Pelakon cilik Luvvna (Love) warisi bakat seni Engku Faridah 

Bakat seni Engku Faridah kini mengalir dalam tubuh cucunya, Putri Luvvna Wilma Mohd Azam, 7. Dalam telefilem Cahaya Malaika yang menjadi pembuka slot Cerekarama TV3 pada 3 Januari lalu, Luvvna atau mesra disapa Love mempamerkan persembahan cemerlang.

Penjiwaan anak seni cilik ini mendapat pujian, bahkan gandi­ngannya dengan pelakon hebat, Que Haidar menjadi hinggakan ramai turut menitiskan air mata saat menonton karya terbitan Enuja Production Sdn Bhd ini.

Ikatan kasih sayang antara bapa dan anak dapat dirasai penonton, malah setiap penderitaan mereka sampai ke lubuk hati. Begitulah mantapnya gandingan dua pelakon ini.

Melihat mutu lakonan Love, tidak mustahil dia bakal melakar kejayaan dalam usia muda. Reaksi positif terhadap karya arahan Raja Mukhriz ini semestinya meng­gembirakan hati Engku Farida atau mesra dengan panggilan Mak Engku.

Katanya, bakat Love mula dikesan pada usia tiga tahun apabila suka bercakap depan cermin dan sering berdialog seorang diri.

"Pada usia empat tahun, Love berpeluang membintangi drama Jangan Lupa Tuhan untuk RTM dan beberapa drama hingga mendapat kepercayaan melakonkan watak utama di samping Elly Mazlein dalam drama Mily-Maya I Love You.

"Saya berterima kasih dengan pelakon Idris Mat Diah. Dia yang bertanggungjawab mengetengahkan Love dalam bidang ini.

"Alhamdulillah, daripada pelakon tambahan, Love kini mendapat kepercayaan produksi serta stesen TV untuk menjayakan watak besar.

"Cahaya Malaika menjadi batu loncatan kepadanya untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini dan saya berterima kasih kepada semua pihak kerana mempercayai bakat cucu saya," katanya.

Meskipun tawaran semakin banyak, termasuk beraksi di layar perak, Mak Engku akui dia perlu tapis demi kebaikan Love.

Katanya, cucunya masih kecil dan sebagai nenek, dia tidak mahu Love terlepas peluang menikmati zaman kanak-kanak berikutan terlalu ghairah mengejar tawaran.

"Love menceburi bidang ini kerana minat dan bukan mencari duit sebagai sebab utama. Saya menitikberatkan pendidikan dan syukur setakat ini pencapaiannya sangat memberangsangkan. Pada usia empat tahun, Love boleh membaca.

"Kalau ikutkan tawaran, memang banyak tapi saya akan tapis kerana tidak mahu persekolahan­nya terganggu. Mana penggambaran membabitkan berbelas babak sehari atau hingga lewat malam, saya akan tolak kerana tidak padan dengan usia Love.

"Begitu juga penggambaran di hari persekolahan. Kalau tak ganggu jadual sekolah, saya akan terima. Dalam usia semuda ini, bukan tang­gungjawab dia bekerja. Dia perlu menikmati zaman kanak-kanak dan bergembira.

"Berlakon di luar daerah hanya boleh ketika cuti sekolah. Dia tidak boleh ponteng sesuka hati semata-mata berlakon. Insya-Allah, selagi nyawa dikandung badan, saya akan susun jadual dia," katanya yang sentiasa menemani Love di lokasi penggambaran.

Berkongsi pengalaman beraksi di samping Que, Love mengakui berdebar kerana sedia maklum gandingannya bukan calang-calang pelakon.

Namun kemesraan ditunjukkan Que pada awal pertemuan berjaya mengurangkan debarannya, seterusnya berasa sangat selesa sepanjang menjayakan Cahaya Malaika.

"Ini drama berat pertama saya. Sebelum ini saya bawa watak ri­ngan dan ceria namun dalam drama ini saya kena banyak menangis.

"Baba (nenek) banyak membantu saya di lokasi. Kalau tak fokus, dia akan jerit minta saya buat betul-betul. Dia tahu saya susah mena­ngis dan akan bagi satu senario yang buat saya rasa sedih.

"Mula-mula memang susah tetapi apabila dapat rentak, saya boleh buat. Que juga banyak bantu beri mood. Kalau marah, dia marah betul-betul, begitu juga dengan tolak badan saya.

"Bila dia buat begitu, saya tak rasa seperti berlakon dan lebih mudah menangis. Lagi dia marah, lagi saya suka sebab ia sangat membantu," katanya yang jatuh cinta de­ngan genre berat selepas menjayakan Cahaya Malaika.

Gemar menari dan menyanyi, Love akui cabaran paling besar apabila menjayakan babak akhir iaitu menyaksikan bapa tersayang menghembuskan nafas ter­akhir. Ia bukan sesuatu yang mudah dan mood diberikan neneknya berjaya membuatkannya menangis bersungguh-sungguh.

Selain itu, babak kaki terkena air panas di mana dia perlu menggambarkan kesakitan yang teramat sangat juga disifatkan mencabar.

"Saya mahu berjaya seperti Puteri Balqis. Kalau boleh, mahu jadi lebih baik daripadanya. Jadi saya kena buat betul-betul dan berusaha bersungguh-sungguh.

"Saya tidak kisah ditolak atau perlu jatuh sehingga sakit satu badan. Nenak cakap itu cabaran apabila jadi pelakon. Bila berlakon, kena buat betul-betul, baru penonton dapat rasa.

"Andai dapat cerita berat lagi selepas ini, saya sangat suka," katanya yang teringin beraksi dalam iklan komersial.

Mengenai impiannya, dengan petah anak sulung daripada dua beradik ini berkata, dia ingin merangkul anugerah dan dinobatkan sebagai pelakon terbaik.

"Saya suka menari dan bergaya. Saya berharap boleh jadi model. Dalam bidang lakonan pula, saya mahu menjayakan pelbagai watak dan dikenali seperti Nora Danish. Nora bukan saja cantik tetapi berbakat besar," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top