Bapa Allahyarham Mohd Kamarul Amizan Johari, 11, atau Boboy, seorang daripada mangsa kejadian tanah runtuh di Hulu Langat semalam meluahkan rasa terkilannya kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhir anaknya yang mahukan sebuah beg sandang.

Johari Awang, 40, seorang pemandu lori berkata, anaknya itu telah menyampaikan hasrat itu kepadanya beberapa bulan yang lepas, dan beliau bercadang mahu menyerahkan beg itu kepada Boboy dalam seminggu dua ini, malangnya tidak kesampaian.

"Memang hati saya ini beratkan kepada dia (teringat) kan Boboy sahaja dua tiga hari ini, tetapi atas tuntutan pekerjaan saya sebagai pemandu lori tidak berkesempatan untuk pergi melawatnya dan berikan beg itu kepadanya yang saya beli baru-baru ini.

"Nak buat macam mana, dah takdir jadi begini, saya reda dengan ketentuan Allah, terima ini sebagai ujian,” katanya yang mendapat tahu mengenai insiden tersebut kira-kira 6 petang semalam.

Boboy, anak ketiga daripada lima beradik merupakan mangsa terakhir yang ditemui pasukan penyelamat pada 5.05 pagi tadi dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini.

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top