Dibintangi oleh
Eizlan Yusof, Fauziah Ghaus, Aminah Rhapor, Cico Harahap, Shaharuddin Thamby dan Peserta Pesona Ratu
Genre
Realiti Pengembaraan
Ulasan
Bermula esok (17 Mac) filem terbaru arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Ratu The Movie akan memasuki pawagam di seluruh tanah air. Mempertaruhkan satu formula baru dalam penghasilan filem, Ratu The Movie menggabungkan sebuah program realiti dengan sebuah penghasilan filem bagi mencipta kelainan.
Namun hasilnya tidak begitu memuaskan hati. Sekali lagi GUA kecewa Professor Razak. Beliau gagal mencipta fenomena yang diharapkan. Memang benar usahanya mencari barisan pelapis layak diberi pujian tetapi peserta ini masih terlalu baru dan masing-masing belum layak berlakon filem. Lakonan mereka nampak tidak semulajadi. Malah, dialog yang dituturkan juga terlalu mengikut skrip. Senang cerita, macam 'bahasa buku'.
Selain itu, GUA juga sakit telinga apabila peserta-peserta Pesona Ratu ini membuka mulut. Kedengaran seperti menjerit-jerit. Adakah kerana penataan bunyi filem yang tidak bagus, atau memang mereka cakap menjerit-jerit? Situasi ini cukup merimaskan sehingga terasa ingin keluar dari pawagam dengan segera. Kalau anda pernah menonton filem Mistik, pasti anda masih ingat dengan Rita Rudaini yang kerap menjerit tak tentu pasal. Ha! Macam itu jugalah filem ini.
Menyentuh tentang jalan cerita, GUA rasa ia menampilkan sebuah cerita yang agak klise. Setiap yang berlaku sudah boleh dijangka. Sebaik terdampar di hutan, GUA sudah boleh menjangka yang ia adalah 'permainan' pihak penganjur.
Terus-terang GUA katakan, penulis skrip tidak membuat skrip ini dengan teliti. Ada satu adegan di mana para peserta disuruh memasak biawak untuk hidangan makan malam kerana ketiadaan makanan. Rasa tidak masuk akal adegan ini kerana mereka baru terdampar semalaman. Itu bukan dikira darudat. Lagipun, mereka masih boleh mencari alternatif lain seperti menangkap ikan atau mencari buah-buahan hutan.
Walau apa pun pandangan GUA, anda mempunyai pilihan sama ada ingin menonton filem ini atau tidak. Mungkin citarasa kita berbeza. Apa yang GUA tuliskan di sini adalah pendapat peribadi dan ia sekadar memberi gambaran tentang kualiti filem ini.
Filem Ratu The Movie memaparkan sebuah program realiti yang diberi nama 'Pesona Ratu'. Mencari gadis-gadis berkelayakan untuk diiktiraf sebagai ratu, akhirnya seramai 10 peserta berlatar belakangkan profesion yang berlainan dipilih untuk ke peringkat akhir. Mereka akan dibawa belayar ke satu tempat untuk penilaian seterusnya.
Dua peserta terkeluar awal kerana gagal tiba ke lokasi perjumpaan seperti yang telah ditetapkan. Berlayarlah 8 peserta bersama tenaga kerja 'Pesona Ratu' ke lokasi rahsia. Setiap seorang peserta mempunyai misi masing-masing dalam merebut takhta ratu yang ditawarkan.
Walaubagaimanapun, kapal mereka tersadai di sebuah pulau terpencil. Ini memaksa mereka tinggal sementara di pulau tersebut sementara menanti kapal mereka diperbaiki. Bermulalah detik hitam yang melanda peserta-peserta yang memburu gelaran ratu ini.
Kesukaran mengharungi hidup di pulau itu dengan ribut yang melanda, bekalan makanan yang semakin kehabisan dan kemunculan makhluk yang tidak diundang mula menampakkan sikap sebenar setiap peserta.
Sepanjang berada di pulau itu pelbagai kejadian aneh dan misteri telah berlaku. Mereka telah diserang dan satu demi persatu calon-calon itu hilang. Sehinggalah calon akhir berjaya diselamatkan dan diistiharkan sebagai pemenang.
Info
Lebih dari 1000 orang telah hadir untuk ujibakat Pesona Ratu yang diadakan di Pulau Pinang¸Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah ini hanya 18 orang berjaya melepasi peringkat saringan dan mereka ini telah dikumpulkan dan diberi pendedahan dalam bentuk latihan dan vokal selama dua minggu di kampus UiTM Puncak Alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan