Kris lepasi fasa derita

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
Ganmbar SAHARUDIN MUSTHAFA


hi 01.1

KRIS Dayanti mencium tangan suaminya, Raul lemos.



SEGALA-GALANYA sudah selamat. Kris Dayanti tidak lagi memegang gelaran janda – gelaran yang amat digeruni oleh sebilangan besar wanita.

Masakan tidak, gelaran itu amat mudah mendedahkan mereka kepada pelbagai fitnah, umat dan keji masyarakat.

Justeru, pernikahan antara penyanyi ternama Indonesia itu dengan usahawan yang berasal dari Dili, Timor Leste, Raul Dos Reis Lemos pada Ahad lalu diharapkan membawa sinar baru buatnya.

Perasaan Kris saya dasari sejurus selepas dia bergelar isteri menerusi perkahwinan keduanya itu.

Tewas dalam rumah tangga pertama dengan penyanyi dan komposer Anang Hermansyah selam 13 tahun itu, Kris mengakui, fasa kesulitan sudah semakin beransur-ansur lenyap dari hidupnya.

Kata Kris, kegembiraan yang sedang dilaluinya sukar diterjemahkan dengan kata-kata kerana kesediaan Raul menerimanya sebagai isteri sudah menjangkaui hal-hal lain.

"Saya harus akui perkahwinan kali ini merupakan saat yang amat bermakna. Kejujuran dan kasih sayang yang ditunjukkan Raul jauh mengatasi perkara-perkara lain.

"Azam saya untuk memastikan perkahwinan kali ini bertahan sehingga ke akhir hayat. Saya dan Raul pernah sama-sama tewas dalam perkahwinan sebelum ini.

"Lalu, kami tidak mahu ia berulang lagi. Pengalaman lalu banyak menjadi pengajaran. Kami berdua mahu bangkit daripada kesilapan lalu," kata Kris yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata, Auriel Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah.

Penyanyi yang pernah menempa kegemilangan di persada muzik Malaysia menggambarkan, suami barunya itu memenuhi kriteria sebagai seorang pemimpin keluarga.

Ketegasan, kasih sayang dan tanggungjawab yang ada dalam diri Raul memenuhi karisma suaminya itu untuk memimpin rumah tangga mereka.

Dia sedar kenyataan itu tentunya akan membuatkan masyarakat mula mempersoal apakah kriteria itu tidak ada dalam diri Anang.

Pada satu perspektif lain pula, barangkali ada yang tertanya-tanya kalau Raul mempunyai pakej itu kenapa dia juga pernah tewas dalam perkahwinan pertama dengan Silvalay Noor Athalia atau Atha.

Kata Kris, dia tidak pernah berniat untuk membanding-bandingkan Raul dengan bekas suaminya, Anang.

Bahkan, untuk mengulas kegagalan Raul pada perkahwinan terdahulu juga bukan menjadi haknya.

"Kegagalan saya dan Raul pada perkahwinan masing-masing sebelum ini merupakan sejarah dalam hidup kami berdua.

"Apa yang berlaku dulu ada sebabnya dan tidak perlu diulang kaji semula. Kini yang menjadi fokus saya dan suami ialah mencari semula kebahagiaan yang kami dambakan.

"Kerana itu, besar harapan saya para peminat dan seluruh anggota masyarakat akan mendoakan kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat," pinta Kris dalam nada penuh berhemah.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top