TIDAK hanya berkongsi bakat, populariti dan kejelitaan saja, sebaliknya tiga aktres terkenal ini berkongsi hari bahagia menyambut kelahiran bersama yang kebetulan jatuh pada tarikh yang sama.
Esok, 28 Mac 2011, ketiga-tiganya setahun lebih dewasa serta melihat semula pencapaian dan pengalaman diri masing-masing. Meskipun ada yang pahit, manis dan kelat untuk ditelan, hakikatnya itulah warna-warni percaturannya.
Pertama kali disatukan, Maria Farida, Fasha Sandha dan Liyana Jasmay tidak menyangka ia semeriah ini. Mana tidaknya, berkongsi zodiak dan tarikh kelahiran yang sama, pastinya mereka punya banyak persamaan dari segi karakter, personaliti dan pesona bintang. Riuh-rendah jadinya studio petang Selasa lalu dengan usik-mengusik dan cerita yang diperbualkan.
Menariknya, semua punya cerita tersendiri. Tidak hanya berbicara soal kenangan detik menjelang sambutan hari kelahiran, sebaliknya ketiga-tiga bintang terkenal dari tiga generasi berbeza ini menyimpan sekotak kisah indah di sebalik tarikh menginjak usia.Menurut Maria yang terkenal menerusi filem Bisikan Cinta kira-kira 16 tahun lalu yang bakal mengintai usia 42 tahun, tiada apa yang berubah setiap kali datangnya 28 Mac kerana saban tahun ada saja sambutan yang dilakukan keluarga dan teman rapat. Bezanya kali ini, ia tidak lagi semeriah dulu sebaliknya apa yang lebih utama adalah ingatan daripada orang tersayang."Hadiah, bunga dan majlis 'suprise' memang sesuatu yang kenangan buat saya setiap kali datangnya hari kelahiran. Namun itu semua dulu masa muda remaja kerana ketika itu memang seronok, masih sendiri dan ramai kawan. Bayangkan, ketika usia belasan tahun dulu, setiap tahun saya akan anjurkan parti di rumah, jemput semua teman sekolah dan rakan di akademi peragaan. Tapi sekarang, usia meningkat, komitmen bertambah dan rasanya tidak relevan kalau masih ligat lagi.
"Apa yang lebih membahagiakan sekarang adalah meluangkan masa bersama anak tunggal lelaki saya, Mizan Ashley yang kini sudah pun berusia 14 tahun. Ucapan dan tanda ingatan daripadanya serta ahli keluarga pun sudah memadai untuk membuatkan saya bahagia. Namun adakalanya saya tidak menyangka jika ada teman yang masih merancang untuk menyambut majlis saya. Ia amat dihargai," katanya yang mengakui pernah menerima sebuah jam tangan Rolex bernilai puluhan ribu ringgit sebagai hadiah hari jadinya lima tahun lalu daripada insan istimewa.
Sibuk memberikan posisi terbaik, meneliti wajah tepat ke lensa kamera, tanpa disedari tiga bintang terkenal ini dikejutkan dengan kedatangan kek dan lilin serta belon-belon sambil diiringi nyanyian 'Selamat Hari Jadi' diberikan pengurus Fasha, Nik Yasmin yang sempat berlari merempuh hujan untuk membuat kejutan.
Kelakarnya, Maria yang baru saja selesai penggambaran drama Keliru bersama Eizlan Yusof dan Serina Redzuawan yang bakal ke lokasi drama Seratus Hari selepas ini, saban tahun merancang untuk meraikan hari bahagianya bersama teman rapatnya yang juga aktres popular, Fasha Sandha namun setiap kali itu juga rancangannya gagal.
Bukan saja percanggahan jadual, malah ada saja agenda lain yang datang pada saat akhir membuatkan dua teman baik ini melupakan hasrat itu.
