TV9 menyediakan pelbagai program berunsurkan pengorbanan, pengajaran dan kasih sayang, menerusi slot Skrin Aidiladha dan Raudhah, khas buat penonton setianya sempena Aidiladha 2011.

Program Aidiladha bermula dengan Usrah pada 4 November dengan judul Kiblat Pertama yang dirakamkan di Palestin. Ia program majalah yang menceritakan mengenai kiblat pertama umat Islam di Palestin, sebelum menghadap ke Kaabah di Makkah. Tambah menarik apabila ia membawa kita kembali kepada sejarah Islam dan keajaiban Baitul Maqdis termasuk sejarah Nabi Isa.

Meneliti jalan penceritaan dibawakan menerusi usrah ini, ia akan mengubah pendirian kita terhadap kejadian menimpa umat Islam di Palestin, tidak seperti yang kita dengar atau lihat dari media seluruh dunia. Penduduk Palestin ingin melihat lebih ramai umat Islam menjejak kaki ke negara mereka dan menziarahi Baitul Maqdis.

Ia diikuti dengan Halaqah pada 8 November dengan membawa tajuk Keikhlasan Ismail. Tahukah kita betapa tinggi keikhlasan Nabi Ismail yang tenang dan sedia menyerahkan nyawanya kepada Allah, tanpa marah, menentang mahupun ragu-ragu. Baginda juga putera kesayangan Nabi Ibrahim. Halaqah ini diacarakan Ustaz Badli Shah Alauddin, ditemani panel berpengalaman, Profesor Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail, Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Berikut pula drama dan program yang bakal menemui penonton sepanjang sambutan Aidiladha:

Janji Dengan Nyawa (5 November, 10 pagi)

KISAH pengorbanan seorang ayah setelah kematian isteri tercinta dan pengorbanan seorang abang sulung menjaga adik-adiknya. Setelah kematian isteri, Pak Uzir terpaksa menjaga lima anaknya. Aliff ialah anak sulung berusia 18 tahun, diikuti Aina, 14; Akma, 12; Ayie, 10; dan Afiq, 8. Baginya, kelima-lima anak itulah tunjang kehidupan. Kesetiaannya kepada Piah begitu agung dan rasanya dia tidak mahu mengkhianati cintanya, biarpun beberapa wanita kampung itu ingin mengambil tempat isterinya. Baginya, jika beristeri baru, tidak semestinya mereka dapat menggantikan tempat ibu kepada anak-anaknya.

Pelakon: Wan Hanafi Su, Fauzi Nawawi, Mohd Hanis Kamarulazaman dan Elfira Loy.

Kerbau (5 November, 12.30 tengah hari)

RAMLI dan Siah ialah pasangan suami isteri yang mempunyai tiga anak anak lelaki iaitu Hafiz, Firdaus dan Fikri. Masingmasing masih belajar di sekolah rendah. Mereka hidup dalam serba kekurangan. Ramli hanya melakukan kerja kerja kampung seperti membuat rumah, menjaring ikan dan mengurut bagi menampung keluarga. Siah kini sarat mengandung anak keempat. Suatu hari, Pak Seman ingin mengorbankan kerbaunya yang diberi nama Kewek. Malangnya Kewek terlepas daripada ikatan. Ramli yang kesempitan wang menawarkan diri untuk mencari Kewek. Sebagai upah, Ramli hanya mahukan sedikit hati dan daging kerbau yang bakal dikorbankan itu kerana Siah mengidam untuk memakannya.

Ramli masuk ke hutan untuk mencari Kewek. Di sana, dia ternampak seekor kerbau dan dia menyangka itulah Kewek. Ketika hendak membawa kerbau itu pulang, dia tersesat jalan.

Pelakon: Along Kamaruddin, Azzarima dan Rawi MS.

Kain Pelikat Acat (6 November, 10 pagi)

ACAT seorang anak yatim piatu yang gemar berkain pelikat. Kain itu mengandungi 1,000 kisah berkenaan kematian ayah dan ibunya. Sebab itulah dia sangat sayangkan kain pelikat itu biarpun lusuh, buruk dan sudah koyak. Abang Acat, Sam, tidak sukakan Acat kerana baginya Acat punca kematian ibu dan bapanya. Sementara itu kakaknya, Fida, amat menyayangi Acat. Ibu dan bapa mereka meninggal dunia kerana terbabit dalam kemalangan ketika membeli kain pelikat buat Acat. Sejak itu, Pakcik Ghafar dan Mak Senah, yang juga jiran mereka sering mengambil berat terhadap ketiga-tiga beradik itu.

Pelakon: Fimie Don, Erin Malik, Talha, Eizlan Yusuf, Aida Aris, Shah Iskandar, Rozita Che Wan dan Shafii Khan.

Ekspresi Datuk M Nasir dan Jamal Abdillah (6 & 7 November, 12.30 tengah hari)

PADUAN suara emas M Nasir dan Jamal Abdillah pastinya menyerikan sambutan Aidiladha tahun ini. Ia dipenuhi dendangan lagu malar segar yang sentiasa menjadi siulan dan ramai. Rancangan ini turut dimeriahkan Ogy Ahmad Daud, Francissca Peter dan juga artis baru seperti Hujan, Mawi dan Awi Rafael.

Di Hujung Mihrab (6 November, 5.30 petang)

LUQMAN tertekan dengan keluarganya yang berantakan dan menjadikan dia pemberontak dan liar. Satu hari, kerana tidak berpuas hati dengan Hafiz, dia bertindak memarahi pemuda itu dan memukulnya sehingga cedera. Luqman dibicarakan dan dijatuhi hukuman kerja komuniti. Luqman banyak menimbulkan masalah di tempat itu dan cuba dinasihati Sofea yang sangat dibenci Luqman.

Pelakon: Sariyanti, Nazim Othman dan Shafie Naswip.

Hajar Aswad (6 November, 8.30 malam)

MENGISAHKAN wanita tabah, Siti Hajar, yang diceritakan dari mata anaknya yang bercita-cita menjadi seorang juruterbang, Asrul Aswad. Siti Hajar mengidap penyakit mata yang kronik. Semakin hari penglihatan Hajar semakin kabur dan dia tahu matanya akan buta. Tatkala Hajar mengetahui hadis yang menyatakan, jika dicium batu dari syurga Hajarul Aswad di Tanah Suci Makkah, maka terhapus segelintir dosa lampau umat Islam, Hajar terus bercita-cita ingin menunaikan haji.

Pelakon: Noorkhiriah dan Bront Palarae.

Mahligai Cinta (7 November, 10 pagi)

SINETRON istimewa dari seberang ini bermula dengan Dimas yang jatuh cinta pandang pertama terhadap Risma. Pelbagai cara dilakukan untuk memenangi hatinya. Risma pun sebenarnya menaruh hati terhadap Dimas dan akhirnya mereka berkahwin, walaupun tidak mendapat restu keluarga. Suatu hari, pertelingkahan berlaku antara mereka dan Dimas secara tidak sengaja mengeluarkan perkataan cerai. Setelah bercerai, Fathan, yang sememangnya mencintai Risma melamar wanita itu. Bapa Risma bersetuju dengan lamaran Fathan kerana dia tidak mahu melihat Risma bersedih.

Pelakon: Revalina S Temat, Andrew Andhika, Habibi, Farah Debi dan Leroy Osmani.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top