PASHA dan Kris Dayanti merupakan dua nama besar dalam perjalanan karier masing-masing sebagai anak seni. Kedua-duanya pernah melalui masa sukar dalam berumahtangga. Lebih sukar lagi apabila perjalanan peribadi itu menjadi tontonan umum.
Ia ditambah pula dengan pelbagai tohmahan serta gosip sehingga dunia luar seperti lebih mengenali mereka berbanding empunya diri. Kini mereka menempuh bahtera kedua.
Kris Dayanti (KD) selamat bergelar isteri Raul Lemos, pada 20 Mac lalu manakala Pasha bersanding bersama Adelia hari ini.
Menempuh bahtera baru untuk sebuah pelayaran segar, Pasha dan Kris seakan bakal melenyapkan kata-kata yang pernah dituding ke arah mereka.
Perkahwinan serta pelaminan kedua datang dengan harapan yang lebih besar. Selamat buat kedua-duanya.
Kris-Raul mahu satu zuriat
“Puji dan syukur, Alhamdulillah. Tidak lepas berpelukan dengan suami. Bahagia kerana semua beban terlepas dan melangkah kehadapan dengan suami tercinta,” itu mesej yang disampaikan oleh Kris Dayanti sehari selepas dia sah menjadi Kris Lemos. Kebahagiaan terpancar penuh dalam susun kata-katanya.
Tampak gementar pada hari pernikahan yang dilangsungkan Sabtu lalu di Masjid Sahid Nurul Iman, Jakarta, wajahnya berbunga segar selepas segalanya selesai.
“Kesabaran akhirnya berbuah manis,” ucap Kris Dayanti.
Sebuah kesabaran yang dikumpulkan dalam tempoh dia dicerca dan dilebel sebagai pemusnah rumah tangga Raul dan bekas isterinya, Atha.
Lumrahnya, asam di darat ikan di laut, dalam kuali bertemu juga. Dengan hanya sekali lafaz, Raul sah memperisterikan Kris Dayanti yang bakal mengikutnya ke Dili dan membiasakan diri dengan angin dan budaya Timor Leste.
Bermukimlah Kris dan suami di sebuah banglo indah yang dihadiahkan Raul buatnya di tepi pantai Dili dan di situlah dia mempersiapkan diri. Membiasakan status isteri usahawan terkenal di Dili.
Sebagai ayah, Trenggono merelakan pemergian Kris Dayanti ke Dili.
“Lega, sebagai orang tua kita masih bisa menyaksikan pernikahan anaknya. Ini adalah kebanggaan,” ucap Trenggono usai ijab kabul anaknya di Hotel Grand Sahid Jaya.
Pesan ayah, agar suami isteri ini selalu rukun berumahtangga hingga ke anak cucu.
0 ulasan:
Catat Ulasan