ERRA…tepis gosip
KUALA LUMPUR: "Kami bersedia menimang cahaya mata kedua," jelas pelakon Fazira Wan Cheek atau Erra Fazira, 36 sewaktu ditemui di majlis pengumuman hadiah berupa barang kemas untuk pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) tajaan Refflesia Pearl Centre, di sini, semalam.
Kenyataan itu sekali gus menafikan desas-desus mengatakan rumah tangganya kini sedang bergolak dan dia serta suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin tidak lagi tinggal sebumbung.
Erra berkata, dia terkejut kerana pertama kali mengetahui perkara terbabit dan sebelum itu ada wakil media daripada portal hiburan meminta komennya apabila Engku Emran didakwa sedang menjalin hubungan dengan wanita lain.
"Perkara itu tidak benar. Saya tidak berdalih atau cuba menyembunyikan perkara sebenar. Kelakar pun ada bila mendengar perkara ini. Bagaimanapun saya melihat cerita ini disebarkan sebagai satu 'trend'. Maklumlah sewaktu belum berkahwin orang sibuk nak kahwinkan saya. Selepas itu sibuk tanya bila hendak beranak, dan sekarang bila sudah ada semuanya mereka sibuk bertanya bila hendak berpisah," katanya.
Tambahnya gosip itu juga pernah dikaitkan dengan beberapa artis popular lain seperti, Ziana Zain dan Siti Nurhaliza. Bagi Erra, mungkin sekarang gilirannya untuk dicuit dengan cerita negatif itu.
"Biasanya saya tidak ambil pusing apabila cerita begini tersebar kerana saya dan suami tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya juga jarang membawa gosip pulang ke rumah untuk diceritakan atau meminta pengesahan kerana ia sangat tidak sihat untuk rumah tangga kami."Bagaimanapun soalan hari ini saya harus jelaskan kepada Engku Emran kerana bimbang pula kalau tidak diberitahu lebih awal, dia akan terkejut apabila laporan mengenainya disiarkan di akhbar," katanya.
Menceritakan mengenai perancangan untuk memperoleh anak kedua, jelas Erra sebenarnya dia dan Engku Emran berasakan tahun ini adalah waktu terbaik untuk menimbang seorang lagi cahaya mata."Perancangan ini sudah dibuat sejak tahun lalu dan kami tiada halangan. Aleesya pun sudah berusia dua tahun. Sedang elok untuk dia dapat adik," katanya.
Pada majlis pengumuman itu, Erra Fazira menggayakan hadiah bakal diterima pemenang Bintang Paling Popular di ABPBH 2010, berupa rantai dan gelang mutiara bernilai RM180,000.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan