Ulasan Filem: Tower Heist 

Filem: Tower Heist
Genre: Komedi, Jenayah
Pengarah: Brett Ratner
Pelakon: Ben Stiller, Eddie Murphy, Casey Affleck, Alan Alda, Matthew Broderick
Durasi: 104 minit
Tayangan: Mulai 3 November 2011


Apabila dua bintang komedi bergabung tenaga dalam sebuah filem, tentunya ia membuatkan peminat ternanti-nanti hasilnya. Mungkin begitulah juga dengan Tower Heist yang menampilkan Ben Stiller dan Eddie Murphy, dua nama besar dalam lakonan jenaka. Penampilan mereka berdua saja seakan sudah membayangkan keuntungan box-office yang mampu diperoleh penerbit.
Selain dua bintang berkenaan, ia turut menyenaraikan Casey Affleck, Alan Alda, Matthew Broderick, Tea Leoni, Michael Pena dan Gabourey Sidibe.

Filem ini berkisar mengenai watak Josh Kovacs (Stiller), pengurus bangunan mewah untuk golongan kaya. Arthur Shaw (Alan Alda) pula ialah seorang daripada lelaki kaya yang menetap dalam bangunan berkenaan. Dia dikatakan menjalankan skim haram yang menipu duit pencen kakitangan bangunan terbabit.

Kovacs memutuskan untuk melakukan rompakan demi mendapatkan kembali semua wang yang diambil daripada mereka.

Bagi menjayakan rancangan terbabit, dia memerlukan bantuan seorang pencuri (Murphy) yang pernah membesar bersamanya, selain satu kumpulan yang terdiri daripada kakitangan bangunan itu.

Walaupun bukanlah filem komedi yang diletakkan sama taraf filem lakonan Murphy sebelum ini seperti Beverly Hills Cop, ia masih berupaya untuk muncul sebagai hiburan ringan buat semua. Ia umpama penawar mujarab buat waktu bosan anda. Atau lebih tepat, filem yang sesuai ditonton pada hujung minggu.

Selain dibarisi pelakon yang terkenal, filem ini juga sarat dengan babak yang mampu membuatkan penonton berteka-teki sendirian, di samping adegan balas dendam yang seronok disaksikan. Kepintaran kumpulan itu mengatur strategi melakukan rompakan sememangnya berupaya menghadirkan senyuman di bibir peminat.

Bagaimanapun, Murphy sendiri tidaklah menguasai judul arahan Brett Ratner ini. Sebaliknya dia boleh dikatakan hanya muncul pada bahagian kedua filem berkenaan, menyebabkan wataknya kurang menyengat pada awal cerita. Watak lain juga kurang memberangsangkan, dengan kebanyakannya lebih bersifat satu dimensi saja.

Pada ketika sama, Tower Heist memang mempunyai tema yang kuat - mengenai golongan pekerja yang ditipu mentah-mentah oleh penjenayah Wall Street. Walaupun tema sebegitu pernah dipaparkan dalam beberapa filem lain sebelum ini, namun ia masih dapat dirasakan dengan baik, apabila sekali lagi diketengahkan menerusi garapan Ratner.

Keseronokan filem ini juga sebenarnya lebih dirasakan apabila Murphy muncul pada bahagian kedua. Dia nyata memiliki kuasa untuk membuatkan penonton melekat padanya, seperti yang pernah ditonjolkan dalam beberapa filemnya dulu. Sebaik saja dia menjelma, pelakon lain juga mula mengikut rentak, membuatkan Tower Heist lebih kelakar dan menghiburkan.

Dilihat sebagai sebuah komedi yang agak menjadi, filem yang bukanlah bergantung harap kepada elemen jenaka semata-mata ini pada masa sama turut mempunyai cacat celanya, terutama pada rancangan rompakan berkenaan, yang sedikit sebanyak mengganggu keyakinan.

Keadaan itu membuatkan penonton terfikir seketika, apakah ia ditulis pada saat akhir, ketika filem itu sudah pun mula dihasilkan?

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top