Ustazah Pilihan telah menyaksikan satu kejutan apabila dua peserta tersingkir pada minggu kelima.

Mereka yang tersingkir ialah Maryanti Ramle (Yanti) dan Nur Aqidah Mawardi (Aqidah).

Enam peserta yang masih meneruskan perjalanan mereka ialah Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), Firuz Akhtar Mohamad Bohari (Firuz), Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti), Nina Syazmeen Mohd. Din (Nina), Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya) dan Masfira Hilman (Fira).

Tugasan peserta untuk minggu kelima memerlukan mereka mengutip derma untuk disalurkan kepada mangsa kebuluran di Somalia dengan tema Sinar Harapan.

Tugasan yang mencabar ini menyaksikan mereka bekerjasama dengan Kempen Somalia anjuran Islamic Relief Malaysia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sering terlibat dengan kerja-kerja bantuan kemanusiaan.

Menurut pengetua atau dipanggil Mudirah dalam program tersebut, Dr. Robiah K. Hamzah, program ini adalah suatu usaha yang cukup baik dan murni daripada pihak Astro dalam melahirkan pendakwah generasi baru.

Ustazah Pilihan

“Ia adalah suatu pencernaan dan idea yang sangat diperlukan dalam dunia masa kini yang semakin mencabar.

“Ustazah Pilihan bukan suatu program realiti kosong tetapi bertujuan menyuntik satu gelombang baru di mana usaha membantu golongan muda dilakukan oleh rakan sebaya,” katanya yang ditemui pada sesi rakaman program tersebut di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, program seperti ini pastinya memberi kesan kepada masyarakat kerana mereka yang menonton adalah atas kerelaan dan bukannya paksaan.

“Penonton dapat menerima ilmu dan manfaat dalam kaedah yang sangat santai serta menghiburkan.

“Walaupun isu yang diutarakan berat tetapi medium yang digunakan ringan dan ini membolehkan masyarakat menerimanya dengan baik,” katanya.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar Ustazah Pilihan, Dr. Muhaya Hamad berkata, program itu merupakan satu transformasi yang dilalui oleh para peserta dalam usaha melahirkan seorang muslimah sejati.

Beliau yang dikenali melalui rancangan Mata ke Hati memberitahu, Ustazah Pilihan sebenarnya menukar pandangan masyarakat yang agak skeptikal terhadap kehadiran ustazah dalam mengembangkan ilmu agama.

“Ini bukan satu program yang remeh. Ia berbentuk motivasi selain menyuntik inspirasi kepada golongan muda yang menonton program ini.

“Program ini juga bertujuan sebagai ‘kacamata’ kepada masyarakat dalam merawat ‘rabun’ akhirat,” tambahnya.

Ustazah Zawiah Hassan pula berpendapat, setiap peserta mempunyai potensi dan mampu menjadi ikon kepada generasi muda.

“Kesemua peserta yang menyertai Ustazah Pilihan masih muda dan mereka mudah untuk dilentur ke arah kebaikan.

“Jadi, berdasarkan penelitian dan perbincangan, kesemuanya mempunyai asas yang cukup baik untuk muncul sebagai pendakwah yang berjaya apabila berada di tengah masyarakat,” ujarnya.

Ustazah Pilihan ialah program pencarian terbaru Astro Oasis selepas kejayaan program Imam Muda.

Ia bertujuan untuk mengenalpasti muslimah yang akan dibentuk untuk menjadi seorang ikon sejati.

Ikon muslimah yang dimaksudkan dalam konteks program ini merangkumi segala aspek kehidupan; termasuk untuk menjadi seorang pendidik, pembimbing dan juga pemimpin masyarakat.

Setiap minggu, peserta yang berjaya mengelak daripada disingkir, diberi tugasan tertentu dalam kumpulan berdasarkan isu-isu semasa yang releven dan berkait dengan realiti wanita moden.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top