Album yang dihasilkan dalam tempoh dua tahun ini mengandungi lapan buah lagu iaitu Kupu-kupu Malam, Kekanda Adinda, Cinta, Gurindam Hutan Batu, Tiada Kata Secantik Bahasa, Hapuskan Air @ Matamu, Batu Belah Batu Konkrit (Bonda) dan Penghormatan Terakhir.
Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai Monoloque dan album yang kini sudah berada di pasaran ini boleh layari www.monoloque.com.
Kumpulan yang dianggotai oleh lima orang jejaka iaitu Loque (vokalis dan gitar), Kadax (gitar bass), Loko (pemain dram), Ijoo (gitar utama) dan Apex (gitar) menjelaskan album ini menggunakan konsep yang berbeza dari apa yang dipersembahkan sebelum ini.
Ujar Loque, album ini merupakan sebuah trilogi yang mana album kali ini merupakan yang pertama dan album-album seterusnya akan dilancarkan kelak namun bukan dalam masa terdekat ini.
“Ia merupakan trilogi kerana tidak cukup untuk memuatkan semuanya di dalam sebuah album. Kami akan melancarkan baki dua album tersebut mungkin di dalam tempoh lima tahun lagi.
“Jadi, dengan perancangan ini, ia akan memberi ruang dan hala tuju kepada kumpulan Monoloque dengan memenuhi masa menyiapkan album trilogi ini,” jelas Loque yang pernah menjadi anggota kumpulan Butterfingers.
Namun, apa yang pasti konsep muzik yang dipersembahkan Monoloque menerusi album sulung mereka ini memang kedengaran berbeza.
Tambahnya, idea ini hadir kerana mereka mahukan lagu yang lebih ke arah teater ataupun seolah-olah sebuah penceritaan ataupun hikayat.
Kata Loque sebagai penggubah lagu dan senikata, ini merupakan percubaan untuk merealisasikan impian tersebut untuk membuat sebuah konsep album yang bukan hanya sekadar lagu dan lagu-lagu di dalam album ini juga bersangkut paut penceritaannya antara satu sama lain.
“Muzik Malaysia perlu mempunyai evolusi. Ini merupakan abad ke 21 di mana industri muzik juga perlu maju sebagaimana orang Malaysia ingin maju.
“Kita tidak boleh berada di takuk lama jika ingin maju dan mestilah menerima pembaharuan,” tegas Loque yang mana katanya ini merupakan sumbangan mereka terhadap evolusi muzik Malaysia sendiri.
Lagu-lagu dalam album ini semuanya diberi suntikan tradisional, namun telah diolah mengikut acuan Monoloque .
“Jika pertama kali mendengarnya, anda tidak akan kedengaran bunyi keroncong mahupun seruling di dalam lagu tersebut.
“Ini kerana kami memodenkan bunyian tersebut, di mana sebagai contoh, bunyi seruling kami tidak gunakan alat tersebut namun bunyikannya melalui gitar,” jelasnya panjang lebar mengenai suntikan elemen tradisional di dalam album ini.
Loque menegaskan lagi, mungkin ada sesetengah dari mereka yang menganggap Monoloque ingin membuat konsep tradisional, tapi sebenarnya ia tidak kelihatan seperti yang disangkakan.
Jelasnya, apa yang ingin mereka lakukan ialah dengan mengambil elemen muzik tradisional dan dihidupkan semula serta memberi nafas baharu mengikut aliran muzik kini.
“Kami akan buat ia mengikut cara kami, dan tidak dinafikan ada juga yang akan tidak menyukainya dan mungkin ada yang meminati. Ini merupakan abad ke 21 industri muzik perlu maju sebagaimana orang Malaysia ingin maju. Kita tidak boleh berada di takuk lama jika ingin maju dan mestilah menerima pembaharuan,” katanya.
Kebiasaannya, kelainan atau perbezaan akan menyukarkan penerimaan masyarakat yang telah biasa disajikan perkara yang normal.
Ketika diaju persoalan tidakkah Monoloque risau pendengar mungkin berasa canggung dengan evolusi ini, jawab Loque: “Pembaharuan sememangnya sukar diterima pada awalnya, namun ia merupakan sesuatu yang subjektif yang mana Loque berharap peminat akan membuka mentaliti mereka untuk menerima evolusi dalam muzik tempatan.”
0 ulasan:
Catat Ulasan