Sempena 1 Muharam 1433 pada 27 November ini, TV Al Hijrah sebagai nadi penyiaran Islam di Malaysia melancarkan kempen Maal Hijrah dengan menawarkan pelbagai program menarik.

Kempen bertemakan Hijrah Bersama ini turut diraikan bersempena genap setahun TV Al Hijrah bersiaran mengikut kalendar Islam selepas dilancarkan, pada 7 Disember 2010 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tema Hijrah Bersama bakal membawa penonton melihat semangat serta keupayaan kita semua untuk memenuhi semangat hijrah dengan tekad hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Semua pancaran tema ini akan dapat anda tonton melalui kepelbagaian genre dan tema bermula dengan telemovie Di Sini Bermula dilakonkan oleh Fizo Omar dan Izara Aisyah.

Drama yang mengisahkan kehidupan dua sahabat Daneal dan Faris yang tenggelam dalam keseronokan masa muda akhirnya menemui hijrah yang tersendiri selepas merasakan kehidupan mereka yang penuh dengan kegilaan terhadap muzik dan melaram dengan motosikal tidak dapat mengisi jiwa muda mereka yang terasa kosong.

Hijrah Daneal dan Faris melalui drama Di Sini Bermula dirancakkan lagi dengan kemunculan filem sulung arahan novelis Islam tersohor Indonesia, Habiburahman El Shirazy berjudul Dalam Mihrab Cinta.

Siapa tidak kenal Habiburahman, penulis yang tersohor melalui dua karya Islamnya yang terkenal: Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih.

Dalam Mihrab Cinta eksklusif untuk penonton TV Al Hijrah yang selama ini memberi sokongan besar kepada drama Islam yang mengisi slot di TV Al Hijrah. Saksikan filem menarik ini Ahad ini bermula 8.30 malam.

Sambutan dihangatkan lagi dengan drama Pencari Jalan Lurus yang membariskan pelakon Tiz Zaqiyah dan Beto Khusyairi yang mengangkat kisah cinta seorang pustakawan dengan seorang gadis peminat buku.

Tentunya kita ingin melihat apakah bentuk kasih sayang lelaki bernama Mustaqim yang menganggap kerjanya sebagai pemandu perpustakaan bergerak adalah jihad dalam mengembangkan ilmu dikalangan masyarakat luar bandar.

Mampukah Naelah, seorang anak yatim memenangi hati Mustaqim untuk mencintainya seperti pemuda itu mencintai kerjayanya. Saksikan kisah cinta ini, pada Khamis, 1 Disember bermula 8.30 malam.

Selain siri drama, sambutan Maal Hijrah tidak akan lengkap tanpa siri ilmu melalui program yang membangkitkan kesedaran serta imbasan kita terhadap semangat hijrah Rasulullah dalam konteks kehidupan ummah masa kini.

Siri bual bicara bermula pada 26 November, jam 9 malam melalui program Hijrah Bersama menampilkan hos Amin Idris dan Nurul Iman berserta tetamu khas Ustaz Don Daniyal.

Program bual bicara ini akan turut menjemput tokoh pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Fadzlan Garamatan yang terkenal dengan usaha dakwahnya di kawasan pedalaman Indonesia (Irian Jaya) dan berjaya mensyahadahkan lebih 2,500 penduduk kepulauan itu daripada masyarakat aminisme kepada hamba yang bertakwa kepada Allah.

Selain Ustaz Fadzlan, jangan lupa bersama dua saudara baru, Jo Yee dan Mitchelle Nur Alya yang baru berusia 18 dan 20 tahun menceritakan pengalaman mereka menyambut tahun hijrah pertama selepas memeluk Islam.

Rancangan Assalamualaikum, Jumaat, Sabtu dan Ahad (25 - 27 November) akan sepenuhnya memaparkan kandungan dengan fokus khusus pada sambutan Maal Hijrah.

Assalamualaikum, pada Ahad 1 Muharam akan bersiaran lebih awal bermula 7 pagi untuk membawakan lintas langsung sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan. Ikuti program menarik di TV Al Hijrah dan nikmati semangat Hijrah Bersama melalui sambutan Maal Hijrah 1433.

2 ulasan:

  1. Banyak sungguh program yg disajikan oleh TVAlhijrah semperna Maal Hijrah ni yer. Kat bawah nih sedikit perkongsian yg saya dapat dari program bual bicara Malam Hijrah tersebut


    http://amirnawawi.com/malam-hijrah-bersama-tvalhijrah/

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top