Malam yang dinanti-nantikan oleh semua karyawan seni tanah air termasuk pemerhati dan peminat hiburan amnya sudah tiba ke kemuncaknya.

Tepat pukul 9 malam ini bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, acara anugerah berprestij, Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) akan melakar satu lagi sejarah dalam direktori hiburan tempatan.

Memang tidak dinafikan lagi, tahun ini memperlihatkan saingan yang cukup hebat dan sengit menerusi drama serta filem yang layak dipertandingkan dalam edisi kali ini.

Jika hendak dibandingkan dengan kualiti filem dalam pertandingan kali ini, ternyata penerbitan drama yang bertanding sememangnya menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dalam pelbagai aspek.

Seiring dengan misi dan matlamat ASK yang mahu memartabatkan karyawan drama khususnya seperti mana di awal penganjuran anugerah cetusan TV3 ini, sesungguhnya persaingan kali ini akan memeningkan kepala juri dalam menentukan pemenangnya.

Beberapa minggu kebelakangan ini, ramai yang sudah mula memperkatakan tentang dua drama yang bersaing hebat untuk merebut gelaran Drama Terbaik.

Dua karya yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan, Sanggul Beracun dan Airmata Nur Salina yang memiliki kekuatan tersendiri untuk dinobatkan dengan gelaran tertinggi itu.

Sejak ditayangkan sekitar pertengahan tahun lalu, Sanggul Beracun sudah menjadi buah mulut ramai yang mengakui kehebatan penerbitan drama itu yang setaraf dengan kualiti sebuah filem.

Mempertaruhkan kisah rakyat tentang seorang wanita yang mahu menghapuskan sumpahan ke atas dirinya apabila perlu berkahwin dan membunuh 99 orang lelaki, tidak mustahil Sanggul Beracun untuk diangkat sebagai terbaik.

Diarahkan oleh aktor versatil yang terkenal dengan genre komedi, Sabri Yunus, tiada siapa sangka anak kelahiran Kelantan itu mampu memberikan sentuhan magis yang sangat luar biasa.

Malah, Sabri juga mempunyai harapan yang sangat cerah untuk merangkul gelaran Pengarah Drama Terbaik sekali gus menempatkan dirinya bersama-sama pengarah yang pernah menjulang gelaran tersebut.

Namun, laluan Sabri tidak semudah yang disangka kerana dia perlu berhadapan dengan pengarah wanita tersohor negara, Erma Fatima yang telah mengarahkan sebuah naskhah hebat menerusi Airmata Nur Salina.

Pernah mengungguli kategori Drama dan Pengarah Drama Terbaik dua tahun lalu bagi drama Tersasar Di Jalanmu, siapa tahu rezeki untuk Erma menggondol dua trofi itu sekali lagi.

Kategori lakonan juga merupakan sesuatu yang cukup menarik untuk diperkatakan kali ini terutama Pelakon Wanita Drama Terbaik.

Kalau sudah dramanya diramalkan akan menang besar malam ini, maka pelakonnya juga terkena tempias yang sama apabila nama dua primadona unggul, Erra Fazira dan Umie Aida dicanang akan berentap merebut gelaran itu.

Menerusi Sanggul Beracun, Erra telah memberikan dimensi lakonan yang cukup berbeza sekali gus membuktikan sebenarnya bekas Ratu Cantik Malaysia itu berada dalam liga tersendiri.

Jika trofi itu bukan milik Erra, pastinya ia akan menjadi milik Umie yang sememangnya terbukti kehebatan lakonannya.

Apatah lagi Umie sendiri sudah dua kali diiktiraf di pentas ASK dengan gelaran Pelakon Wanita Drama Terbaik. Lalu, adalah menjadi sesuatu yang cukup manis untuk melihat Umie naik ke pentas untuk kali ketiga dan menerima trofinya.

Atau mungkinkah trofi itu akan menjadi milik aktres senior seperti Norlia Ghani yang memberikan lakonan berkesan dalam drama Janji Syurga?

Pelakon Lelaki Drama Terbaik juga bakal memperlihatkan saingan yang bukan calang-calang dengan kualiti lakonan terbaik aktor senior dan junior.

Antara nama-nama yang disebut adalah Remy Ishak, Eman Manan, Faizal Hussain dan Namron yang sudah terbukti kehebatan masing-masing di gelanggang lakonan.

Sebagai bintang baru, Remy tidak mengecewakan dalam Airmata Nur Salina dan siapa tahu dia bakal membuatkan pelakon senior lain berputih mata.

Eman juga bakal mencipta kejutan dan melangkah dengan penuh bergaya untuk menerima trofinya malam ini berdasarkan lakonannya dalam drama Iqra.

Sesuatu yang cukup menarik untuk diperkatakan kali ini adalah kategori Drama Rantaian Terbaik yang juga menyenaraikan drama-drama hebat dan terbaik.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top