Bakal menemui penonton bermula 5 November, telefilem yang menemui penonton di bawah tema Salam Aidiladha itu ialah Haji Bakhil, Korban Tak Jadi, Panggilan 10 Zulhijjah dan Panggilan Baitullah.
Telefilem terbabit membariskan ramai pelakon popular dan handalan seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Ning Baizura, Aida Khalida, Lydiawati, Azlee Khairi, Nazim Othman, Neelofa, Eizlan Yusoff, Fahrin Ahmad dan ramai lagi.
Selain daripada menggamit emosi, hiburkan hati sambil bergelak ketawa dengan menghayati jalan cerita yang menarik dan bersesuaian dengan tema Hari Raya Haji kali ini. Turut disediakan buat hiburan penonton ialah dua filem blockbuster tempatan, iaitu Duyung yang dibintangi Maya Karin, Saiful Apek, Awie dan Yassin Yahya serta ikuti kisah suka duka sekumpulan remaja, Mohd Addy Ashraf, Nik Adruce, Muhammad Nasiruddin, Nor Zam Zam Zakaria, Fatin Nur Afifah, Erin Malek dan Zed Zaidi dalam mengenal erti persahabatan, cita-cita dan cinta menerusi filem Tentang Bulan.
Selain sajian drama hebat, pastikan temujanji anda untuk menonton program majalah dan dokumentari terbaik yang memaparkan kandungan menarik seperti Sejernih Sinar Matamu, Malaysia Hari Ini (MHI) Edisi Aidil Adha, Nona - Istimewa Aidil Adha dan Wanita Hari Ini (WHI) Edisi Aidil Adha.
Sabtu (5 November)
Telemovie Aidiladha (Ulangan) Sejadah Kaabah - 11.30 pagi
SEJADAH Kaabah mengisahkan seorang ibu, iaitu Lijah dan anaknya, Izah, yang berumur 10 tahun dalam mengharungi keperitan hidup apabila Lijah terpaksa menyara keluarga dengan hanya menjual nasi lemak di kaki lima dan mengambil upah menjahit pada waktu malam. Selain Izah, Lijah turut dibantu anaknya yang lain, Yati dan Mail. Gerai Lijah disita oleh DBKL kerana berniaga di kawasan larangan. Di sekolah, Cikgu Jamilah mengumumkan peraduan mengarang bertemakan `Keluarga' peringkat kebangsaan dan pemenangnya akan membawa pulang wang tunai lumayan. Izah berhasrat memasuki pertandingan itu.
Pelakon: Sharifah Shahrizah, Eka Farhana, Ezlisa Loy, Hanis Kamal, Noorkhiriah
Cerekarama: Haji Bakhil 10 malam
HAJI Bakhil terkenal di seluruh kampung kerana sifat kedekutnya. Isterinya, Habibah sedih kerana Haji Bakhil langsung tidak mahu mengajaknya pergi menunaikan haji. Adiknya, Jamilah menyarankan supaya tahun ini Haji Bakhil membawa ibu mereka, Puteh menunaikan haji memandangkan keadaan emaknya yang sudah tua dan semakin uzur. Namun, Haji Bakhil memberi pelbagai alasan kononnya kalau pergi haji apabila sudah tua, ia akan menyusahkan ramai orang
Pelakon: Fadhil Dhani, Mak Engku, Mak Mah, Anne Abdullah, Arash, Ning Baizura, Nazim Othman
Ahad (6 November)
Telemovie Aidiladha: Korban Tak Jadi - 10.07 pagi
AIDILADHA tahun ini, Pak Ateh dan Pak Kassim ingin menyembelih lembu sebagai korban. Pak Kassim mahu semua anak-anaknya turut serta, manakala Pak Ateh pula mahu Fendi pulang dan menyertai acara korban. Pak Kassim awal-awal lagi sudah menghebahkan kepada orang kampung yang dia ingin mengajak mereka datang ke rumahnya untuk bersamasama menyembelih lembu pada hari raya nanti. Apabila idea itu didengar olah Wan Maryam, dia mencadangkan Pak Kassim untuk berkongsi dengan Pak Ateh. Pak Kassim menolak. Apakah yang terjadi seterusnya?
