Hubungan profesional Fahrin, Adila
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com
|
FAHRIN mengakui pernah keluar bersama Adila tetapi dengan ditemani rakan-rakan yang lain. |
SELEPAS kontroversi percintaan hangatnya bersama Linda Onn dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya atau Scha putus, Fahrin Ahmad dilihat sudah jarang menonjolkan diri.
Pelakon kacak itu lebih banyak memfokuskan dirinya terhadap kerjaya lakonan.
Bukan cuba untuk mengelak tetapi dirinya sudah serik dan tawar hati untuk menyulam cinta sang bunga.
Namun, sampai bila hatinya cuba untuk ditutup buat insan yang digelar wanita jika perasaan itu kembali meniup deras di benak hatinya.
Wanita yang dimaksudkan ialah Zetty Adila Ramly yang merupakan anak kepada pemilik syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. iaitu Datin Zaiton Mohd. Jiwa.
Zaiton juga merupakan kakak ipar kepada Datuk Siti Nurhaliza.
Gosip percintaan Fahrin dan Adila bertiup kencang selepas Fahrin berlakon dalam drama produksi Global Station, Dia Bukan Maryam dan terbaru, drama Suria di Cardoba yang menyaksikan Adila sendiri bertindak sebagai penerbit.
Bagi mendasari lebih lanjut mengenai hubungan mereka ikuti temu bual Fahrin dan Adila dengan Kosmo! baru-baru ini:
Apakah hubungan sebenar antara anda berdua. Benarkah gosip mengatakan anda berdua bercinta?
FAHRIN: Dia hanya penerbit (drama lakonan) saya dan saya hanya merupakan pelakon (drama terbitan Adila). Semuanya timbul selepas kami sama-sama terlibat di bawah produksi yang sama iaitu untuk drama Dia Bukan Maryam dan terbaru, Suria Di Cordoba. Hubungan yang terjalin antara saya dan dia hanyalah bersifat profesional.
ADILA: Mungkin gosip kami bercinta timbul sebab kami masing-masing single. Pelakon lelaki lain yang berlakon di bawah produksi ini kebanyakannya sudah berkahwin dan mempunyai pasangan.
Jadi, tiada langsung perasaan antara kalian berdua?
FAHRIN: Perhubungan rapat akan berlaku jika terlibat dalam produksi yang sama. Ia akan berlaku kepada semua orang. Saya akui, kami selalu bertukar-tukar pendapat dan saya sendiri suka dengan semua ahli keluarga datin (Zaiton Mohd. Jiwa) kerana mereka begitu baik.
ADILA: As a person saya kenal Fahrin, dia memang baik. Kami cuma sama-sama terlibat di dalam produksi yang sama.
Pernah anda berdua keluar bersama?
FAHRIN: Pernah. Tetapi bukan berdua. Kami keluar ramai-ramai.
ADILA: Tidak pernah keluar berdua.
Jika anda berdua tidak mempunyai sebarang hubungan kenapa kerjasama antara produksi Global Station Sdn. Bhd. dan Fahrin masih diteruskan, sedangkan terdapat ramai lagi pelakon lain? Fahrin juga dikhabarkan sanggup menolak tawaran filem, telefilem dan pengacaraan kerana ingin menjayakan drama di bawah produksi Global Station Sdn. Bhd.
FAHRIN: Apabila ditawarkan berlakon sesebuah drama atau filem saya akan teliti dahulu watak yang ditawarkan. Jika ia sesuai saya akan ambil. Watak dalam Suria Di Cardoba saya ambil kerana ia memberi cabaran kepada saya untuk melakonkannya.
ADILA: Pilihan dibuat oleh semua pihak. Nama setiap pelakon diberi berdasarkan watak yang sesuai dilakonkan oleh mereka.
Mungkin hubungan anda berdua terlalu baru. Adakah disebabkan itu, anda berdua menafikannya?
FAHRIN: Saya enggan komen lanjut mengenai perkara ini. Saya takut benda-benda negatif jadi balik kepada diri saya. Secara tidak langsung perkara negatif ini akan menutup periuk nasi saya.
ADILA: Saya rasa kelakar pula tiba-tiba jadi orang di depan tabir sebab sebelum ini saya hanya bekerja di belakang tabir. Saya tidak selesa gosip macam ini timbul kerana kita kerja di bawah produksi yang sama. Bimbang pelakon lain cakap pilih kasih dan sebagainya.
0 ulasan:
Catat Ulasan