AF2013: Kejutan tipikal penyingkiran Amira

Seperti dijangka, Akademi Fantasia 2013 (AF2013) menggunakan kejutan yang kelihatan hambar apabila pelajar yang sepatutnya disingkir, Nadia Amira Othman kerana mendapat undian terendah, sebaliknya tidak dilepaskan oleh pihak AF.

Peserta berusia 20 tahun berasal dari Johor itu menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu nyanyian Ning Baizura pada sesi yang pertama sebelum menyanyikan lagu Elegi Sepi pada pusingan battle bersama Aishah.

Persembahan 'biasa-biasa' yang dipersembahkan oleh Amira mungkin menjadi punca mengapa dia hanya mendapat undian sebanyak 14 peratus, sekali gus undian terendah yang membolehkan dia tersingkir pada malam itu.

Walaupun Inspirer untuk minggu lalu yang juga penyanyi legenda negara, Datuk Siti Nurhaliza sudah mengumumkan Amira tersingkir, pengacara konsert itu, Zizan Razak telah memanggil semula pelajar itu.


Ini secara tidak langsung menggamatkan suasana di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya dengan sorakan peminat Amira.

Berbalik kepada konsert yang berlangsung pada malam itu, persembahan para pelajar menunjukkan sedikit peningkatan berbanding minggu sebelumnya.

Dimulakan dengan penuh cemerlang peserta duo, Azhael yang menyanyikan lagu dari seberang, Harus Terpisah (Cakra Khan), diteruskan dengan pelajar yang mendapat sokongan paling padu, Nabila yang mendendangkan lagu klasik, Gelombang (Salamiah Hassan).

Kedua-dua pasukan dipuji baik oleh juri yang terdiri daripada Edry Abdul Halim, Roslan Aziz dan seorang pengkritik terkenal yang dijemput khas, Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Konsert diteruskan dengan penuh rancak oleh Indah yang menyanyikan lagu Jangan Kau Mimpi (Siti Sarah) dan Aishah melantunkan lagu Inggeris, Price Tag (Jessie J) sebelum pelajar dari Sabah, Faizul meneruskan persembahan dengan nyanyian lagu sentimental, Sandiwara Cinta (Repvblik).

Persembahan solo diakhiri dengan Amira sebelum hiburan diteruskan dengan pusingan battle yang sengit antara dua pelajar.

Pada pusingan tersebut dapat dilihat peserta bersaing rapat sesama mereka yang mana Azhael menentang Faizul menyanyikan lagu Nakal (Gigi), Aishah berpadu vokal bersama Amira untuk lagu Elegi Sepi (Azharina) dan Indah bersama Nabila mendendangkan lagu Sangkar Cinta (Ziana Zain).

Persembahan penuh bertenaga pelajar dapat dirasakan dalam segenap auditorium dan hampir kesemua pelajar mendapat pujian daripada juri terutama sekali Nabila dan Azhael.

Siti yang menunjukkan senyuman sebagai tanda berpuas hati berkata: "Para pelajar menunjukkan peningkatan yang baik dari segi persembahan dan komen mengenai nyanyian juga mempunyai kemajuan tetapi masih boleh diperbaiki.

"Mengenai pemilihan lagu yang dibuat untuk minggu ini, ia bukan mudah kerana ini melibatkan kesemua pihak dan pada mata juri mungkin tugasan (lagu) yang diberi kepada para pelajar tidak sesuai dengan suara mereka."

Tambah Siti, lagu yang diberi pada minggu ini merupakan cabaran pada mereka dan untuk konsert separuh akhir, pemilihan lagu 100 peratus di tangan beliau.

"Saya agak terkejut dengan gimik (tiada penyingkiran) yang dilakukan oleh pihak akademi kerana saya sama sekali tidak menduga. Bagaimanapun, minggu kesembilan nanti sudah pasti seorang pelajar bakal tersingkir," ucap Siti.

Sementara itu, pelajar yang mendapat pujian juri pada malam itu ialah Azhael yang merupakan duo pertama dalam sejarah AF, dianggotai oleh Mohd. Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi, masing-masing berusia 25 tahun.

"Banyak kelemahan yang masih perlu kami perbaiki kerana kami mengakui masih gugup setiap kali melakukan persembahan di pentas AF ini.

"Pada kami, persembahan yang baik ditunjukkan oleh peserta dari Sabah, Faizul.

"Ini sekali gus menjadikan dia pencabar terdekat yang harus diberi perhatian," ulas Azhar mewakili Azhael.

Persaingan dijangka semakin sengit menerusi konsert separuh akhir yang bakal berlangsung di pekarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad ini bermula pukul 9 malam.
~ Kosmo

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top