Program realiti nyanyian mana yang menarik perhatian sekarang? Adakah Akademi Fantasia 9 (AF9) atau Mentor 5? Kedua-duanya menampilkan format yang berbeza dan ada kekuatan tersendiri.

Ada yang kata Mentor 5 lebih menyerlah berbanding AF9 kerana kualiti yang dimiliki oleh pesertanya. Kedua-dua program memiliki jenama yang kukuh. Namun akhirnya kualiti peserta yang akan jadi penilaian utama.


Bila ditanya pada peminat hiburan, rata-rata memilih peserta Mentor 5. Namun mereka tidak menolak kekuatan AF yang sering berjaya menaikkan nama bintang ciptaan mereka selepas program tamat. Seolah-olah tempat mereka lebih mudah berbanding program relaiti lain yang perlu bekerja keras selepas program tamat. [Salma dan Erra]

Semasa program berjalan, saban minggu mereka dapat peluang mengadakan persembahan. Bila dah tamat mereka harus bekerja keras untuk terus bersaing dengan penyanyi yang sudah sedia ada.

Seorang peminat setia AF, Puan Rose Idris dari Petaling Jaya mengakui kecenderungannya terhadap program itu tidak seperti dulu. Kualiti peserta antara yang membuatkan dia tidak lagi teruja untuk menunggu di depan TV. [Bakat Shiha disenangi Mentornya Datuk Sharifah Aini.]

"Kalau menonton konsert AF musim-musim dulu saya ternanti-nanti persembahan Zahid, Bob, Stacy dan beberapa orang lagi, tapi tak ada siapa yang saya tunggu-tunggu di pentas AF9. Kalau adapun, saya nak tonton persembahan Azri.

"Program Diari AF juga tiada apa yang mahu diketahui. Saya tak tahu di mana silapnya yang membuatkan keterujaan saya semakin kurang. Agaknya kerana mereka sudah tidak ada idea lagi. Sesuai benarlah kalau mahu menjadikan AF9 sebagai penamat Akademi Fantasia.

"Walaupun kurang teruja saya tonton juga konsertnya bersama keluarga. Selain persembahannya yang kurang memberangsangkan, saya lihat kritikan yang diberikan juga asyik terarah kepada perkara ulangan melainkan komen pengkritik jemputan. [Azri AF9 antara peserta yang baik.]

"Kalau di AF9 saya puji kritikan wartawan Rudy Imran Shamsuddin dan Faizal Tahir yang ada isi dan tidak mengkritik ikut sedap sahaja. Komen Noraniza Idris dalam Mentor 5 juga sangat baik dan membantu peserta, berlainan dengan komen pengkritk tetap Datuk Ramli MS yang kadang-kadang membuatkan kita tak faham apa yang dia kata," kata Rose.

Rose juga tidak terlepas mengikuti perkembangan peserta Mentor 5. Dia memilih Salma yang akan bersaing sengit dengan Shiha di pentas akhir nanti. Erul pula menjadi pilihannya untuk menjuarai AF9 kerana melihat kesungguhannya dan pakej yang mampu menarik golongan remaja.

"Kalau Salma masuk AF, habis pelajar AF," kata Rose yang menggambarkan Salma sebagai memiliki bakat nyanyian hebat dan luar biasa.

Antara bakat dan pakej

Untuk menjadi bintang terkenal, manakah yang jadi pilihan? Bakat besar atau pakej menarik? Mentor ada bakat, tapi pakej mereka ada sikit kekurangan. AF9 kurang bakat, tapi mereka ada cara menyerlahkannya. [Aiman kacak tapi tersingkir daripada Mentor 5.]

Salma Mentor dilihat peserta yang sangat menonjol. Tapi kalau dibariskan bersama bakat baru lain, dia akan tenggelam. Aura sebagai bintang belum menyerlah kalau dia tidak menyanyi. Itulah antara yang dibimbangi oleh sesetengah pihak.

Mus May semasa menjadi pengkritik jemputan secara terbuka menyatakan kebimbangannya pasal masa depan Salma kerana kekurangan yang ada padanya itu. Tapi ada yang melihat peranan Mentornya Erra Fazira yang boleh mencantikkannya.

Untuk menjadi secantik Erra yang tinggi lampai pastilah satu kemustahilan. Tapi sekurang-kurangnya Salma boleh hilang rasa rendah diri dan menonjolkan apa yang ada padanya. Erra pasti menasihatinya untuk kelihatan lebih bergaya. [Shiha dan Mentornya.]

Di Mentor, pakej cantik kurang dapat tempat kerana ada kuasa juri profesional yang memilih berdasarkan bakat. Maka si kacak lawa Aiman dan si comel Ayish tersingkir kerana kekurangan itu berbanding empat lagi protege yang masih bersaing.

Berlainan dengan AF yang memberi kuasa mutlak kepada pengundi membuat pilihan. Maka Nera yang ramai ihairan mengapa terpilih (bakatnya kurang), masih kekal di dalam AF9. Pengundi sukakannya kerana cantik dan bergaya.

Hazama dan Fina yang dipuji kerana membuat persembahan terbaik, nyaris tersingkir dek kerana undian yang tak memberangsangkan. Agaknya kerana itulah pihak produksi memperkenalkan polisi imunisasi yang boleh mengekalkan peserta yang membuat persembahan terbaik mulai minggu ini.

Siapakah yang akan popular dahulu selepas AF9 dan Mentor 5 menemui juara baru dalam beberapa minggu lagi? Tunggu dah lihat sajalah.

Mereka belum ada lagu sendiri untuk memikat hati peminat. Baik sang juara ataupun sesiapa sahaja, kalau lagu yang dirakam selepas ini dapat sambutan pasti mereka akan terus bertahan. Ada juga penyanyi yang boleh menyanyikan lagu sedia ada dengan baik, tapi bila merakam lagu baru yang dicipta khas untuk mereka, keunikannya vokal mereka hilang.

~ Oleh Rosli Manah (Mangga Online)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top