan ada lima penyingkiran pada malam itu.

Boboi membuka pentas dengan jenaka berkisarkan budak tadika dan menerima pujian daripada pengkritik Datuk Chef Wan yang mengatakan suka cara mereka berkomunikasi di samping kandungan cerita yang asli.

Osbon yang dianggotai Mr Os dan Abon tampil dengan isu durian yang cuba ‘diharumkan’ baunya untuk dibawa masuk ke dalam pesawat. Mereka menerima kritikan Zainal Abidin Hassan yang menyifatkan jika bermain bola mereka akan menerima kad kuning. Dia meminta mereka membaiki lagi kualiti lawak bagi minggu berikutnya.

Bawal Power ternyata ditunggu-tunggu peminat dan kemunculan mereka dengan jenaka wartawan hiburan sangat menghiburkan. Malah, Datuk Siti Nurhaliza memuji persembahan mereka yang konsisten sejak minggu lalu dan mengucapkan syabas kerana pilih topik yang ringkas dan santai.

Caer dari Indonesia yang dianggotai Adetao, Mr Ibo & Decaer memilih topik jin dan agak kurang menyengat. Pengkritik jemputan, Adi Sixth Sense menyifatkan jenaka mereka lebih baik berbanding minggu sebelumnya.

Kemunculan wakil Singapura, trio Syok (Suhaimi/ Ifa Raziah /Ariff Sudin) agak kurang menyengat dengan jenaka rumah tangga. Kata Siti, dia menanti-nantikan ‘punchline’ yang boleh membuatkan dia ketawa, tapi mereka bergerak perlahan dan hanya menarik sedikit pada penghujung aksi. Namun, katanya, isu rumah tangga adalah sesuatu yang menarik.

Wakil Malaysia yang lain ialah Anje (Achong Sweet Child & Joey Daud), RAP (Aziz Kota, Pak Lah & Rama), Comel (Bell Ngasri & Radhi Khalid), Lanun (Jegan, Elyas & Salman), JH (Jalil Hamid), 3G (Yassin, Didie Alias & Enot) dan Hiro (Hamdan, Ropi & Illya).

Semua mereka rata-rata menampilkan kandungan lawak yang kurang ‘punchline’ untuk menggeletek hati penonton kecuali 3G serta Hiro yang ada kekuatan dan dirasakan mampu mengekalkan kedudukan mereka.

Satu lagi wakil Indonesia, trio Saehu (Eko, Vicha & Bocil) turut hebat sehingga membuatkan penonton tidak kering gusi. Namun, sikap main-main wakil Singapura kedua, Gebu (Hani & Azian) yang hanya menyanyi dengan lirik jenaka membuatkan Chef Wan ‘naik hantu’ sehingga melepaskan kata-kata pedasnya terhadap mereka.

“Saya berada di sini adalah untuk menilai komedi. Ini bukan pertandingan nyanyian. Ini Maharaja Lawak Mega. Apa yang kamu buat tak kelakar!” katanya yang sebenarnya memberi komen membina.

Keseluruhannya ramai peserta menggunakan pengkritik sebagai bahan jenaka mereka dan ini turut mengundang teguran Chef Wan. Dia tidak mahu perkara ini berulang kerana bakal mengundang perasaan bosan penonton nanti.

Berdasarkan persembahan mereka, Gebu, Comel, Syok, Anje, RAP, Lanun dan Caer yang nampak goyah dan boleh tersingkir menerusi format penyingkiran 70 peratus undian markah juri dan 30 peratus undian penonton.

Namun, kejutan berlaku pula malam itu apabila tiada penyingkiran dibuat. Difahamkan penyingkiran akan dibuat pada minggu ini.

Dapat dilihat ada peserta masih tampil dengan gaya komedi lama, namun beruntung kerana sudah ada pengikut. Bagaimanapun, kata Pengurus Saluran Astro Warna dan Astro Prima, Nizam Sani, mereka tidak boleh selesa kerana apabila tinggal 12 peserta, ada tema khas ditampilkan setiap minggu.

“Format untuk dua minggu ini bertujuan bagi rakyat Malaysia mengenali dulu peserta dari Singapura dan Indonesia. Juri yang terbaik adalah penonton sendiri. Itulah sebabnya belum ada lagi penyingkiran kerana mahu memberi peluang mereka menilai persembahan setiap peserta.

“Seperti yang berlaku, kita dapat lihat kumpulan Bawel berjaya menduduki tempat kedua, sekali gus membuktikan komedi tiada batasan dan betapa cantiknya komedi serantau,” katanya.

Chef Wan pula berkata, biarpun pengkritik memberikan komen, segala-galanya terserah kepada penonton kerana mereka mempunyai cita rasa sendiri.

“Malam ini saya pilih Adlin kerana persembahannya sangat menghiburkan. Gebu pula saya nampak macam tak bersedia. Kalau mereka menyanyi satu lagu, OKlah.

“Saya juga terkejut dengan komedi Jalil Hamid yang hanya berkisarkan soal ayam,” katanya.

Zainal Abidin Hassan pula akui tidak ambil hati dengan lawak peserta yang turut mengaitkan warna kulitnya. Katanya, apa yang penting unsur lawak itu ada dan disukai peminat.

Gebu yang ditemui tidak ambil hati dengan komen Chef Wan.

“Orang Astro kata kami OK ketika latihan. Mungkin Chef Wan tak faham dan anggap kami main-main tapi kami tak ambil hati dengan komennya. Kami tak pernah anggap Maharaja Lawak Mega medan main-main. Kami akan terus berusaha,” kata anggotanya.

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top