Saraf Muka Lumpuh Akibat Barah Kelenjar Air Liur

Barah kelenjar air liur (salivary gland cancer) mungkin penyakit yang jarang didengar. Di Malaysia pada 2003, kira-kira satu peratus membabitkan barah kelenjar air liur dengan 0.6 peratus kes adalah pesakit lelaki.

Kelenjar ini menghasilkan air liur yang diperlukan dalam proses pencernaan selain memastikan mulut anda sentiasa lembap. Setiap orang memiliki tiga pasang kelenjar air liur utama di bawah dan di belakang rahang parotid, sublingual dan submandibular (disebut sebagai kelenjar utama). Selain itu, ada banyak lagi kelenjar air liur kecil dalam bibir, pipi dan di seluruh kawasan mulut dan tekak.

Kelenjar parotid adalah kelenjar terbesar dengan setiap satunya berjisim kirakira 15 gram. Ia terletak di bahagian hadapan dan sedikit bawah daripada telinga. Air liur yang dihasilkan daripada kelenjar ini akan dirembeskan ke dalam rongga mulut melalui suatu saluran sepanjang kira-kira lima sentimeter.

Hampir 80% kes ketumbuhan kelenjar liur terjadi pada kelenjar parotid. 80% daripada keseluruhan kes tersebut bukanlah barah (benign) dan hanya memerlukan rawatan pembedahan mengeluarkan kelenjar yang terjejas bagi mengelak kes berulang.

Namun, bagi kes yang disahkan sebagai barah parotid, keseluruhan kelenjar itu akan dibuang. Ini disebabkan walaupun sedikit, kelenjar itu meningkatkan risiko kes berulang malah boleh merebak ke bahagian lain. Jika itu berlaku, sudah pasti, rawatannya akan bertambah rumit.

Kes ketumbuhan membabitkan kelenjar air liur utama iaitu parotid ini boleh terbahagi kepada dua, iaitu kanser (malignant) atau bukan kanser (benign). Bagi kes yang disahkan sebagai barah, biasanya pesakit akan berjumpa doktor mengenai aduan kelenjar di bahagian muka yang semakin membesar dan ada kalanya sakit.

Ada juga kes yang menyaksikan saraf muka lumpuh. Ia mungkin petunjuk barah sudah masuk ke peringkat yang lebih teruk. Kelumpuhan saraf muka ini dimanifestasikan dengan senyum senget, pipi tidak boleh kembung malah mata yang tidak tertutup ketika tidur. Ada kala mata menjadi kering kerana pendedahan udara terlalu lama dan menyebabkan selaput mata mengalami kerosakan, dimasuki kuman atau bendasing.

Punca barah jenis ini tidak dapat dipastikan. Namun, dipercayai ada sesetengah sel dalam kelenjar air liur menjadi mutasi yang menyebabkan sel tumbuh dan terbahagi dengan pantas. Sel yang mem bentuk tumor boleh merebak ke tisu berdekatan.

Faktor risiko barah kelenjar air liur biasanya dikaitkan dengan usia yang lanjut, pendedahan pada sesetengah jenis radiasi misalnya yang digunakan dalam prosedur imbasan selain kawasan persekitaran yang terdedah kepada bahanbahan seperti nikel aloi atau habuk silika boleh meningkatkan risiko barah jenis ini.

Gejala Barah Kelenjar Air Liur
Benjol atau bengkak di kawasan berdekatan rahang atau di dalam mulut atau leher
• Sebelah muka menjadi kebas
• Otot pada sebelah muka menjadi lemah
• Sakit yang berterusan di kawasan kelenjar air liur
• Sukar menelan
• Sukar membuka mulut

Rawatannya bergantung pada jenis, saiz dan tahap barah selain keadaan keseluruhan kesihatan penghidap. Umumnya rawatan barah jenis ini membabitkan pembedahan sama ada dengan atau tanpa terapi radiasi.

Pembedahan
Jika barah itu kecil dan berada di kedudukan yang mudah dicapai, pem bedahan akan dilakukan bagi membuang tumor dan sebahagian kecil tisu sihat di keliling nya. Namun jika ia membabitkan tumor yang besar, doktor mungkin mengeluarkan keseluruhan kelenjar air liur. Malah jika barah sudah merebak ke struktur berdekatan, misalnya saraf muka atau tulang muka dan kulit, kemungkinan ia juga akan dibuang sangat besar.

Limpa nodul di tengkuk juga boleh dibuang jika pemeriksaan mendapati barah sudah merebak ke kawasan itu. Pembedahan itu juga mungkin membabitkan pembuangan otot dan saraf di tengkuk kerana ia mungkin boleh menyebabkan telinga, muka, tengkuk dan bahu anda kebas dan lemah.

Jika tulang, kulit atau saraf dibuang pembedahan rekonstruktif diperlukan. Ia bagi memperbaiki keupayaan anda mengunyah, menelan, bercakap dan bernafas selepas pembedahan.

Terapi Radiasi
Digunakan bagi membunuh sel barah selepas pembedahan. Ia juga boleh dibuat sebelum pembedahan untuk mengecutkan tumor dan memudahkan ia dibuang. Jika tumor terlalu besar dan berada di kawasan yang terlalu berisiko untuk dibuang, mungkin hanya terapi radiasi saja rawatan yang boleh dilakukan kepada pesakit.

Kemoterapi
Pilihan rawatan ini selalunya diberi kepada pesakit yang mengalami barah kelenjar air liur di tahap yang teruk dan sudah merebak ke bahagian tubuh yang lain.

1 ulasan:

  1. sebelum nya terimakasih info nya.. nama saya vivi, umur ku 25 tahun saya mau menanyakan,, gejala yg saya rasakan kalau kambuh ditelinga rasa nya nyeri seperti ada tekanan udara dan di pipi dibawah telinga terasa kebas..benjolan kalenjar di bawah dagu dan di rahang dan ini sudah 2 bulan.kemarin saya ke THT Kata dokter saya terkenak virus asing, kalenjar air liur, saya mau tau,, apa ini sangat membahayakan? dan proses ke sembuhan nya brp lama? mohon balasan nya...terimakasih..

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top