BERGABUNG…(dari kiri) Sharnaaz, Gambit dan Iqram.

BERCUTI ke destinasi menenangkan fikiran seperti Pulau Tioman sememangnya dinanti-nanti tiga artis lelaki popular, Gambit Saifullah, Iqram Dinzly dan Sharnaaz Ahmad untuk berehat selepas sibuk di lokasi penggambaran drama dan filem.

Tentunya peluang diberikan Berjaya Air itu tidak mampu ditolak apabila buat julung kalinya pada 8 hingga 10 Mac lalu, mereka diterbangkan ke Pulau Tioman untuk menjayakan Sesi Santai Berjaya Air dan Berjaya Tioman Resort.

Sekalipun jarang bertemu di lokasi penggambaran, ketiga-tiga mereka nampaknya cepat serasi walaupun ini kali pertama mereka bercuti bersama.

  • BERGABUNG… Iqram, Gambit dan Sharnaz berlatar belakang Pulau Tioman.

  • TUNJUK HEBAT…Iqram menunjukkan kecekapannya menyelam di laut.

  • TIDAK TERCEMAR…Iqram dan Gambit kagum menyaksikan keindahan Pulau Tioman.

Bagi Gambit, 26, dia mengakui sudah lama menantikan peluang bercuti di Pulau Tioman yang juga antara destinasi percutian paling mencuri tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Lebih memberangsangkan, Gambit juga mendapat jolokan ‘budak pulau’ oleh dua lagi rakan artis, Iqram dan Sharnaaz kerana cekap menyelam dan berani buat terjun dari jambatan yang tinggi dengan pelbagai posisi.

“Ini kunjungan kali pertama saya ke Pulau Tioman. Pulau ini memang cantik dan hidupan lautnya terpelihara dan belum tercemar. Jika nak diikutkan tiga hari di sini memang tidak cukup untuk saya meneroka keindahan pulau ini termasuk aktiviti jungle trekking.

“Dalam tempoh yang singkat ini, saya berusaha buat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan resort ini. Antara aktiviti yang sukar dilupakan ialah menaiki bot laju menjelajah ke sekitar pulau Tioman, menaiki banana boat, menaiki motosikal dan terjun dari jambatan di pulau ini.

“Kami juga berpeluang meneroka tiga pulau iaitu Renggis, Coral Island dan Marine Park untuk buat aktiviti snorkeling. Apapun, saya jarang buat aktiviti snorkeling sebelum ini. Kali terakhir saya buat snorkeling ialah di Pulau Perhentian ketika menerbitkan program Hooperz di 8TV, empat tahun lalu,” katanya.

Pelakon Karipap karipap Cinta, Misteri Jalan Lama dan Hantu Bukit Cina itu mengakui, memang suka meneroka perkara baru, sejak dulu. Malah tidak kisah tempat itu mahal atau murah ataupun dalam dan luar negara.”Campaklah saya ke mana pun, pasti saya boleh hidup dan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan,” katanya yang pernah ke Cherating dan Pulau Langkawi sebelum ini.

Rombongan Santai ini diketuai pegawai seranta Bill Bora dan membabitkan seramai tujuh orang termasuk wakil media dari Kuala Lumpur juga menginap di calet selesa, Berjaya Hotels & Resorts Tioman yang mempunyai 268 bilik sekali gus resort terbesar di pulau itu.

Sepanjang di pulau Tioman, artis dan anggota rombongan juga mendapat layanan kelas pertama daripada Pengarah Korporat Pemasaran dan Komunikasi Berjaya Hotels & Resorts, Abel Nelson Nang dan Pengurus Bahagian Rekreasi dan Sukan resort ini, Jamsari Haron.

Seperti Gambit, Iqram yang mengakui sangat mencintai alam sekitar juga baru kali pertama bercuti di Pulau Tioman. Sebelum ini, dia pernah meneroka Pulau Perhentian Besar dan Langkawi.

“Sebenarnya, saya memang suka berkomunikasi dengan alam sekitar. Saya juga suka bercuti di pulau untuk menenangkan fikiran. Aktiviti yang saya lakukan ketika di pulau ialah selam skuba dan saya sudah mempunyai lesen dalam sukan ini, sejak dua tahun lalu.”Justeru, ia memang mimpi menjadi nyata apabila dipelawa Bill untuk menjayakan sesi santai yang juga bercuti sambil bekerja di Pulau Tioman ini,” katanya.

Kata Iqram, pulau Tioman memang sesuai untuk aktiviti menyelam seperti snorkeling kerana ia masih mengekalkan keindahan batu karang dan hidupan semula jadinya.

“Saya dan rakan artis lain sangat teruja bila berpeluang buat aktiviti snorkeling di sini kerana kecantikan pulau ini tidak dicemari. Sepanjang menyelam saya dapat melihat dari dekat ikan jerung, barracuda dan ikan pari tompok biru,” katanya.

Selain buat aktiviti air, Iqram juga berpeluang mencuba kali pertama menghayun kayu golf di pulau itu.

“Saya berasa seronok dengan pengalaman baru itu. Pada mulanya, saya ingat ia sukan yang mudah, sebaliknya ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal,” katanya yang turut berbasikal menjelajah pulau itu yang juga hobinya untuk mengurangkan tekanan.

Sementara itu, Sharnaaz yang juga calon Top 5 kategori Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) pula mengakui dia menimba pengalaman yang sangat menyeronokkan sepanjang percutian di Pulau Tioman itu.

Sekalipun mengaku fobia dengan air dan tempat tinggi, Sharnaaz, 26, tetap memberikan kerjasama terbaiknya kepada wakil media yang ingin merakamkan gambarnya menjayakan aktiviti snorkeling itu.

Cuma ketika dicabar terjun dari jambatan di pulau itu oleh Gambit dan Iqram, Sharnaaz terpaksa mengaku kalah. Katanya, dia memang takut tinggi dan air tetapi melihatkan sokongan dari semua, dia buang jauh-jauh perasaan takut itu.

“Bila sudah menyelam separuh jalan, saya akui turut berasa gementar. Ini kali kedua saya buat aktiviti snorkeling kerana kali pertama ialah ketika di Pulau Pangkor, Perak.

“Saya juga berasa terkejut bila jatuh dari banana boat tapi bila jatuh kali kedua, saya sudah berasa seronok pula dan ingin mencubanya lagi,” katanya yang mengakui saingan cukup sengit dalam ABPBH 2010.

# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top