Sekali lagi, tahun ini mereka berdua tidak berpeluang meraikan bersama memandang Fasha yang bakal kini usia 27 tahun ini terpaksa terbang ke Paris sejak Khamis lalu hingga 3 April untuk penggambaran drama bersiri terbarunya, Lima Tahun Lima Minit. Menyifatkan sambutan hari lahir tidak lebih daripada meraikan usianya yang kian meningkat, Fasha mengangkat ia simbolik kematangan.
"Seronoknya tahun ini kerana saya meraikannya di kota cinta, Paris sambil terpaksa bekerja di sana. Namun jika difikirkan semula, terlintas juga rasa sedih dan sebak kerana berjauhan daripada keluarga dan teman rapat. Bagaimanapun, saya tidak rasa terlalu sunyi kerana pengurus dan tenaga produksi ada bersama. Mereka juga bagai sebuah keluarga buat saya.
"Namun jadual penggambaran agak padat. Tapi itu semua bukan satu kemestian buat saya lagi kerana apa yang lebih bermakna adalah ingatan daripada mereka yang sentiasa menyokong kerjaya dan diri saya. Jika dulu memang saya tidak sabar kedatangan sambutan hari jadi, maklumlah inilah satu-satunya hari yang membolehkan saya menerima pelbagai hadiah.
"Memang setiap tahun saya dan Maria merancang meraikannya bersama tapi setiap kali itu juga kami berselisih jadual kerja. Lihat saja kali ini, saya terpaksa ke Paris dan Maria pula di lokasi drama, jadi kami terpaksa melupakan hasrat itu. Bagaimanapun, kami merancang untuk menyambutnya sebaik pulang ke Malaysia nanti," katanya yang pernah menyambut majlis hari jadi secara besar-besaran bertemakan Bollywood di Hotel Concorde tidak lama dulu.
Lain pula ceritanya dengan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 yang melihat sambutan hari jadi setiap tahun sebagai peluang meminta hadiah dan membuat permintaan daripada ahli keluarganya. Anak bongsu empat beradik yang cukup akrab dengan keluarganya ini senantiasa dihujani pelbagai hadiah setiap kali datangnya tarikh ini.
Keletahnya yang tidak henti mengusik dua lagi pelakon senior itu mengundang riuh-rendah di studio. Sesekali terdengar suara ibunya yang menegur dari belakang.
"Inilah satu-satunya peluang untuk saya membuat pelbagai permintaan daripada mak, ayah, kakak dan abang selain teman-teman rapat lain. Maklumlah saya masih muda dan bongsu dan pastinya saya tidak segan silu meminta daripada mereka. Tahun lalu saya menerima Macbook dan pernah sekali ayah memberikan saya komputer riba selain pelbagai lagi hadiah lain," selorohnya.
Liyana bakal mencapai usia 23 tahun dan masih mengharapkan keajaiban berlaku dalam kerjayanya. Bakal muncul dengan filem terbaru Senjakala pada 14 April ini disusuri Tolong Awekku Pontianak dan Misteri Jalan Lama, Liyana menyifatkan majlis sambutan hari jadi sebagai sesuatu yang bukan kemestian diadakan secara besar-besaran.
"Sejak dulu, saya bukanlah jenis yang gemar meraikan majlis hari jadi besar-besaran kerana ada kalanya timbul juga rasa segan. Namun saya lebih selesa meraikannya bersama keluarga terdekat dan teman-teman akrab saja. Itu lebih bermakna dan seronok kerana dapat meluangkan masa dengan semua insan yang saya sayang.
"Soal pengertian majlis ini bukanlah sesuatu yang wajib namun sekiranya ada pihak yang meraikannya, saya sangat berbesar hati dan bersyukur. Itu tanda peringatan yang menunjukkan ada orang yang masih sayangkan kita," katanya.
Ingin menjadi yang pertama, SELEBRITI mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kelahiran buat tiga bintang popular ini. Moga terus berjaya dan mencipta satu fenomena tersendiri sebagai pejuang seni tanah air.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan