Tindakan artis enggan lagi bertanding pada Anugerah Juara Lagu (AJL) nampaknya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Malah, ia dilihat seperti penyakit berjangkit apabila satu demi satu artis, terutama penyanyi senior, mengambil keputusan untuk tidak mahu bertanding dengan pelbagai alasan.

Meskipun ia bukan paksaan, namun sedikit sebanyak keputusan mereka menyusahkan banyak pihak.

Seandainya komposer yang mencipta lagu itu mahu mencalonkan lagunya, tetapi penyanyi asal enggan menyanyikan karya berkenaan, maka dia perlu mencari pengganti, seperti syarat yang ditetapkan penganjur.

Bukan saja merumitkan keadaan, malah ia juga seperti tiada keadilan di situ untuk si pencipta lagu dan lirik, serta peminat yang mengundi lagu terbabit, selain menimbulkan masalah yang berkaitan seperti pernah berlaku sebelum ini.

Calar reputasi penganjur

Justeru, situasi seperti ini bukan saja mencalarkan reputasi penganjur, malah memberi kesan buruk kepada industri hiburan.

Pengurus Hiburan Primework Studios, Muhamad Sufian Isa, ketika mengulas perkara itu berkata, artis tidak harus sewenang-wenangnya menarik diri kerana menjadi tanggungjawab mereka untuk menyampaikan sesebuah lagu yang layak bersaing.

"Sebagai penganjur, tindakan artis menarik diri daripada bertanding lebih memberi implikasi buruk kepada industri. Mereka diberi amanah untuk menyampaikan lagu itu dan perlu bertanggungjawab atas perkara terbabit," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman separuh akhir Muzik-Muzik 28 di Mutiara Damansara, kelmarin.

Hadir sama Penerbit Eksekutif Muzik-Muzik 28, Khalijah Mohamed, serta barisan artis, komposer dan penulis lirik yang bertanding.

Ditanya apakah penganjur akan mengenakan syarat yang lebih ketat untuk mengelakkan kejadian artis menarik diri daripada terus berlaku, Sufian berkata, mereka tidak mahu menjadi diktator dengan memaksa mereka menyertai pertandingan itu.

Sebaliknya, dia berharap artis berkenaan lebih mengutamakan kehendak industri daripada kepentingan diri sendiri.

Lagu Alyah layak bertanding

Melihat kepada senarai pencalonan separuh akhir pula, sebuah lagu lama yang diberi nafas baru berjudul Permata nyanyian Alyah (menampilkan Ben) turut berpeluang merebut tempat ke final. Lagu rancak yang dihasilkan 11 tahun lalu itu nampaknya bakal bersaing dengan karya lain, yang rataratanya lagu baru.

Apakah adil untuk lagu baru bersaing dengan lagu yang sekadar diubah susunan muziknya? Bagaimana jika apa yang berlaku itu menjadi ikutan selepas ini?

Menjawab pertanyaan itu, Sufian menjelaskan, lagu itu diberi kelonggaran kerana ia tidak pernah dipromosikan sebelum ini.

"Lagi pun ia bukan perkara baru kerana sebelum ini banyak lagu yang diberi nafas baru dibenarkan bertanding seperti lagu Anak Kampung dan Apo Kono Eh Jang.

"Bagaimanapun, untuk tahun depan kami akan memikirkan satu mekanisme bagi mengelakkan terlalu banyak lagu diberi nafas baru dicalonkan dalam Muzik-Muzik. Mungkin ada syarat tertentu yang perlu dipatuhi," tegas Sufian.

30 lagu rebut tempat ke AJL 28

Sebagai rumusan, Sufian berkata, meskipun ada ramai muka lama yang bersaing, namun muka baru tidak diketepikan, malah turut diberi peluang untuk menyertai anugerah berprestij terbabit.

Tiga puluh lagu yang layak akan dipertandingkan dalam tiga pusingan yang berlangsung pada hari Jumaat ini, 8 November (11 lagu), 15 November (11 lagu) dan 22 November (8 lagu) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Dikendalikan oleh AG sebagai pengacara, majlis petang itu turut diserikan dengan persembahan Drama Band yang menyampaikan lagu yang pernah dinobatkan sebagai Juara Lagu seperti Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Takdir dan Waktu serta Terukir Di Bintang.

Senarai 30 lagu separuh akhir

* 8 November 2013

1. In Love With You (nyanyian Aizat Amdan & Noh Salleh/ciptaan Noh Salleh)

2. Penglipurlara (Hazama & The Penglipurlara/Omar K/Zeli)

3. Menunggu (Akim Ahmad)

4. Jangan Pergi (Loka/Andriansyah/Danial Loka)

5. Tetap Menantimu (Nomad/Akid/Poji)

6. Cinta Kasih (Mila & Nubhan/Zaidi)

7. Tak Cuba Kembali (Asfan)

8. Setia Hujung Nyawa (Fiq & Mei Sakura/Faz Alberto)

9. Agenda Jahiliah (Bunkface/Sam Bunkface)

10. Takkan Terpisah (Black/Kuncidemak)

11. Permata (Alyah menampilkan Ben/Zuriani/Alyah)

* 15 November 2013

1. Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter/Light & Bakri/Dark)

2. Kita (Forteen/Edry Abdul Halim

3. Dewi Cinta (Adira/Mohd Atlas & Aiman)

4. Sahabat (Najwa Latif menampilkan Sleeq & Shamkamarul/Najwa Latif/Ika Latif)

5. Adamu (Najwa Latif/Ika Latif)

6. 5 Minit (Ramlah Ram & Caprice/ID Mifzal/BAM Ariz)

7. Hanya Aku (Hyper Act/Frozen)

8. Kalau Aku Kaya (Awi Rafael & Altimet/Omar K & Audi Mok/Altimet)

9. Aku Pelat (Salammusik/DJ Fuzz/Salam, Ey Abahra & Jaytan)

10. Kau Yang Terindah (Alyah/Citra/Erma Fatima)

11. Penghibur Jalanan (Amir Jahari)

* 22 November 2013

1. Bahagiamu Deritaku (Hafiz/LY/Baiduri)

2. Ikut Rentakku (Jaclyn Victor/Edry Abd Halim)

3. Bosan (Stacy/Audi Mok/Omar K)

4. Kembali (Akim & Stacy /Akim Ahmad)

5. Anugerah Hidup (Estranged/Richael L Gimbang)

6. Dwihati (Yuna & Aizat/Anas /Aizat & Noh Salleh)

7. Rumah Kita (Hujan/Noh Salleh)

8. Jagalah Diri (Jaclyn Victor/Edry Abd Halim)

~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top