Bertempat di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru, acara bermula pada pukul 10 pagi sehingga 11.30 malam.
Karnival sehari itu diadakan bukan sahaja untuk menghargai pembaca setia akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Sebaliknya, sebagai salah satu platform untuk mengeratkan lagi hubungan mesra Kumpulan Utusan dan warga Johor Bahru.
Acara kemuncak karnival itu ialah Konsert Terima Kasih yang dijayakan oleh barisan artis popular tanah air seperti Black Mentor, Meet Uncle Hussain, Tom My Starz LG dan Ana Raffali.
Konsert selama kira-kira tiga jam itu dijangka bermula pada pukul 8.30 malam bertempat di pentas utama.
Shamsul Ghau-Ghau selaku pengacara konsert, akan membawa anda ke era 60-an dengan kehadiran kumpulan Orkes Nirwana di bawah pimpinan Datuk A. Rahman Hassan. Beliau akan bergandignan dengan isteri, Datin Azizah Mohamad untuk menghiburkan peminat.
Untuk menyemarakkan lagi irama 60-an, Datuk Jeffrydin yang popular dengan lagu Mas Mona, juga akan mengadakan persembahan.
Menggunakan pendekatan berinteraksi sambil berhibur, Karnival Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia turut membuka peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil bagi memasarkan dan mempromosikan hasil produk mereka.
Bagi mereka yang berminat, bolehlah membuat tempahan gerai dengan menghubungi Shah di talian 03-92877777 sambungan 332.
Di sepanjang karnival sehari itu, pengunjung juga berpeluang untuk mencuba pelbagai aktiviti gerai kendalian Utusan seperti Surat Beracun, Jom Minum, KebaBoom!, Oh Mumia, Shh..Teka dan Limbo Rock.
Bagi mereka yang ingin merasai bagaimanakah untuk menjadi penghias kulit 11 majalah terbitan anak syarikat Kumpulan Utusan, Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), bolehlah singgah di Studio Foto yang disediakan di situ.
Bagi setiap gambar yang dirakamkan, hanya dikenakan bayaran RM10 sahaja.
Selain aktiviti gerai, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai pertandingan yang disediakan.
Ini termasuklah pertandingan Juara Karaoke yang akan berlangsung di pentas mini.
Hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 boleh menjadi milik anda sekiranya terpilih untuk menjadi juara pertandingan itu.
Hadiah tempat kedua juga disediakan iaitu wang tunai RM70 manakala pemenang tempat ketiga, tidak akan pulang dengan tangan kosong. Pemenang akan menerima RM500. Penyertaan Juara Karaoke adalah secara solo atau berduet.
Pertandingan Tarian Tradisi yang terbuka kepada pelajar sekolah menengah atau persatuan secara berkumpulan, turut menawarkan hadiah yang serupa.
Sementara itu, di pentas utama, diadakan pertandingan Ada Hantu…Takutnya! dan Lawan Timbang Sepak Raga.
Cabutan bertuah dan wang tunai juga disediakan untuk pemenang .
Satu lagi acara tarikan di Karnival Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia ialah penampilan finalis Pencarian Gadis Johor.
Borang penyertaan atau sebarang maklumat lanjut tentang karnival dan acara yang disediakan, sila dapatkan akhbar Utusan Malaysia yang diterbitkan setiap hari.
Karnival Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia seterusnya diadakan di Batu Buruk, Terengganu, 8 April ini.

0 ulasan:
Catat Ulasan