Pelakon: Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Aida Khalida, Lydiawati, Azlee Khairi, Neelofa
Nona `Istimewa Aidiladha' 2 petang
SEMPENA Aidiladha, Nona membawakan anda episod khas menelusuri cabaran dan pengalaman sukarelawan tempatan, yang mempunyai sebuah rumah kebajikan di Yogyakarta, Indonesia. Seorang sukarelawan muda, Farahana Sulaiman, menjalankan aktiviti kebajikan dengan membantu kanak-kanak didikan KAFA serta merentas sempadan negara untuk menghulurkan bantuan kepada anak-anak di Panti Asuhan, Yogyakarta, demi mendalami erti pengorbanan. Bencana letusan Gunung Merapi yang berlaku hampir setahun berlalu masih meninggalkan kesan bagi sebilangan besar penduduk Yogyakarta. Kru Nona bersama hos, Vanidah Imran, melihat kesan laluan lahar dan kehangatan awan panas yang meragut lebih daripada 300 nyawa. Tidak ketinggalan, Nona turut berkongsi kisah menyayat hati pasangan usahawan yang juga sukarelawan, iaitu Datuk Seri Kadir dan Datin Seri Juriah yang kehilangan satusatunya puteri tercinta mereka, tatkala menunaikan ibadat haji.
Sejernih Sinar Matamu 5.30 petang
PROGRAM dokumentari mini ini mengisahkan perjalanan hidup seorang tokoh ilmuwan iaitu, Dr Muhaya Muhamad yang turut memaparkan pandangan dan pengalaman hidupnya sebagai seorang pejuang medan ilmu. Blok pertama menceritakan Prof Dr Muhaya sewaktu kecil, yang membesar dalam keluarga Islamik, serta bagaimana beliau memilih kerjaya sebagai seorang pakar mata. Blok kedua menyelitkan keperibadian Prof Dr Muhaya sebagai seorang ibu. Beliau menceritakan detik pemergian anak bongsunya pada 2000. Blok ketiga pula menyentuh rutin hidup beliau serta impiannya sebagai seorang muslimah sejati.
Telemovie Aidil Adha: Panggilan Baitullah - 10 malam
ABDULLAH Mubarak ialah seorang hartawan yang suka menunjukkan kemewahan kepada orang ramai. Setiap tahun dia pergi menunaikan haji. Abdullah memang berkemampuan untuk hidup sebegitu. Bagaimanapun, semakin hampir hari dia hendak berangkat ke Makkah, Abdullah berasa keadaan dirinya tidak seperti biasa. Atas nasihat isterinya, Sarimah, Abdullah menunaikan solat taubat dan ketika khusyuk berzikir, Abdullah tertidur. Dia bermimpi terlihat cahaya turun dari langit dan ada dua orang yang tidak dapat dilihat wajahnya sedang berbual mengenai haji. Dalam mimpi itu dinyatakan untuk tahun itu, ada seorang tukang sepatu dari Pekan Alor Gajah bernama Muhammad Haq Idris yang tidak dapat menunaikan haji, tetapi diterima hajinya. Abdullah bagaikan terpanggil untuk mencari siapa dia Muhammad Haq yang dimaksudkan. Abdullah menjadi tidak keruan dan akhirnya, berbekalkan gerak hatinya, Abdullah berangkat ke Kampung Gajah untuk mencari lelaki itu.
Pelakon: Eizlan Yusoff, Fahrin Ahmad, Mak Ungku, Liza Abdullah
Isnin (7 November)
Malaysia Hari Ini (MHI) Edisi Aidiladha - 6.30 pagi
RAIKAN Aidiladha bersama barisan hos Ally Iskandar, Abby Fana, Ahmad Fedtri Yahya, Mohd Zuklifli, Wardina dan Nurul Syuhada di dalam edisi khas MHI sempena Hari Raya Haji yang memaparkan sambutan perayaan ini pada peringkat keluarga, komuniti dan kebangsaan, termasuklah beberapa segmen menarik.
Telefilem Aidiladha (ulangan): Anak Emak 10.02 pagi
TELEFILEM ini mengisahkan kehidupan Hisham dan Siti yang baru saja mendirikan rumah tangga. Perkahwinan mereka atas dasar cinta sama cinta, bagaimanapun tidak seperti diharapkan Siti apabila Hisham masih hendak `berkepit' dengan emaknya sepanjang masa.
Pelakon: Ungku Ismail, Almy Nadia, Liza Abdullah, Kapten Mohd Nor Bond, Anne Ngasri
Filem Blockbuster Aidiladha: Duyung - 4.02 petang
DUYUNG ialah filem komedi fantasi romantik berkisar mengenai Jimmy, lelaki pencinta alam sekitar. Dia tinggal di perkampungan nelayan dan menghabiskan masa seharian mengutip sampah untuk memelihara kebersihan perkampungan itu. Dia percaya kisah legenda dulu kala yang diceritakan oleh ibunya, bahawa jika persekitaran bersih, duyung akan muncul. Adakah kepercayaan itu benar? Dapatkah dia bertemu dengan duyung seperti yang diimpikannya?
Pelakon: Maya Karin, Saiful Apek, Awie, Yassin Yahya
Filem Blockbuster Aidiladha: Tentang Bulan - 10 malam
FILEM ini bercerita mengenai kehidupan kanak-kanak di kampung, kenakalan mereka dan impian masing-masing apabila dewasa. Seorang gadis tiba di lapangan terbang dan menaiki teksi untuk kembali ke kampung halamannya bagi menghadiri majlis perkahwinan. Di dalam teksi itu, si gadis terkenang kembali zaman kanak-kanaknya bersama lima sahabatnya iaitu Mawi, Gemuk, Ketot, Budi dan Ila. Kehadiran Ina menyebabkan Ila rasa cemburu dan dilupakan kawan-kawannya yang `jatuh hati' dengan keayuan Ina, sedangkan dia bersifat tomboi. Ila cuba berubah tetapi ditertawakan kawan-kawannya menyebabkan dia menyisihkan diri sehinggalah satu hari dia berpindah mengikut keluarganya ke tempat lain.
Pelakon: Mohd Addy Ashraf, Nik Adruce, Muhammad Nasiruddin, Nor Zam Zam Zakaria, Fatin Nur Afifah, Nur'Arina Abd Malek, Zed Zaidi
Sabtu (12 November)
Cerekarama: Panggilan 10 Zulhijjah 10 malam
PAK Majid dan Mak Biah berhasrat menunaikan haji namun duit hasil berniaga pisang goreng tidak mencukupi untuk membolehkan mereka ke Tanah Suci. Tambahan pula terpaksa menyara anak lelaki bujang mereka, Zaki, yang menganggur. Memikirkan usia mereka yang semakin meningkat, mereka membuat keputusan menjual tanah pusaka dan wang hasil penjualan tanah itu akan digunakan untuk menunaikan haji, selebihnya akan dibahagikan sama rata kepada anak-anak mereka. Pak Majid dan Mak Biah bersepakat untuk merahsiakan mengenai penjualan tanah itu untuk mengelakkan perebutan dan tuduh menuduh terutama anak mereka yang menetap di Kuala Lumpur, Zahari dan Zahani. Cuma kepada Zarina mereka menceritakan hasrat itu. Apakah yang bakal berlaku?
Pelakon: Datuk Rahim Razali, Aripah Damanhuri, Anne Ngasri, Azhan Rani, Amyza Adnan, Shukri Yahaya
0 ulasan:
Catat Ulasan