Band Loka 

Tak mahu meletakkan sebarang sasaran untuk berkarya kepada golongan tertentu saja, band yang semakin meningkat naik Loka masih tercari-cari formula terbaik bagi memantapkan lagi lagu-lagu mereka selepas ini.

Masih asing barangkali, tapi kebelakangan ini band dianggotai Daniel (vokal), Gast (drum), Adib (gitar), Moe (gitar) dan Leo (bass) ini sudah mula disebut-sebut berikutan single Jangan Pergi berjaya menarik perhatian.

Pasti saja sudah cukup buat mereka untuk menarik nafas lega apatah lagi ditubuhkan sejak 2011, barulah kini Loka membuka mata peminat dan kerana itu, peluang berkenaan harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Mendengar melodi single yang mula menaikkan nama band itu, tidak dinafikan cukup relevan dan mengikuti trend masa kini terutama buat santapan muda-mudi.

Bagaimanapun, tidak mahu menetapkan skop karya kepada remaja saja, menurut Daniel, mereka menyimpan hasrat untuk menakluk pendengar daripada lingkungan kanak-kanak sampai ke dewasa pula selepas ini.

"Sebenarnya secara jujur, kami tidak mahu terlalu mengikut sangat trend yang disukai masa kini kerana lebih selesa bermain mengikut bagaimana muzik kami sukakan, tapi pada masa sama mahu pastikan lagu itu menjadi dan sesuai didengar sampai bila-bila.

"Itulah tujuan utama kami di mana setiap kali berkarya, keikhlasan itu paling utama dan cuba elakkan jenis lagu klise, malah sebenarnya tidak meletakkan secara khusus apa genre lagu kami," katanya.

Berbanding gelora jiwa muda yang sering mahu tampil dengan lagu berkonsepkan percintaan, Loka menolak untuk terlalu memfokuskan kepada elemen sebegitu.

Kata Daniel, jiwa karya mereka kini lebih tertumpu kepada sesuatu yang boleh menjadi panduan atau pedoman buat masyarakat berhubung kehidupan.

"Kami mahukan sesuatu yang seimbang menjadi kekuatan kepada lagu kami jadi secara ringkasnya lagu-lagu kami selepas ini banyak berkonsepkan antara ketuhanan dan duniawi.

"Untuk membantu masyarakat, terlalu banyak caranya dan kami memilih untuk menggunakan kuasa lagu dalam konteks ini contohnya bercerita mengenai cabaran dalam kehidupan atau lagu menaikkan semangat agar lebih mudah menusuk ke hati," katanya.

Tidak terkilan lambat dikenali di arus perdana, tiada istilah buat mereka untuk tidak berusaha dan berkongsi mengenai inspirasi memajukan lagi Loka, pemerhatian terhadap persekitaran dijadikan pendekatan terbaik.

Apapun, bagi band ini, dalam industri mereka juga perlu merujuk kepada band sedia ada dan bukannya mengikut kepala sendiri semata-mata.

"Buat masa ini, kami meletakkan konsep muzik kami lebih ke arah Alternatif Rock, tapi kami sebenarnya fleksibel untuk melakukan pelbagai genre daripada Metal hingga ke Pop.

"Namun, kami sedar bukan semua yang kami lakukan boleh menjadi dan diterima jadi sekarang ini apaapapun perlu dilakukan mengikut kemampuan, bukannya kemahuan," katanya.

Tak sangka lagu Jangan Pergi diterima ramai

Bernaung di bawah label Life Records Malaysia, mung kin kini single Jangan Pergi sudah menempatkan Loka di tahap tersendiri, namun menurut Daniel, mereka tidak pernah terfikir lagu berkenaan akan diterima baik.

Lebih menyifatkan pencapaian itu sebagai rezeki, bagi mereka pendengar tempatan kini sudah pandai menilai lagu bagaimana yang boleh menyentuh jiwa mereka.

"Kami tidak pernah rasa pun lagu Jangan Pergi itu bagus kerana jujur, sebelum ini kami pernah mendapat reaksi ramai tidak suka akan lagu itu. Adalah beberapa pihak yang berpendapat ia tidak boleh pergi jauh tapi syukur, pendengar lebih arif hal itu.


"Jadi, kami percaya, apa-apapun resipi utama kami pelajari setakat ini adalah setiap karya perlu ada kekuatan tertentu dan paling penting kesatuan setiap anggota memperjuangkan apa yang dirasakan betul," katanya.

Turut lolos ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 28, tambah Loka lagi, itu sudah cukup besar dan sebuah permulaan yang bagus terhadap karier mereka serta tidak mahu mengharapkan lebih.

Menyusul selepas single berkenaan, mereka juga bakal tampil dengan sebuah lagu baru berjudul Mungkin Kau Terlupa ciptaan Daniel sendiri dan Adrian Shah dan lirik oleh Juan Danza.

Facebook Loka:
https://www.facebook.com/lokaband

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top