Tuah lagu Janji Manismu

BERKAT membawakan lagu Aishah, Janji Manismu di dalam album pertamanya yang berjudul Terry, Terryana Fatiah, 26, dikenali di Indonesia. Baginya, lagu yang pernah hit di tahun 80-an itu memberi tuah kepadanya sehingga menyebabkan namanya meniti di bibir peminat sehingga ke hari ini.
Mengakui teringin benar bertemu empat mata dengan Aishah, penyanyi berdarah campuran Belanda, Arab dan Padang itu juga menyimpan keinginan untuk berduet dengan Aishah menerusi lagu Janji Manismu.
"Sejak menyanyikan lagu Janji Manismu memang saya teringin benar datang ke Malaysia bertemu dengan Aishah. Sebabnya, bagi saya Aishah memiliki suara yang powerful dan lagu Janji Manismu yang dinyanyikannya sangat menyentuh perasaan saya," tuturnya ketika ditemui di PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Membawakan lagu Janji Manismu dengan gaya penghayatan berbeza, Terry memberitahu, pemilihan lagu itu dibuat oleh penerbit albumnya iaitu Jan Djuhana.
Katanya, dia tidak mengikut cara Aishah membawakan lagu tersebut. Penyanyi berasal dari Jakarta, Indonesia itu membawakan lagu Janji Manismu dengan lebih santai dan harmoni.
"Ketika saya menyanyikan lagu Janji Manismu di Indonesia, peminat-peminat turut sama menyanyikan lagu itu. Mereka sangat gemar menyanyikan lirik 'lidah tidak bertulang' yang terdapat dalam lagu Janji Manismu. Bagi mereka, perkataan itu sesuatu yang baharu didengar dan ia sedap.
"Saya betul-betul serius mahu tembusi pasaran Malaysia," katanya yang datang ke Malaysia membuat persembahan di Eksekutif Suite Hotel, PNB Darby park sempena sambutan Hari Ibu, Rafflesia Pearl Centre pada 28 April lalu.
Ternyata dengan membawakan lagu Janji Manismu, Terry menerima tepukan gemuruh daripada audien yang terdiri daripada ibu-ibu, artis-artis dan media-media pada malam sempena sambutan Hari Ibu itu.
Penyanyi iringan Dewa 19
Mengenali sisi awal Terry, pada mulanya anak bongsu daripada dua beradik itu ditentang keras oleh ayahnya menceburi bidang muzik.
Namun disebabkan terlalu mencintai bidang muzik dan dipujuk oleh ibunya, ayah Terry akhirnya akur dan mengikut sahaja kemahuan anak perempuannya itu.
"Saya mula menyanyi sewaktu di sekolah. Ini semuanya disebabkan teman yang menyedari bakat saya. Jika tidak saya kurang yakin untuk menonjolkan bakat nyanyian saya kepada orang ramai.
"Selepas itu, saya mula aktif menyanyi mewakili sekolah dan mendapat sokongan daripada guru-guru. Sejak itu, keyakinan saya mula tinggi dan minat untuk menceburi bidang nyanyian semakin manjadi-jadi," ceritanya.
ALBUM terbaru Terry baru sahaja berada di pasaran Malaysia hujung April tahun ini. 
Justeru, selepas tamat sekolah Terry mula menyanyi di kelab-kelab dan kafe-kafe. Sehinggalah, dia bertemu dengan salah seorang anggota Dewa 19 iaitu Think Monican.
Saat itu, Terry diperkenalkan kepada ahli-ahli Dewa 19 dan mereka berkenan untuk menjadikannya sebagai penyanyi iringan kumpulan terkenal itu.
Antara lagu-lagu Dewa 19 yang diiringi Terry ialah Pupus, Cemburu dan Hidup adalah perjuangan.
Pandai menjaga diri dan nama keluarga, tiada langsung gosip-gosip liar mengenai hubungannya bersama anggota-anggota Dewa 19.
Saat diajukan soalan, penyanyi berketinggian 168 sentimeter itu mengakui bahawa dirinya sudah punya pacar yang bukan terdiri daripada orang seni dan sangat setia dengan kekasih hatinya itu.
Single pertama
Selepas album pertama yang berjudul Terry sukses empat tahun lalu, penyanyi berbintang Gemini itu tidak menunggu lama untuk melancarkan album keduanya menerusi single berjudul Haruslah Kau Pilih Aku.
Baru sahaja dipasarkan akhir April lalu di Malaysia, namun akuinya album keduanya itu lebih istimewa kerana kesemua lagu yang dimuatkan berkisarkan tentang hidupnya.
"Terdapat 12 buah lagu dalam album kedua ini yang kesemuanya berkisarkan tentang hidup saya.
"Single pertama, Haruslah Kau Pilih Aku telah menjadi permintaan utama daripada 100 buah stesen radio di Indonesia," katanya mengenai lagu yang mengisahkan tentang seorang lelaki yang sangat dia cintai tetapi sudah mempunyai teman wanita lain.
Ditanya mengenai perbezaan album kedua berbanding album pertama, Terry memberitahu, album pertamanya itu mempunyai muzik yang lebih tenang seperti jazz manakala album keduanya memuatkan lagu-lagu yang lebih rancak dan bertenaga.
0 ulasan:
Catat Ulasan