Penantian Black berakhir

hi 01.1


SAMA seperti kebanyakan artis realiti TV yang lain, ternyata Black yang lahir menerusi program Mentor terbitan TV3 dilihat begitu mudah untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi dalam sekelip mata.

Malah, lagu berjudul Aku Rindu Sayang Kamu yang dibawakannya di pentas final yang lalu seakan-akan membawa tuah kepadanya apabila ia turut diminati dan menjadi siulan ramai.

Tidak keterlaluan juga kalau dikatakan Black adalah juara Mentor yang paling menyerlah setakat ini berbanding dengan Pija, Fiq dan Mohd.

Biarpun tidak memiliki pakej dari segi paras rupa, namun dengan kemampuan membawakan lagu-lagu yang memerlukan vokal yang tinggi telah memberikan keistimewaan tersendiri kepadanya.

Namun, sudah lumrah kepada seseorang yang bergelar penyanyi, sudah tentunya menghasilkan album adalah sesuatu yang diimpikan sebagai 'hadiah' kepada peminat yang menyokong selama ini.

Begitu juga dengan Black yang sememangnya memiliki keinginan tersebut, apatah lagi setelah dua tahun bergelar penyanyi sudah ramai yang bertanyakan tentang album.

Kini, penantian itu akhirnya berakhir apabila penyanyi berkenaan telah muncul dengan buah tangan sulungnya iaitu album yang berjudul Obsesi.

Menurut Black, menerusi album sulungnya terdapat enam buah lagu dan ia telah mula berada di pasaran semenjak bulan April yang lalu

Ujarnya, antara lagu-lagu yang terkandung dalam albumnya itu seperti Sofea Jane, Leia, Dewi Aleeya, Natalia, Gina serta lagu hitnya iaitu Aku Rindu Sayang Kamu.

"Antara yang menarik tentang album baru saya ini adalah sebanyak lima buah lagu telah menggunakan judul yang diambil daripada nama wanita.

"Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya obses terhadap wanita, sebaliknya saya sekadar ingin menampilkan kelainan sahaja untuk album saya itu," jelasnya.

Tambah Black, penghasilan album bergenre Pop Rock itu turut membabitkan beberapa komposer seperti Audi Mok, Yuzae, Anjang Jinbara dan Iswandi.

Namun begitu, jelas penyanyi berkenaan pelancaran album berkenaan masih belum dapat lagi dilaksanakan setakat ini kerana sibuk dengan jadual nyanyian dan dijangka dapat dilancarkan pada bulan Jun ini.

Sementara itu, ketika ditanya tentang tempoh yang diambil selama setahun untuk menghasilkan album sulungnya itu, Black menjelaskan dia mahukan sebuah album yang berkualiti.

"Meskipun saya terpaksa ambil masa yang lama untuk menghasilkannya, namun apa yang lebih penting biarlah saya dan peminat mendapat kepuasan dengan album tersebut," ujarnya.

Selesa solo

hi 01.2

BLACK tidak sabar menanti kemunculan album sulungnya, Obsesi.


Dikenali sebagai penyanyi solo, Black juga pernah menjalinkan kolaborasi bersama kumpulan Meet Uncle Hussain menerusi lagu yang berjudul Drama King.

Malah, menerusi lagu berkenaan juga telah menobatkannya dan Meet Uncle Hussain sebagai naib juara Anugerah Juara Lagu ke-25 pada Januari lalu.

Sehinggakan ada ura-ura yang mengatakan dia mendapat tawaran untuk menyertai kumpulan tersebut, lalu kemudian dia membuat pengakuan bahawa mahu bergerak sebagai penyanyi solo sahaja.

"Buat masa ini saya tidak pernah terfikir untuk menyertai mana-mana kumpulan atau menubuhkan sebuah kumpulan baru kerana saya sendiri selesa dengan keadaan sebegini.

"Namun saya tidak akan menolak sekiranya mendapat sebarang tawaran atau undangan untuk menjalinkan sebarang kolaborasi seperti yang dilakukan bersama Meet Uncle Hussain sebelum ini," jelasnya.

Bagaimanapun, setakat ini dia masih belum menerima tawaran yang sedemikian. Sebaliknya, pihak pengurusannya kini sedang merancang untuk dia tampil duet dengan seorang penyanyi wanita.

"Pihak pengurusan ada memberitahu saya mengenai perkara berkenaan, namun sehingga kini saya masih tidak tahu penyanyi yang akan berduet dengan saya itu nanti," ujarnya.

Berlakon drama

Selain berbakat besar dalam bidang nyanyian, kali ini Black cuba untuk menceburi bidang yang baru apabila menerima tawaran untuk berlakon dalam sebuah drama.

Para peminatnya akan dapat menyaksikan penampilannya menerusi drama bersiri 24 episod berjudul Dewa Cintaku menerusi slot Akasia di samping Iqram Dinzly dan Fasha Sandha.

Meskipun begitu, dia yang membawakan watak seorang penyanyi di kelab malam di dalam drama tersebut hanya akan tampil bermula pada episod yang ke-13.

"Sebenarnya saya menerima tawaran untuk berlakon drama bukanlah mahu beralih bidang, tetapi saya sekadar ingin mencuba dan merasai pengalaman dalam dunia lakonan.

"Malah, mempunyai ramai rakan artis yang terdiri daripada pelakon juga turut membuatkan saya sendiri telah terpengaruh untuk berlakon," ujarnya.

Mengenai pengalaman sepanjang menjalani penggambaran pula, Black tidak dapat menyembunyikan rasa gugupnya apabila berlakon di samping pelakon-pelakon terkenal.

"Pada mulanya memang agak sukar untuk beraksi di hadapan kamera, namun lama-kelamaan saya telah dapat membiasakan diri dan ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan," ujarnya.

Persaingan sengit

Setelah bersaing selama hampir empat bulan, rancangan Mentor untuk musim kelima menuju ke kemuncak apabila bakal berlangsung saingan akhir yang akan diadakan pada Ahad ini.

Tiga orang peserta iaitu Salma, Ika dan Shiha akan meneruskan saingan untuk merebut hadiah wang tunai RM100,000, manakala Ratnah pula tidak bernasib baik apabila tersingkir dalam saingan separuh akhir.

Sebagai seorang bekas juara untuk rancangan berkenaan, Black turut diminta memberi komen mengenai penyertaan kesemua peserta yang menyertainya pada musim ini.

"Apa yang saya lihat, kesemua peserta yang menyertai Mentor 5 ini mempunyai kekuatan dari segi vokal yang cukup menakjubkan dan masing-masing memiliki kekuatan tersendiri.

"Tentang saingan akhir nanti pula, sememangnya cukup sukar menentukan pemenangnya dan saya jangkakan persaingan sengit akan berlaku di antara ketiga-tiga peserta," ujarnya.

Tambahnya lagi, pada musim ini juga peserta wanita dilihat lebih menyerlah setelah tiga musim sebelumnya di dominasi dan dimenangi oleh peserta lelaki.

Sementara itu, mengenai cerita sensasi yang membabitkan beberapa orang peserta pula, dia menjelaskan perkara tersebut langsung tidak menjejaskan rancangan tersebut untuk terus diminati ramai.

"Sepatutnya apa yang perlu kita beri perhatian adalah bakat yang dimiliki oleh mereka. Tentang cerita peribadi pula, biarlah ia berlalu kerana setiap orang mempunyai kisah masing-masing.

"Lagipun apa yang lebih penting sekarang ialah orang ramai perlu terus memberikan sokongan kepada mereka untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini dan saya percaya masyarakat sekarang sudah lebih bijak untuk menilai," ujarnya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top