Dengan ini, tujuh peserta akan beradu nasib pada konsert minggu keempat.
Peserta-peserta itu ialah Fakhrul Nizam Fauzi, 21, Norhasmidar Ahmad, 25, Mafarika Md. Tahir, 19, Airulazwan Abd. Rahman, 22, Irsa Sahabuddin, 24, Mohd.Janizam Jamaluddin, 26, dan Azmarul Azuan Harun, 27.
Menurut Penerbit Eksekutif Vokal, Muhamad Sufian Che Isa, keputusan tiada penyingkiran peserta pada konsert minggu ketiga baru-baru ini diambil kerana mahu memberi peluang kepada kesemua peserta untuk beraksi.
"Kami mahu semua peserta yang akan beraksi pada Ahad ini, membuat perubahan yang lebih baik dan ini langkah yang adil untuk semua peserta yang muncul bersaing pada kali pertama di atas satu pentas," katanya pada sidang akhbar di Plaza Alam Sentral , Shah Alam, Selangor, minggu lalu.
Sementara itu pengkritik tetap Vokal, Erra Fazira berkata, peserta Vokal harus lebih bersedia untuk membuat persembahan pada minggu ini.
"Tiada penyingkiran minggu lalu bukan sahaja satu berita baik kepada semua peserta tetapi juga sebagai satu kelebihan agar mereka lebih bersedia untuk minggu ini.
"Dengan berita baik ini, saya berharap mereka akan menghargainya dengan mempamerkan persembahan yang lebih mantap lagi," kata Erra.
Erra bagaimanapun berkata, pada kedudukan sekarang, tiada peserta yang berada dalam kedudukan selamat.
Sementara itu, seorang lagi pengkritik tetap Vokal, Azmeer berkata, bagi konsert minggu ketiga baru-baru ini, pemilihan lagu untuk disampaikan oleh peserta ditentukan oleh pihak penerbit.
Katanya, tidak timbul isu pemilihan lagu yang kurang menyerlahkan kemantapan vokal seseorang peserta itu sebaliknya peserta harus menyampaikan lagu masing-masing sebaik mungkin.
"Dalam pertandingan ini, pihak kami juga mahu mencari penyanyi yang mampu menyampaikan apa sahaja genre lagu," katanya.
Pada konsert Vokal minggu ketiga, Mafarikha Md. Akhir muncul sebagai peserta paling meyerlah dan dia berjaya membawa pulang hadian mingguan berupa kamera tajaan Canon.
Sistem pemarkahan Vokal dibahagikan kepada dua iaitu 50 peratus berdasarkan markah yang diberi oleh juri manakala selebihnya, ditentukan melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Vokal disiarkan setiap Ahad di TV3, pukul 9 malam.
0 ulasan:
Catat Ulasan