SESAK… warga kota memenuhi ruang di depan pentas bagi menyaksikan persembahan.

KUALA LUMPUR: Kemunculan artis popular dan penyampai radio stesen radio tanah air dalam acara sukaneka bagi menjayakan persembahan Karnival Konsert Terima Kasih Harian Metro (HM) di Dataran Merdeka, di sini semalam, cukup hangat.

Acara yang bermula jam 10 pagi itu diceriakan dengan kehadiran artis antaranya Almy Nadia, Joey BPR, Shahir AF, Black Mentor, Afee Utopia, Dafi, Arja Lee, Roslan Shah dan Amiza Adnan; manakala penyampai radio, Kieran, Fara Fauzana, Ag, Hanif, Feeya dan Ray.

Sepuluh pasukan yang terbabit dalam sukaneka itu mewakili Hot.FM, Sinar.FM, Era.FM, Suria.FM, KLFM, Metro Arena, Metro Rap, Hip Berita Harian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata sokongan daripada stesen radio tanah air, termasuk kehadiran artis tempatan amat bermakna bagi sambutan karnival ini bagi meraikan Sambutan 20 Tahun HM.

"Tidak dinafikan, kehadiran mereka (penyampai radio dan artis) memeriahkan lagi sambutan karnival dan secara tidak langsung mampu menarik perhatian pengunjung.

"Saya percaya pengunjung terhibur dengan program yang kita adakan sepanjang hari dan ia adalah hadiah HM kepada pembaca selepas 20 tahun akhbar ini diterbitkan," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Sambutan 20 Tahun HM yang juga Pengarang Eksekutif (Berita) HM, Othman Mamat. Bagi acara sukaneka yang berlangsung, juara keseluruhan diungguli kumpulan Hot.FM, tempat kedua dari KLFM dan Hip Berita Harian di tempat ketiga. Hadiah bagi acara ini disumbangkan Primeworks Studio Sdn Bhd, Skop Production Sdn Bhd, Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Global Station Sdn Bhd dengan pemberian pelbagai hadiah menarik dan wang tunai membabitkan sumbangan bernilai lebih RM20,000. Tidak lupa juga, Mustapa merakamkan setinggi penghargaan dengan penaja utama karnival iaitu Kumpulan Ambank dan penaja bersama Astro serta penaja lain iaitu Nestle, Digi dan TM."HM berbangga dapat berkongsi dengan rakan penaja menjayakan karnival konsert ini. "Apa yang kita lakukan adalah satu inisiatif kita sebagai akhbar utama negara bersama kumpulan korporat yang menaja anjuran karnival untuk mendekati orang ramai, khususnya pembaca HM di peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, tapak pameran Suria.FM agak riuh selepas dikerumuni pengunjung berikutan kehadiran pelakon popular, Maya Karin dan Remy Ishak. Selain ingin meraikan bersama sambutan karnival ini, dua pelakon popular terbabit hadir bagi mempromosikan filem, Cun! lakonan mereka yang bakal ditayangkan 31 Mac ini.Menyentuh penganjuran konsert HM, Maya memuji pendekatan akhbar ini mendekati pembaca dengan menganjurkan konsert berkenaan secara percuma kepada orang ramai.

Maya berkata, ia adalah satu penghargaan yang pasti akan melekat pada jiwa pembaca setia HM bagi mengekalkan reputasi sebagai akhbar nombor satu negara. "Apa yang saya lihat, karnival dan konsert ini adalah medan terbaik buat HM untuk menjalin hubungan berterusan dengan orang ramai.

"Sebagai artis, saya percaya ini juga adalah ruang dan peluang untuk kami (artis) mendekati peminat yang membanjiri karnival ini sepanjang dua hari ia berlangsung," katanya.

Mengenai Konsert Terima Kasih HM yang berlangsung malam tadi, ia dihangatkan dengan kemunculan artis popular tanah air, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ramli Sarip, Ella, Lan Typewriter, Black Mentor, Stacy AF, Alyah, Ahmad Jais, Bunkface, Min Yasmin dan Shahir AF. Ia turut dimeriahkan dengan kemunculan pelawak dari Raja Lawak, Zizan dan Johan sebagai hos konsert. Sebelum konsert itu berlangsung, terlebih dulu karnival dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik, antaranya sukaneka, persembahan jalanan ‘Don’t Panic Team’ membabitkan persembahan kumpulan tarian, Indie, Buskers dan muzik; serta Metro Street Fashion Show. Hari ini, karnival terus berlangsung seawal jam 9 pagi dengan persembahan tarian poco-poco, persembahan jalanan (street perfomance), persembahan muzik dari kumpulan indie dan pertunjukan 'super car' serta 'super bike'.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top