.jpg)
Dikecewakan dan ditinggalkan oleh tunang pada hari pernikahan, tidak melemahkan Jem, sebaliknya dia bangkit dari seorang gadis biasa menjadi seorang selebriti.
Siapa Jem? Pastinya menjadi persoalan buat khalayak. Buat pengetahuan semua, Siapa Jem? merupakan sebuah drama bersiri baru yang bakal disiarkan di Astro Ria, bermula 6 Jun depan setiap Isnin jam 9 malam.
Drama bersiri komedi romantik arahan Samby Dinesh ini mengangkat kisah seorang wanita yang ditinggalkan pada hari pernikahannya dan bangkit memperjuangkan dirinya sehingga berjaya sebagai seorang penyampai radio popular dan dikenali ramai.
Samby Dinesh berkata, siri tersebut mempamerkan kekuatan seorang insan bergelar wanita yang tabah menghadapi sisi kehidupannya yang kelam setelah kecewa kerana cinta. Namun, kerana ketabahan dia akhirnya berjaya membentuk diri menjadi insan cemerlang.
“Kita cuba tonjolkan Jem ini daripada sudut seorang wanita yang kecewa kerana seorang lelaki lalu bangkit membangunkan dirinya.
“Perkara seperti ini memang dah biasa kita lihat dan terjadi dalam kehidupan seseorang wanita. Jadi, kita tonjolkan isu tersebut agar drama ini dekat dengan penonton,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut yang diadakan di Laman Restoran, Sungai Penchala, semalam.
Pada majlis tersebut, ia turut dihadiri oleh wakil Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli dan barisan pelakon Siapa Jem?.
Menampilkan Jazzy Rashid selaku watak utama Jem, drama tersebut turut dihiasi dengan wajah-wajah baru layar kaca. Antaranya, Miera Liyana, Qazim Nor, Mazlan Mokthar , Radhi Khalid, Siti Elizad dan ramai lagi.
Ditanya kepadanya, mengapa menonjolkan wajah baru sebagai peranan utama, jelas Samby, dia yakin dengan percaturannya itu kerana pernah mengamalkan formula yang sama sebelum ini menerusi Awan Dania.
“Saya memang suka mengambil muka-muka baru untuk menerajui drama saya kerana saya mahu penonton yang menyaksikannya akan merasai drama itu. Kalau saya ambil pelakon yang sudah ada nama, saya rasa penonton tak akan dapat merasai kisah tersebut.
“Jem ini merupakan seorang gadis biasa yang dikecewakan jadi saya yakin apabila ianya dijayakan oleh pelakon baru feel penonton yang menonton terutamanya wanita yang pernah mengalami kejadian seperti Jem kena akan terasa seperti diri mereka dalam drama itu.
“Lagi pun, sebelum ini saya pernah mengarahkan Awan Dania dan mengambil Scha Al-Yahya sebagai teraju utama. Orang ramai dapat menerima Scha dan drama itu memberi kesan kepada mereka,” jelasnya penuh yakin.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan