Penyingkiran enam peserta serentak ini adalah satu jumlah yang besar kerana tiada lagi rancangan realiti yang melakukan penyingkiran sebegitu ramai.
Seperti yang telah diumumkan pada minggu kedua MLM lalu, lima peserta yang mendapat undian terendah menjadi mangsa apabila pada awal rancangan lagi mereka sudah diumumkan terkeluar.
Sudah adat pertandingan realiti pasti ada yang terkeluar, tetapi yang menjadikannya lebih perit kerana segala persiapan untuk persembahan minggu ketiga sudah mereka lakukan tetapi tidak dapat dipertontonkan kepada peminat.
Lima peserta yang diumumkan terkeluar awal adalah Caer yang berasal dari Indonesia, Gebu (Singapura) manakala Comel, Lanun dan Rap dari Malaysia.
Peserta keenam yang turut berkongsi nasib yang sama juga dari Malaysia ialah Anje yang dianggotai oleh Achong Sweet Child dan Joey Daud.
Tetapi pastilah penyingkiran yang dirasakan oleh kumpulan Anje tidak seperit lima peserta lain kerana sekurang-kurangnya mereka dapat mempersembahkan sketsa yang telah mereka rancangkan kepada peminat sebelum disingkirkan.
Joey yang ditemui pada sidang akhbar sejurus tamatnya program tersebut berkata, selepas mendengar komen-komen daripada juri, beliau sudah merasakan bahawa mereka bakal disingkirkan.
"Semasa mendengar kritikan juri kepada kami, kami sudah merasakan mungkin ini minggu terakhir kami dalam rancangan ini.
"Ini adalah adat pertandingan dan kami tidak menyalahkan sesiapa, kami gembira kerana berpeluang berkongsi pentas bersama ramai lagenda pelawak tempatan," katanya.
Anje pada malam tersebut membuat sketsa berkaitan toyol berkata keputusan untuk menyertai rancangan ini adalah untuk menguji kemampuan dalam bidang yang berbeza kerana mereka berdua bukanlah pelawak, sebaliknya penyanyi dan pelakon.
Seorang lagi ahli kumpulan Anje, Achong berkata sebelum memilih sketsa mengenai toyol, mereka mempunyai beberapa idea yang berbeza tetapi semuanya kurang berhasil.
"Kami puas berfikir apakah tema yang sesuai untuk kami bawakan tetapi sudah nasib, kami terkeluar pada minggu ketiga MLM dengan tema toyol," jelasnya.
Ketika ditanya mengenai kerjasama mereka berdua, kumpulan Anje berkata ini adalah pertama kali mereka berpeluang bersama kerana sebelum ini, sukar bagi mereka menyusun jadual kerana masing-masing mempunyai perjalanan karier tersendiri.
"Walaupun tersingkir awal, kami tidak merasakan bahawa ini adalah penamat kepada kerjasama kami kerana saya dan Achong sememangnya rapat," ujar Joey ringkas.
Selepas tiga minggu bersiaran, kini hanya tinggal 11 peserta untuk merebut gelaran juara dengan hadiah wang tunai sebanyak RM350,000 dalam pertandingan yang melibatkan peserta dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Setiap peserta diadili oleh tiga orang juri tetap dan seorang juri undangan. Juri tetap ialah Datuk Chef Wan, Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hassan manakala Art Fazil dari Singapura sebagai juri undangan.
Rancangan ini dapat disaksikan secara langsung setiap Jumaat, pukul 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132, Astro).
Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
0 ulasan:
Catat Ulasan