Disiarkan setiap Sabtu, jam 6.30 petang sebanyak 16 episod, Dream High mengisahkan sekumpulan enam pelajar di Kirin Art High School yang mendalami bidang muzik untuk mengejar impian mereka menjadi penyanyi terkenal di Korea. Datang daripada latar belakang keluarga berbeza, namun minat mereka sama.
Turut membariskan pelakon hebat lain antaranya Eun Jung, Su Ji serta Lee Ji Eunse termasuk dua anggota kumpulan 2PM, Taecyeon dan Wooyoung, watak Song Sam Dong lakonan Soo Hyun cukup menarik perhatian. Seorang pemuda pendiam dan berasal dari kampung, Sam Dong memiliki bakat yang besar.
Sayangnya, Sam Dong berhadapan masalah pendengaran walaupun dia pelajar harapan sekolah. Enggan menghampakan sekolah dan kecewa tidak mampu merealisasikan cita-citanya, Sam Dong menghilangkan diri. Bagaimanapun, kehilangannya disedari Go Hye Mi, gadis manis yang mendalami muzik klasik.
Hye Mi, seorang yang lincah menaruh hati pada Sam Dong. Cinta antara mereka hanya disimpan di dalam hati kerana masing-masing mahu fokus kepada muzik. Menariknya drama ini mengetengahkan semangat kental remaja untuk mengejar impian untuk yang berjaya.
Selain itu, turut dimuatkan mesej persahabatan, pengkhianatan dan suka duka kehidupan remaja. Mencetuskan fenomena kepada peminat drama di Korea tahun ini, Dream High terbitan stesen Korean Broadcasting System (KBS) turut disambung untuk siri musim terbaru, Dream High 2 pada 2012.
Namun, karier lakonan Soo Hyun nyata cukup cemerlang kerana dia dilamar membintangi watak utama drama The Moon Embracing Sun terbitan stesen Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) di samping aktor Lee Ho Won dan aktres Han Ga In. Sebuah drama fantasi, watak lakonan Soo Hyun dijangka lebih mencabar.
Mengulas lanjut pembabitan aktor meningkat naik ini, pihak pengurusannya memaklumkan apa yang diuar-uarkan mengenai kemunculan Soo Hyun memang ada kebenarannya. Bagaimanapun, semua itu masih dalam perbincangan berdasarkan syarat ditetapkan. Justeru, keputusannya akan diberitahu tidak lama lagi.
"Pemilihan Soo Hyun untuk drama itu berdasarkan lakonan cemerlang ditonjolkannya dalam Dream High. Soo Hyun dilihat memiliki potensi untuk mencipta nama sebagai aktor terkenal kerana bakatnya. Oleh itu, lakonan berbeza mungkin dipaparkan Soo Hyun dalam karakter terbarunya itu nanti," katanya.
Atas lakonan hebat itu juga, Soo Hyun meraih anugerah pertamanya menerusi kategori Best Rookie Actor di Korea Drama Awards 2011 di Kyungnam Culture & Arts Center, baru-baru ini. Malah, dia juga muncul di Tokyo International Drama Festival Awards untuk mewakili produksi Dream High.
Dalam ucapan ringkasnya ketika menerima Special Award yang dimenangi Dream High di festival itu, Soo Hyun berkata ia pengiktirafan besar dirasakan aktor sepertinya yang diberi peluang membintangi Dream High. Katanya hanya ucapan terima kasih tak terhingga buat anda semua kerana masih berminat menonton drama.
Berhubung perkembangan karier Soo Hyun, dia juga dilamar membintangi filem Thieves arahan Choi Dong Hoon di samping pelakon Kim Yoon Suk, Kim Hye Soo, Lee Jung Jae dan Jeon Ji Hyun. Bersandarkan populariti Soo Hyun kini, siapa sangka dia juga berjaya mencipta namanya di negara jiran, Jepun sebagai mana aktor Korea yang lain.
~ HM
0 ulasan:
Catat Ulasan