Teater Supermokh Sebuah Muzikal 

Gegak gempita Panggung Sari, Istana Budaya malam kelmarin apabila `Stadium Merdeka' dibawa masuk ke sana bagi menonton Piala Merdeka perlawanan antara pasukan Malaysia dan Korea Selatan yang menyaksikan Mokhtar Dahari selaku penyerang membawa kejayaan apabila menewaskan Korea.

Itu antara kenangan yang disingkap semula oleh Tall Order Productions dengan Jugra Publicat ion Sdn Bhd yang mementaskan Supermokh Sebuah Muzikal, mengisahkan hidup pemain bola sepak legenda, Datuk Mokhtar Dahari.

Dengan tenaga produksi yang ramai serta kos produksi sebanyak RM3 juta, Penerbit Eksekutif pementasan itu, Hans Isaac dan Zahir Kelvin Ong Abdullah bersungguh-sungguh merealisasikan impian mereka untuk mementaskan wira bola sepak yang paling mereka minati agar dapat dikongsi bersama penonton.

Barangkali ada di antara mereka yang hidup sezaman dengan Mokhtar dan menyaksikan kejayaannya sehingga digelar wira bola sepak Selangor. Pengorbanan dan jasanya pada negara tidak terbalas. Sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepa k, beliau menjaringkan 320 gol.

Hans yang juga pengarah bersama teater itu dengan rakan karibnya, Harith Iskandar berjaya membangkitkan kekaguman bermain bola sepak di pentas IB dengan gerak tari yang amat menarik. Visual Stadium Merdeka yang dipenuhi penonton membuatkan penonton terasa berada di stadium yang sebenar.

Menurut Harith, apabila sesuatu naskhah itu dipentaskan secara langsung dan berbentuk teatar muzikal, tarian dan nyanyian adalah nadi kepada persembahan itu.

"Maka kita tunjukkan perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung itu dalam gerak tari kerana itulah elemen sebuah teater muzikal," katanya.

Perlawanan bola sepak yang menggunakan cahaya LED satu lagi elemen menakjubkan di mana gerakan pemain bola sepak dipaparkan menerusi gerakan cahaya dan walaupun ia agak berisiko namun bagi Hans, tiada apa yang menghalangnya untuk menampilkan kelainan.

"Tiada kejayaan tanpa risiko dan meskipun ada rasa bi mbang LED itu tidak dapat berfungsi dengan baik namun saya mesti melakukannya. Kesilapan teknikal boleh berlaku bila-bila masa tetapi kalau saya takut nak mencuba, kita tak tahu pula hasilnya macam mana.

"Ini persembahan malam pertama selepas dua bulan berl atih dan semua terbabit sudah melakukan ya ng terbaik. Saya bertuah kerana bekerja dengan orang-orang yang hebat. Tanpa mereka semua, pementasan ini tidak akan jadi. Terdapat sedikit masalah teknikal dan akan diperbaiki lagi," katanya.

Mokhtar pendiam

Lincah di padang, tetapi Allahyarham Mokhtar seorang pendiam. Dia juga suami yang romantik.

"Kasih sayang Mokhtar pada isterinya Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, ditunjukkan menerusi aksi Maya Karin (sebagai Tengku Zarina) duduk di ribaan Awie (Mok htar) dan barangkali ramai yang tidak tahu pasangan itu pernah hampir nak putus tunang.

"Jika kalah dalam perlawa nan Mokhtar akan duduk bersendirian di satu sudut. Kami cuba menunjukkan sebanyak mungkin sisi Mokhtar sebagai pemain bola sepak, suami dan rakan.

"Semua pemain lincah dan bersatu hati di padang untuk mematahkan serangan lawan, tetapi ramai yang tidak tahu apabila mereka semua berada di bilik persalinan seperti nak berperang. Pada mulanya saya tampilkan aksi yang biasa-biasa saja untuk babak itu, tetapi apabila bekas pemain bola sepak kebangsaan yang juga rakan sepasukan Datuk Mokhtar, Reduan Abdullah datang, dia kata bukan begitu.

"Katanya apabila semua berada dalam bilik persalinan, mereka bergaduh sampai baling botol jadi saya tambah aksi yang lebih panas sebagaimana yang dicer itakan Reduan," katanya.

Melalui Supermokh The Muzikal dipaparkan juga pada satu ketika Mokhtar tidak mahu lagi bermain bola sepak.

"Ini kerana ketika itu gejala rasuah mula menular dan Mokhtar yang tidak pernah mengharapkan balasan wang ringgit berasa sangat kecewa. Dalam satu dialognya dalam teater ini, `biarlah anak-anaknya tak makan kerana tidak mahu terbabit dengan rasuah,'.

"Datuk Mokhtar amat bangga dengan sukan itu, jersi disarungnya dan lencana tersemat di dadanya lantas wang tidak pernah mengaburi matanya. Kami tonjolkan juga perasaan Datin Tengku Zarina yang tidak senang apabila Datuk Mokhtar dihina dan dicemuh penonton apabila pasukan mereka kalah. Apa yang kami paparkan dalam teater ini adalah fakta yang tidak boleh diubah," katanya.

Tubuh Awie susut kerana Supermokh

Awie berjaya membawakan watak Mokhtar dengan baik kelihatan susut kerana bukan saja Awie malah Rashidi Ishak yang pegang peranan sebagai Reduan Abdullah juga agak kurus.

Menjelaskan perkara itu, kata Awie rutin harian mereka semua selama dua bulan berlatih seperti pemain bola sepak yang sebenar.

"Habis berlatih, kami bersenam, berjoging dan bermain bola sepak. Saya belum timbang berat badan yang baru tetapi saya tahu dah banyak susut. Saya bersyukur dengan apa yang saya buat tadi. Pun begitu saya akan terus perbaiki sehinggalah berakhirnya pementasan ini pada 18 November nanti," katanya.


Cabaran utama Awie untuk menghafal lagu dalam jangka waktu singkat.

Berlakon sebagai Tengku Zarina, Maya berpeluang berjumpa dengannya dan daripada pertemuan itu menurut Maya, ibu kepada tiga cahaya itu seorang yang tegas namun peramah.

"Apabila saya terima watak ini saya percaya kepada kredibiliti dua pengarah, Hans dan Harith untuk mencari arah yang betul. Saya rasa, saya dah dapat menunjukkan personaliti Datin Tengku Zarina tetapi penonton kena faham teater bukanlah seperti dokumentari," katanya.

Watak lain yang mewarnai teater ini, Douglas Lim sebagai Kenny iaitu pekerja baru di pejabat Mokhtar dan Dina Nadzir (Nurin), rakan baik Tengku Zarina.

Lakonan bersahaja Kenny berjaya mencetuskan gelak ketawa penonton apabila dia seperti tidak percaya apabila menjadi rakan sepejabat Mokhtar di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor. Reduan dan Santokh Singh (lakonan Clarence Kuna) juga bekerja di tempat sama.

Karakter Kenny, menurut Hans mewakili pelbagai bangsa di negara ini yang menjadi peminat tegar suka bola sepak.

Pelakon lain, Radhi Khalid sebagai Mazlan dan Oliver Johanan (R Arumugam).

Teater itu mula dipentaskan mulai 6 hingga 18 November ini.

~ HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top