Tanpa selindung, Ning Baizura memberitahu dia sanggup menjual dua buah keretanya semata-mata untuk menampung kos penerbitan konsertnya, Ning@KL Live itu yang dikhabarkan menelan belanja hampir setengah juta ringgit.
Namun, bagi penyanyi yang mesra disapa Ning ini sedikit pun tidak berasa ralat apabila perlu melakukan pengorbanan sebesar itu.
Apa yang penting baginya untuk memberikan mutu persembahan terbaik menerusi konsertnya itu demi kepuasan peminat yang telah banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.
"Saya cukup sedar dalam zaman yang penuh mencabar hari ini, memang sukar untuk mendapat penajaan dan saya sendiri tidak berasa sedih apabila tidak ada pihak yang mahu menaja konsert saya ini.
"Apa yang saya harapkan agar ada pihak yang akan membuka mata apabila konsert Ning @ KL Live ini berlangsung nanti. Saya menganggap ini sebagai satu permulaan kerana selepas ini ada dua buah konsert lagi yang akan menyusul pada tahun depan dan 2013," kata Ning yang enggan memberitahu jenama kereta yang telah dijualnya itu.
Pemilik nama penuh Ning Baizura Sheikh Hamzah ini ditemui pada sidang akhbar Ning@KL Live yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir suami Ning, Omar Sharif Christopher Layton Dalton merangkap penerbit eksekutif konsert berkenaan selain Aylwin Santiago selaku pengarah muzik dan Anthony Chow (pengarah bunyi dan cahaya).
Berbicara lanjut mengenai konsertnya itu, anak kelahiran Kajang, Selangor ini mengakui pelaburan bagi menjayakan konsert itu sememangnya cukup besar.
Sehinggakan Ning memberitahu walaupun kesemua tiket habis dijual, ia hanya mampu menampung 40 peratus sahaja daripada kos keseluruhan perbelanjaan konsert itu.
Meskipun perlu berdepan dengan risiko yang cukup tinggi, namun ia sedikit pun tidak menggoyahkan niat Ning untuk memberikan persembahan yang akan dapat dikenang peminatnya kelak.
Malah, dia sendiri sudah tidak sabar lagi untuk menghiburkan peminatnya di pusat hiburan terkemuka negara itu.
"Sebenarnya ada sebab mengapa saya pilih KL Live kerana mungkin ada yang tidak tahu bahawa perjalanan seni saya bermula di lokasi tersebut menerusi pertandingan Voice of Asia.
"Lalu, saya fikir mengapa tidak untuk saya mengadakan konsert di situ bagi memperingati semula 'kelahiran' anak seni bernama Ning Baizura," kata pemenang Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 1994 ini sambil ketawa.
Walaupun konsertnya itu tidak mendapat penajaan yang besar tetapi Ning boleh tersenyum puas dan bangga apabila sebanyak 80 peratus tiket sudah pun habis dijual.
Dengan harga yang boleh dianggap cukup eksklusif dan 'mewah' iaitu dari RM150 hingga RM300, ternyata itu bukan satu halangan untuk peminatnya melaburkan wang semata-mata mahu menonton persembahan istimewa Ning itu.
Sementelah ia merupakan konsert pertamanya selepas beraksi dalam Konsert Teguh di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1996, Ning juga tidak mampu lagi menyembunyikan gelodak dalam jiwanya menjelang tarikh 2 Disember.
Tidak mahu membuatkan dirinya terlalu tertekan, Ning hanya mahu fokus kepada persembahannya terutama dari aspek vokal agar dia mampu berjuang di pentas sehingga ke garis penamat.
Apatah lagi konsert tersebut bakal memakan masa sehingga dua setengah jam, sudah pasti Ning mahu mengekalkan stamina.
Untuk itu, Ning bakal menjalani latihan vokal dengan teman seperjuangannya sewaktu di Akademi Fantasia musim kesembilan iaitu Syafizawati Shariff atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi.
"Mengenai pemilihan lagu-lagu pula, saya telah bekerjasama dengan Aylwin dan untuk peminat saya, usah khuatir kerana saya akan menyanyikan kesemua lagu-lagu popular dari album pertama, Dekat Padamu sehingga Dewa.
"Setiap lagu akan diberi susunan muzik baru dan segar oleh Aylwin yang dibahagikan dalam lima segmen mengikut konsep persembahan yang telah ditetapkan.
"Malah, ia juga akan diberi sentuhan bertaraf internasional yang pastinya menampilkan sisi lain saya sebagai seorang penghibur," ujar Ning lagi yang memberitahu konsert itu akan dilengkapi dengan sistem bunyi digital terkini selain rekaan set pentas yang direka oleh pereka set terkenal, Raja Maliq.
Hampir 20 buah lagu bakal disampaikan oleh Ning secara solo dan medley antaranya Curiga, Dugaanku, Kau dan Aku, Pasti, Teguh, Asmara, Ke Sayup Bintang, Human, Always, Antara Mungkin dan Curiga, Sayang Disayang, Kembali, Selagi Ada...Cinta, Awan Yang Terpilu dan Bila.
Menariknya tentang konsert itu juga apabila ia mengenengahkan konsep bunga yang menjadi simbolik dalam kerjaya Ning hampir dua dekad itu.
Lima jenis bunga yang menjadi pilihan Ning dalam konsert ini ialah bunga teratai, matahari, melor, mawar dan anggerik.
"Bunga-bunga ini banyak memberi inspirasi dan menggambarkan kehidupan serta perjalanan seni saya selama ini selain menggambarkan siapakah diri Ning Baizura yang sebenar.
"Lalu, apabila dicadangkan oleh Raja Maliq untuk mengambil bunga sebagai konsep persembahan, saya merasakan itu idea yang sangat sempurna dan tepat bagi konsert ini.
"Dalam konsert ini, setiap segmen akan mengikut jenis bunga ini baik dari segi busana, muzik serta permainan cahayanya," jelas Ning yang akan menyarungkan lima busana rekaan Michael Ong dan Jovian Mandagie sepanjang konsert itu nanti.
Bagi mereka yang belum mendapatkan tiket Ning@KL Live, bolehlah berbuat demikian dengan melayari laman web, www.tickethotline.com.my.
Ia juga boleh didapati di semua rangkaian toko muzik Rock Corner di The Curve, Subang Parade, The Gardens, KLCC, 1 Utama dan Ampang Point selain butik Ed Hardy di KLCC, Empire Gallery, Subang dan Lot 10.
0 ulasan:
Catat Ulasan