KETIKA semua pelakon, kru serta produser filem Kongsi bergembira dengan kejayaannya mencatat kutipan paling tinggi pada hari pertama tayangannya 12 Mei lalu, salah seorang pelakon filem itu, Azad Jazmin terkilan kerana mendakwa dipinggirkan daripada menyertai promosi filem itu.

Azad yang memegang watak Mikail dalam filem terbitan Metrowealth (MIG) Pictures arahan Farid Kamil mengakui hanya mampu gembira dari jauh atas kejayaan Kongsi mencatat kutipan lebih RM7 juta.

Katanya, apa yang membuat dirinya terkilan adalah tidak dipanggil serta diberitahu mengenai perjalanan promosi filem 'box-office' itu.

Malah, katanya, nama serta gambarnya tiada langsung dalam poster filem yang turut dibintangi Shaheizy Sam, Fizo Omar dan Yana itu.


"Semua ini berlaku kerana saya keluar daripada menjadi artis di bawah naungan MIG Talent sejak dua bulan lalu. "Saya keluar disebabkan tidak berpuas hati dengan produksi itu dan beberapa sebab tertentu.


"Memang saya mengambil keputusan nekad untuk keluar dari MIG. Bagaimanapun, mereka tidak seharusnya menidakkan komitmen saya sepanjang menjayakan filem itu hingga nama serta gambar saya tiada langsung dalam poster.

"Malah, saya tidak dimaklumkan mengenai promosi filem ini dan tidak diundang ketika majlis previu, baru-baru ini. Bagi saya ini cara kerja ini tidak profesional," katanya ketika ditemui di majlis sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Pulau Pinang di Sungai Acheh, Nibong Tebal, baru-baru ini.

Azad yang memulakan kerjaya lakonan melalui filem Nana Tanjong 2 dan sitkom Anak Mami pernah diberi kepercayaan memegang watak utama dalam Ngangkung juga terbitan MIG yang mencatat kutipan lebih RM8 juta.

Katanya, dia bagaimanapun enggan melatah dengan apa yang berlaku cuma tertanya-tanya tindakan MIG berbuat demikian yang dianggap tidak profesional.

"Gara-gara tidak lagi bersama MIG, sampaikan nama dan juga gambar saya langsung tidak ada dalam poster filem itu. Namun saya tahu penonton akan tetap nampak komitmen serta lakonan saya dalam filem itu.

"Saya sudah buat yang terbaik dan saya harap ia mampu meninggalkan kesan kepada penonton," katanya.

Menurutnya, dia kini bergerak sendiri dan mendapat sokongan produser dan pengarah lain seperti Afdlin Shauki, Datuk Yusoff Haslam dan Mamat Khalid,
"Saya tidak menafikan, peluang berlakon dalam filem memang luas ketika bersama dengan MIG. Malah, sebagai pelakon baru, saya bangga diberi peluang dan kepercayaan memegang watak utama dalam Ngangkung. Alhamdulillah dan saya bersyukur kerana itu adalah rezeki saya.

"Begitupun ingin saya tegaskan di sini, walaupun peluang berlakon datang dari MIG, tetapi bukan produser David Teo yang beri rezeki itu. Allah s.w.t yang memberi saya rezeki itu dengan bakat yang saya pertaruhkan," katanya.

Azad mendakwa ketika awal proses membintangi filem Kongsi, dia mendapat tahu bahawa nama serta gambarnya diletakkan dalam lakaran poster awal bersama pelakon lain iaitu Shaheizy dan Fizo.

"Syra sedar kalau kita kerja dan berlakon dengan ikhlas, orang akan tetap nampak. Tidak perlu nak letak gambar dan nama dalam poster pun, orang akan tahu kehadiran saya dalam filem itu. Tapi bertindaklah secara profesional.

"Selepas ini saya akan ceritakan apa yang berlaku sebenarnya antara saya dengan MIG sehingga saya mengambil keputusan keluar dari syarikat itu. Ingin saya jelaskan dan perbetulkan di sini, saya tidak pernah dibuang MIG sebaliknya saya sendiri yang memohon untuk keluar," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, selain Kongsi, Azad juga bakal muncul dalam filem Kurapat bergandingan dengan pelawak popular Jozan.
Sementara itu pada penghujung tahun ini, filem Bohsia 2 dan Tiga Rasa lakonannya juga akan ditayangkan di pawagam.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top